MINDSET: Pintu Masuk Ke Masa Hadapan 2

MINDSET adalah berdasarkan logik yang ada pada minda sedar kita.

Berdasarkan ilmu dalam Neurolinguistic Programming, minda sedar ini menapis setiap perkara yang masuk ke dalam minda melalui 3 sistem penapisan iaitu:

Pertama: Penapis Penyamarataan

Penapis Penyamarataan adalah apabila kita samakan semua perkara sebagai satu tanpa mengira kebarangkalian-kebarangkalian lain.

Sebagai contoh, apabila kita melihat ada benda di hadapan kita berbentuk bingkai dan ada tombol padanya. Saiznya setinggi ataupun melebihi kita. Kita akan membuat kesimpulan itu adalah PINTU.

Apabila kita melihat ada orang yang berdiri di tepi jalan, memegang rokok dan menikmatinya dengan penuh penghayatan. Kemudian apabila batang rokok itu sedikit demi sedikit terbakar mendekati puntungnya. Si individu itu berhenti menghisap, kemudian puntung yang ada di bibirnya diambil dan dilempar ke bawah. Kakinya memijak puntung itu dan buat gerakan ‘twist’.

Dalam otak kita mula membuat kesimpulan yang menyamaratakannya

“Semua perokok adalah pengotor”

Ini adalah apa yang dikatakan sebagai penyamarataan. Banyak perkara dalam dunia ini disama ratakan. Sebagai contoh “Semua perempuan kuat beleter”, “Semua lelaki berpoligami kuat nafsu” dan banyak lagi.

Namun di sebalik penyamarataan ini tentu ada perinciannya.

Tidak semua perempuan kuat beleter, mereka beleter kerana ada sebab tertentu. Ada perempuan yang senyap sahaja.

Begitu juga tidak semua lelaki berpoligami itu berkahwin kerana nafsu. Ada yang berkahwin lebih kerana ingin menyelamatkan dan mungkin dipaksa isteri.

Kedua: Penapis Pengherotan

Penapis Pengherotan berlaku apabila realiti sebenar diherotkan. Sebagai contoh orang bermasam muka kerana sedih, namun kita ada pengalaman yang bermasam muka kerana sombong. Maka kita herotkan isu sebenar dengan berkata “Sombongnya dia itu, masam selalu”

Ataupun apabila kita mendengar cerita daripada seorang individu.

“Tengah jalan tadi ada kemalangan, kereta langgar lori”

Langsung kita pula cerita pada orang lain,

“Tadi tengah jalan, ada kereta langgar lori, pemandunya tercampak keluar”

Kemudian orang yang kita cerita itu cerita pula pada orang lain,

“Tadi ada kereta langgar lori, pemandunya tercampak keluar, kepala pecah. Keluarganya menangis berguling-guling di tepi jalan. Sedih”

Ini semua hasil daripada penapis pengherotan.

Ketiga: Penapis Pemadaman

Penapis Pemadaman pula adalah apabila sesuatu perkara yang berlaku di sekeliling kita dipadamkan.

Sebagai contoh, apabila kita melakukan kerja kita dengan penuh teliti dan nyalarasa. Fokus minda kita tidak kepada perkara lain. Hanya pada apa yang kita lakukan sahaja. Makan tak sedar, malam tak lena dan masa berlalu dengan penuh takzim atas apa yang kita lakukan.

Dan apabila kita selesai, baru mahu keluar makan jumpa kawan kita di tengah jalan.

“Sombonglah engkau ini, tadi aku tegur engkau di pejabat, engkau tak berpaling pun. Mentang-mentanglah orang kuat boss, sudah tak pandang orang lain”

Kita pula kata bila masa pula dia tegur? Rupa-rupanya atas fokus kita tadi kita sudah padamkan apa yang berlaku di sekitar kita.

Kesemua di atas ini adalah berdasarkan logik-logik yang kita bina sejak kecil. Bagaimana kita dibesarkan, bagaimana persekitaran kita membentuk logik kita.

Logik kita tidak akan merasa logik apabila sesuatu perkara itu tidak ada dalam otak kita.

Sebagai contoh:

Pernahkah kita melihat orang ada 4 kaki? Pernahkah kita melihat manusia terbang?

Semua di atas ini tidak logik kerana kita tidak pernah lihat dan databasenya tidak ada dalam minda kita.

Namun apabila kita melihat ada orang yang berjaya mencipta tambahan dua kaki seumpama sotong kurita.

Apabila kita melihat orang yang berjaya cipta sayap dengan turbo booster di belakangnya. Barulah kita fikir itu adalah logik.

Maka ini antara perkara yang mencipta MINDSET kita untuk masa hadapan.

Leave a Comment