Tip Re-Code 4 November 2011: Insurans Sosial Sokongan Kejayaan

Pada ketika ini saya berada di Ros Restoran, restoran berdekatan dengan stesen bas Transnasional Kota Bharu. Saya bersama pengurus divisyen latihan, saudara Mustaffa Mohammed Kassim menunggu jam 9 pagi untuk menaiki bas pulang ke Kuala Lumpur.

Alhamdulillah program Re-Code DiSC! Di sini berjaya mencapai sasarannya. Banyak perkara yang saya peroleh daripada sesi-sesi bersama para kakitangan Kolej Poly-Tech MARA di dua kampus di sini iaitu Kampus Cawangan Kota Bharu dan Kampus Kejururawatan di Kemumin. Beberapa cadangan penambahbaikan akan diberikan kepada pihak pengurusannya untuk memperkasa lagi organisasi KPTM ini.

Selama berada di sini saya mengalami satu kesukaran. Selama berada di sini saya ‘patah kaki’ disebabkan saya tidak mempunyai kenderaan. Keputusan di saat-saat akhir untuk tidak membawa kereta dibuat untuk memberikan ruang rehat kepada saya dan kakitangan. Kami menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Saya berfikir bahawa selama berada di Kota Bharu saya akan bergerak menggunakan teksi sahaja. Namun apabila berada di sini saya mengalami kesulitan untuk mendapatkan teksi di tepi jalan. Kebanyakan orang Kota Bharu menggunakan kenderaan sendiri untuk bergerak. Ini menjadikan pengangkutan awam adalah pilihan akhir untuk bergerak.

Ini menjadikan saya dan Mustaffa hanya berada di kawasan sekitar hotel sahaja untuk makan dan minum. Saya meminta bantuan seorang rakan untuk mendapatkan kereta sewa. Namun mengejutkan bahawa saya hanya boleh mendapatkan kereta sewa dengan depost sebanyak RM1,000. Bukannya tidak ada wang namun apabila difikirkan balik seperti pelik, dibatalkan hasrat itu.

Selepas berinteraksi dengan rakan peserta dalam bengkel, ada seorang peserta bengkel bernama Ustaz Rusli menawarkan saya keretanya untuk dipinjam. Beliau mempunyai dua biji kereta dan salah satunya tidak ada orang menggunakannya. Alhamdulillah selepas itu saya mendapat ‘kaki’ semula. Inilah pentingnya INSURANS SOSIAL.

Insurans sosial adalah apa sahaja perkara yang kita lakukan kebaikan kepada orang lain, membina jaringan dan membangunkan rangkaian sahabat di semua tempat. Mengapa saya katakan ia sebagai insurans? Apakah fungsi insurans? Insurans adalah apa sahaja bentuk perlindungan pada diri yang dapat memberikan sokongan kepada kita di waktu kita susah ataupun musibah. Itu yang saya jadikan definisi untuk perkara ini.

Apabila kita mempunyai ramai sahabat maka kita akan mempunyai tenaga sokongan untuk membantu kita di waktu kita memerlukan. Saya mula diperkenalkan dengan istilah ini oleh bonda angkat saya yang juga pengerusi Kumpulan PTS, Puan Ainon Mohd. Pada ketika itu saya masih lagi di peringkat universiti. Saya berkawan karib dengan anak beliau En. Arief Hakim Sani yang juga pengarah urusan Kumpulan PTS sekarang sejak dari zaman saya berada di Pusat Asasi Sains. Pada ketika itu Arief sering membawa saya bertemu dengan Puan Ainon di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Petaling Jaya (sekarang sudah menjadi Pusat Matrikulasi UIAM). Puan Ainon sering berada di pejabat suami beliau Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan.

Saya sering berdiskusi mengenai pelbagai perkara pada ketika itu. Satu hai beliau berkata mengenai satu perkara yang memberikajesan mendalam pada diri saya sekarang. Kata beliau

Saudara Fauzul, saudara adalah seorang pemimpin mahasiswa (pada masa itu saya adalah Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya). Saudara perlu ada banyak insurans sosial.

Saya terpinga-pinga.

Apa itu insurans sosial makcik? ( saya memang memanggil beliau makcik sejak daripada zaman UM hingga sekarang)

Insurans sosial itu adalah banyakkan kawan. Kita tidak tahu kawan-kawan kita nanti akan jadi apa di masa hadapan. Mungkin jadi perdana menteri, ketua menteri, ahli politik, ketua jabatan dan mungkin CEO syarikat. Ada juga yang tidur dengan oang-orang besar ini (maksudnya jadi suami ataupun isteri). Jika pada ketika itu kita memerlukan bantuan, mereka inilah yang dapat membantu kita.

Inilah kata-kata yang menjadi pendefinisian utama insurans sosial saya hingga sekarang. Banyakkan sosial insurans, insyaAllah kejayaan sentiasa bersama kita.

Bacalah dengan nama Tuhanmu. Doakan saya selamat dalam perjalanan saya pulang ke Kuala Lumpur..

Leave a Comment