Tip Re-Code 28 Oktober 2011: Mentor Mempercepatkan Proses Kejayaan

Saya baru sahaja selesai perguruan saya bersama Tuan Rizal Hassan, sifu dan mentor saya dalam dunia latihan pembangunan diri. Saya bersama beliau dalam salah satu program beliau di Hotel Cititel, Mid Valley, Kuala Lumpur. Tujuan saya berada di sana untuk merasai dan mengalami dan merasai program suasana program latihan kendalian beliau. Merasai keseronokan, mengalami apa yang dialami oleh peserta, belajar kaedah yang digunakan dan bagaimana mengaplikasikannya dalam latihan.

Kesemua ini akan menambah nilai kepada diri saya sebagai seorang jurulatih bidang pembangunan potensi diri dan juga memberikan kesan kepada persembahan program saya di masa akan datang. Ia mempercepatkan proses pembelajaran saya terutamanya dalam mempertingkatkan kemahiran menyampaikan modul.

Program Team Up DNP Clothing di mana saya berguru dengan Tuan Rizal Hassan

Inilah pentingnya ada MENTOR. Mentor saya definisikan apa sahaja ataupun sesiapa sahaja yang boleh kita jadikan rujukan dalam bidang untuk kita. Ia boleh berupa tulisan, video atau audio yang dihasilkan oleh seseorang individu pakar. Kita boleh peroleh melalui pembacaan buku atau artikel, menonton video atau imej dan mendengar ceramah para pakar dalam bidang itu. Mentor ini mungkin juga ibu, ayah, kawan, saudara mara, kawan kepada kawan kita, guru, pakar dan ramai lagi.

Dalam kehidupan orang yang berjaya pasti ada individu lain yang meMENTORkannya. Mentor inilah yang sentiasa memberikannya inspirasi dan motivasi untuk terus bergerak ke hadapan, untuk tidak memandang ke belakang. Memberikan tenaga waktu sewaktu letih, menjadi berita gembira sewaktu kita sedih.

Pada ketika saya mula-mula menjejakkan kaki ke dalam dunia penerbitan buku, antara mentor saya adalah pemilik kepada percetakan yang mencetak buku-buku PTS. Nama beliau Tuan Francis Yeoh, pemilik kepada PrinAd Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai MPH Printing). Percetakan ini adalah antara organisasi yang banyak berjasa kepada PTS. Pada ketika itu PTS masih lagi kecil, tidak ada pencetak yang berani untuk berikan kredit kepada kami kerana mereka tidak yakin dengan penerbit kecil seperti kami. Hanya beberapa percetakan sahaja yang percaya antaranya Tuan Francis ini.

Kita sering mendengar bahawa orang Cina adalah bangsa yang tidak sukakan orang Melayu. Ramai Cina yang menipu Melayu untuk menjatuhkan Melayu. Namun pandangan sebegini adalah pandangan yang amat cetek. Saya sudah bertemu ramai individu berbangsa Cina yang mengubah persepsi dan pandangan saya terhadap pernyataan ini. Ini adalah pandangan orang putus asa apabila mereka tidak memperoleh kelebihan berkawan dengan individu berbangsa Cina lain. Realitinya tidak begitu. Mereka mempunyai hati nurani suci yang sama seperti insan lain, mungkin mereka berbeza warna kulit namun tetap sama makhluk ciptaan Tuhan.

Tuan Francis adalah salah seorang daripada individu yang membuktikan pandangan sebegini salah. Beliaulah yang sering memberikan nasihat kepada saya berkenaan pengurusan organisasi sebuah syarikat penerbitan. Daripada aspek mengenai percetakan hinggalah pengurusan kewangan. Yang menarik pernah saya tanya soalan kepada beliau,

Mr. Francis, mengapa Tuan sering menasihati saya sebegini?

Dia tersenyum dan berkata,

Yalah Fauzul, kalau awak mati saya pun mati woooo!

Ini yang menarik mengenai ‘Cina’ ini, beliau akan berceramah sekurang-kurangnya 2 jam kepada saya pada setiap kali bertemu dengan beliau pada zaman awal-awal PTS. Kenangan indah yang sentiasa diingati sepanjang hayat.

Mentor boleh dijadikan contoh hidup. Apa yang dilakukan, bagaimana dia bekerja, bagaimana dia berfikir, bagaimana dia bercakap, bagaimana dia berkomunikasi kesemuanya adalah faktor kejayaan beliau. Kita boleh juga menyalin ‘yang baik-baik’ dalam kehidupan seharian. Apa yang tidak baik pada pandangan mata, kita jadikan sempadan.

Saya mempunyai ramai mentor dalam pelbagai bidang yang saya ceburi. Dalam bidang penerbitan selain daripada Tuan Francis, mentor saya adalah Dato’ Hussamuddin Yaacob (pemilik Kumpulan Karangkraf), Tuan Law King Hui (pengarah urusan SASBADI), Tuan Ishak Hamzah (pemilik E-Media Publication) dan ramai lagi yang banyak memberikan panduan kepada saya dalam mencorakkan diri sebagai penerbit buku. Dalam bidang pembangunan diri, Tuan Rizal Hassan, Dato’ Dr. Mohd Fadzillah Kamsah, Dr. Tengku Asmadi, Dr. Azizan Osman dan ramai lagi.

Inilah yang mempercepatkan kejayaan saya dalam bidang yang saya ceburi sekarang. Siapa mentor Tuan Puan? Pilihlah, insyaAllah ia dapat mempercepatkan kejayaan Tuan Puan. Bacalah dengan nama Tuhanmu….

Please note: I reserve the right to delete comments that are offensive or off-topic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

One thought on “Tip Re-Code 28 Oktober 2011: Mentor Mempercepatkan Proses Kejayaan

  1. Salam Sejahtera Tuan Fauzul,
    Saya bersetuju dengan perlu adanya mentor. Saya yang baru hendak berkecimpung dalam bidang perniagaan (setelah sekian lama kerja makan gaji) merasakan pentingnya mentor untuk mempercepatkan ‘learning curve’. Tuan beruntung kerana mempunyai mentor-mentor yang hebat. Saya harap dapat mengikuti jejak langkah Tuan dan sudi menjadi mentor saya dalam seni penulisan buku. Selamat menamatkan kursus NLP Practitioner!

    Wassalam.
    Aaron Imran / CapaiMatlamat.com