Travelog Frankfurt 10 Oktober 2011: Yang Kecil-Kecil Mampu Jadi Besar

Sekarang saya berada di Dubai International Airport menunggu penerbangan ke Frankfurt jam 8.25 pagi waktu sini. Kami berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang jam 2 pagi dan penerbangan ke sini kurang lebih 6 jam.

Perbezaan waktu di antara Malaysia dan Dubai adalah 4 jam. Jadi pada ketika saya menulis ini jam 5.48 pagi waktu Dubai dan jam 9.48 pagi waktu Malaysia. Ini adalah kali kedua saya menjejakkan kaki ke sini. Tahun lepas untuk acara yang sama kami transit di sini.

Di Dubai International Airport

Tadi saya berada dalam bas transit untuk membawa kami dari kapal terbang ke ruang utama lapangan terbang. Saya baru sedar saya memakai baju panas yang saya beli di Reject Shop satu masa dahulu. Saya beli baju ini semasa saya masih lagi mahasiswa di Universiti Malaya. Tak sangka baju ‘murah’ ini sudah beberapa kali menjelajah bersama saya ke luar negara. Dahulu saya pernah memakai baju sama untuk ke Korea, sekarang di Dubai dan benua Eropah pula. Banyak manafaat baju ini kepada diri saya selama ini.

Dalam kehidupan juga begitu. Ada banyak perkara yang kecil-kecil dan disangka impak pada hidup kita minima akhirnya menjadi maksima. Ia umpama kulit roti yang selalu dibuang oleh anak-anak apabila memakannya. Dianggap tidak sedap dan kurang diminati oleh mereka. Akhirnya diletakkan sebelah dan dibuang ke tong sampah akhirnya. Namun apabila kita berada dalam keadaan darurat dan kelaparan, kulit roti ini dapat dijadikan makanan sampingan untuk mengisi perut. Kesannya besar untuk penerusan hidup.

Ini juga anggapan kita kepada dosa-dosa kecil yang dianggap tidak mengapa dilakukan. Ia pada pandangan kita sebagai perkara yang boleh dimaafkan. Namun jika setiap hari kita kumpulkan dosa-dosa kecil ini, daripada hari ke hari. Akhirnya menjadi amalan dan budaya, terus menjadi besar kepada kita.

Seperti yang dinyatakan oleh buku Pemikiran Sistemik tulisan saudara Fazrul Ismail. Dosa kecil ink diberikan satu analogi seperti seekor katak yang dimasukkan ke dalam sebuah kuali. Apabila kuali itu panas menggelegak dan dimasukkan katak hidup, terus katak itu melompat keluar kerana mahu lari daripada air panas. Namun apabila pada mulanya katak itu dimasukkan ke dalam kuali yang berisi air sejuk, ia merasakan bahawa itu adalah satu kebiasaan. Dipanaskan sedikit demi sedikit, ia merasa itu juga kebiasaan. Namun apabila air menjadi semakin panas dan menggelegak, langsung tidak boleh selamatkan diri serta terus mati. Begitu jugalah kita.

Apabila melihat daripada perspektif peluang pula, banyak peluang kecil-kecil mampu jadi besar. Saya memulakan program latihan penulisan sekitar tahin 2003. Pada ketika itu saya menjalankan bengkel penulisan untuk tujuan perolehan manuskrip di PTS. Ia dijalankan secara percuma di fakulti-fakulti di universiti-universiti seluruh Malaysia. Pada ketika itu tidak pernah terfikir untuk menganjurkannya secara komersil.

Sangkaan pada ketika itu, penulisan hanyalah perkara ‘kecil’ yang tidak dipandang orang. Siapalah mahu hadiri bengkel-bengkel penulisan sebegini.

Saya memperkenalkan program berbayar pertama sekitar tahun 2009. Saya masih ingat pada ketika itu saya terpanggil untuk mengadakannya secara umum apabila melihat beberapa individu yang bukanlah pakar industri menjalankannya dengan yuran tinggi. Saya cuba menyiasat pengisian yang diberikan dan berdasarkan pengamatan, saya boleh berikan lebih daripada itu.

Saya membuat keputusan untuk mengadakan program pertama di Hotel Vistana, program Seminar Jana Wang Dengan Menulis dengan yuran RM540. Arwah bonda saya juga skeptik dengan program ini. Kata beliau,

Ada ka orang nak mai hang punya program penulisan macam ni? Mama takut hang kecewa.

Saya tersenyum dan tetap teruskan. Promosi diadakan melalui ruang non tradisional. Perkara mengejutkan berlaku. Seramai 54 orang mendaftar diri dan 90 peratus mengesahkan kehadiran serta membuat pembayaran. Saya adakan pula kali kedua dan sambutannya tetap begitu. Sekarang sudah menjadi sejarah, Akademi Penulis, syarikat yang diwujudkan untuk mengendalikan bengkel-bengkel penulisan membesar menjadi syarikat perunding latihan dan pembangunan penulisan pilihan utama organisasi kerajaan sekarang.

Perkara kecil-kecil dan kemudian menjadi besar boleh dilihat daripada dua sudut, positif dan negatif. Terserah kepada kita, bagaimana kita mem’baca’nya. Bacalah dengan nama Tuhanmu..

Please note: I reserve the right to delete comments that are offensive or off-topic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *