Tip Re-Code 29 Oktober 2011: Belajar daripada Tandas

Alhamdulillah saya baru sahaja mendaftar masuk di Rose Garden Inn, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu, Kelantan. Selepas 8 jam perjalanan dengan bas, kemudian diturunkan jauh daripada perhentian sebenar disebabkan Jom Heboh di tengah bandar Kota Bharu, diambil teksi dengan bayaran RM15 dan akhirnya sekarang sudah berada di dalam bilik.

Tentu ada yang tertanya mengapa memilih menaiki bas? Asalnya saya bercadang ke Kota Bharu dengan menaiki kereta dengan diiringi oleh pengurus divisyen latihan, saudara Mustaffa Mohammed Kassim. Namun apabila memikirkan keletihan memandu dan program padat 5 hari berturut-turut bermula besok hingga Khamis. Maka keputusan dibuat di akhir waktu sehari sebelum ke sini.

Saya tidak menaiki kapal terbang kerana memikirkan tambangnya sudah tentu melambung kerana membeli di akhir waktu. Tambahan pula saya mahu merasai nostalgia menaiki bas menjelajahi daerah-daerah yang pernah saya tempuhi semasa belajar di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya dahulu. Pada ketika itu ayah ibu saya tinggal di Kubang Kerian, Kelantan. Jalan yang sama saya lalui setiap kali pulang ke rumah.

Sebentar tadi semasa bas singgah sebentar di restoran berdekatan Merapoh untuk membenarkan para penumpangnya makan tengah hari. Selepas menyantap makan tengah hari, saya ke tandas. Pihak restoran mengenakan bayaran sebanyak 30 sen untuk mereka yang ingin menggunakan tandas. Saya melihat beberapa orang lelaki menunggu di hadapan pintu tandas, saya melihat ada 3 pintu tandas.

Namun yang menariknya kesemua yang menunggu di luarnya menunggu ke arah salah satu pintu tandas sahaja. Ini kerana daripada pintu itu sahaja ada orang yang keluar masuk dan keluar kemudian masuk balik. 2 pintu lagi tertutup, sangkaan saya ada orang di dalamnya. Selepas beberapa lama menunggu tetap hanya satu pintu sahaja ada orang keluar masuk. Maka sangkaan saya pula hanya tandas itu sahaja mungkin boleh digunakan.

Apa yang menyedarkan saya adalah apabila penjaga tandas yang mengutip wang masuk ke tandas bersuara,

Mengapa tidak masuk ke dalam dua tandas lain? Ia tertutup dan tidak ada orang di dalamnya.

Selepas itu salah seorang yang menunggu membuka salah satu daripada dua pintu itu dan memang tidak ada orang di dalamnya. Beliau pun masuk ke dalamnya. Saya pun membuka pintu satu lagi dan memang tidak ada orang di sana. Saya pun masuk ke dalam tandas itu untuk menyelesaikan apa yang belum selesai :).

Apa yang berlaku tadi menyedarkan saya mengenai satu perkara. Keadaan seperti ini juga berlaku di dalam kehidupan kita seharian. Ramai orang menyangka hanya ada satu pintu dan satu jalan sahaja untuk berjaya. Mereka terus menunggu supaya pintu dan jalan itu terbuka sendiri. Pada sangkaan mereka, biarlah orang lain yang dahulu membuka jalan dan pintu itu dahulu. InsyaAllah giliran kita di masa lain pula. Namun yang kita terlepas pandang pintu-pintu lain yang kita tidak ingin buka sedangkan kejayaan menunggu di sebalik pintu-pintu itu. Apa yang perlu hanya membukanya sahaja dan melangkah masuk.

Pilihlah untuk membuka pintu kejayaan

Pilihlah untuk membuka pintu-pintu kejayaan yang menunggu kita melangkah masuk ke dalamnya. InsyaAllah kita kejayaan adalah untuk orang yang merasakan dirinya LAYAK untuk berjaya. Bacalah dengan nama Tuhanmu..

Please note: I reserve the right to delete comments that are offensive or off-topic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *