Travelog Frankfurt 10 Oktober 2011: Nilai Estetika yang Terjaga

Frankfurt sebuah kota yang indah pada pandangan mata saya. Indah daripada dua segi, pertama mereka menjaga nilai-nilai estetika lampau hingga ke hari ini. Bangunan-bangunan lama di sekitar bandar masih lagi terjaga dan boleh dinikmati generasi sekarang. Kedua, kecintaan mereka kepada bahasa mereka. Kesemua bahan bacaan tidak kira buku, majalah, makalah dan apa saja dalam bahasa.

pemandangan Romer, Fankfurt

Pernah sekali saya perlukan bantuan untuk mendapatkan panduan menaiki keretapi bawah tanah (seperti LRT di Malaysia). Saya bertanya kepada beberapa orang di sekitar stesen, perkara sama berlaku. Saya bertanya mengenainya dalam bahasa Inggeris, mereka menjawabnya dalam bahasa Jerman. Mereka faham dan tahu berbahasa Inggeris, tetapi tetap mahu bercakap dalam bahasa Jerman.

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt pada jam 1.02 minit petang. Lebih awal daripada masa jangkaan. Selepas penerbangan yang meletihkan. Lebih kurang 18 jam selepas dicampur masa transit di Dubai. Alhamdulillah penerbangan Emirates menyediakan alat hiburan terbaik dan makanan yang menyelerakan. Ini mengurangkan kesan emosi 🙂

Sepertimana tahun lepas, kami menginap di Hotel Antarabangsa Lowen di pinggir bandar Frankfurt. Kawasannya di daerah bernama Offenbach. Kawasan ini tenang dan agak jauh daripada kesibukan bandar. Ada beberapa kedai makan Islam Turki. Makanan yang menyelerakan, terutamanya kebab dan pizza.

Kami diambil oleh pemandu van yang sudah disediakan oleh agen pelancongan CIT Travel untuk ke Hotel Lowen. Kami berlima, saya dan Arief dari PTS, Saudara Raja Shahfaizal (Kumpulan Karangkraf) dan dua orang dari Digital Universal Library (nama mereka saya lupa).

Apa yang menarik mengenai Hotel Lowen adalah pengurusnya seorang Muslim. Keistimewaannya mereka menyediakan makan pagi halal khas untuk orang Islam.

Selepas solat Zohor kami keluar berlima melawat kota Frankfurt. Menemani 2 rakan dari Digital Universal Library yang belum pernah ke sini. Singgah ke Stesen Keretapi Utama Frankfurt untuk menempah kereta. Kami merancang untuk menjelajah beberapa kota di Eropah dengan memandu sendiri selepas habis Pesta Buku Frankfurt. Alhamdulillah kami memperoleh satu van 7 penumpang dengan harga 880 Euro.

Salah satu bangunan di kawasan Romer

Menjelajah beberapa tempat menarik, antaranya Romer. Romer adalah salah satu tarikan utama di Kota Frankfurt. Ia dikelilingi bangunan-bangunan lama yang masih terjaga nilai estetikanya. Kelihatan ramai pelancong di sekitarnya. Ada satu kumpulan pelancong Korea yang kelihatannya seperti baru pertama kali tiba di sini. Di sini juga terdapat beberapa kedai cenderamata untuk para pelawat. Saya sempat membeli sehelai baju T dengan harga 6 Euro. Jualan murah menghabiskan stok.

Kami singgah juga ke kedai telefon untuk membeli kad pra bayar telefon. Lebih murah untuk berkomunikasi dengan talian telefon Jerman berbanding rangkaian perayauan (roaming). Harga kad pra bayar di sini yang paling minima adalah 50 Euro. Saya mencari talian dengan akses Blackberry Internet Service (BIS) namun sudah habis. InsyaAllah stoknya ada beberapa hari lagi.

Kemudian kami ke kedai menjual peralatan elektronik di Konstabelwache untuk membeli adapter khas Eropah. Plag di siji berbeza dengan plag Malaysia. Kita memerlukan adapter bagi menyambung peralatan elektronik ke plag di Hotel.

Kamai tiba di hotel sekitar jam 8 malam selepas menikmati Kufta Kebab di Doneria Pizza, sebuah restoran Muslim Turki yang jaraknya 800 meter dari Hotel Lowen. Restoran ini menyediakan pilihan makanan Turki yang menarik. Ada Pizza, Kebab, nasi Turki dan banyak lagi. Kebabnya besar dan apabila makan kenyang sampai pagi :). Keletihan seharian menyebabkan saya terlena nyenyak selepas mandi dan solat Isyak yang dijamak dengan solat Maghrib.

Bacalah dengan nama Tuhanmu…
.

Leave a Comment