Tip Re-Code 21 Oktober 2011: Menjadi ‘Ghuraba’ Gaya Steve Jobs

Alhamdulillah hari ini hari ketiga selepas pulang dari Frankfurt. Selepas berehat mencergaskan badan dan minda, sesudah menempuh 12 jam perjalanan dengan kapal terbang dan transit 4 jam di Dubai. Ditambah dengan jetlag menembusi sempadan masa antara negara, hari ini baru berpeluang untuk duduk mengemaskini laman web ini.

2 hari lepas, kami tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, Sepang jam 10.50 malam, terlambat 1 jam daripada masa sebenar. Ia disebabkan masalah teknikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Abu Dhabi. Tiba di ‘rumah hinggap’ di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur jam 1.00 pagi. Anak-anak yang tertidur di dalam kereta dibangunkan dan dengan lali mata berjalan ke atas serta tidur semula atas tilam yang dihampar. Mata saya pun terasa mengantuk tetapi tidak boleh tidur. Ini kesan daripada perjalanan malam dan siang atas kapal terbang. Namun selepas dipaksa, tidur jua ia.

Bangun sahaja pagi, mendapat satu ilham. Ilham untuk memenuhi impian sekian lama. Impian yang sudah disimpan sejak beberapa tahun lepas iaitu untuk memiliki sebuah Mac Book Pro. Mac Book Pro adalah komputer riba keluaran Apple yang diiktiraf sebagai yang terbaik di dunia. Harganya boleh tahan dan untuk membelinya perlu berpekin menyimpan wang. Alhamdulillah rezeki Allah dan atas rasa LAYAK, petang itu juga saya ke kedai penjual produk Apple yang diiktiraf di Wangsa Walk. Pada mulanya idea asal mahu membeli Mac Book Pro 13″ sahaja, namun selepas mengambil kira faktor jangka panjang terus ‘menangkap’ yang bersaiz 15″ dengan spesifikasi tertinggi.

Menyentuh papan kekuncinya sahaja sudah menyebabkan penggunanya merasakan kehebatan Mac Book Pro. Perasaan yang hanya boleh dirasa oleh mereka yang menghadapinya. (Ayat untuk membakar :)). Ini adalah antara produk yang amat dibanggakan oleh mendiang Steve Jobs. Seorang individu yang amat menginspirasikan saya hingga ke hari ini.

Wajah Mac Book Pro 15" High End yang di'tangkap' di Wangsa Walk, Wangsa Maju, KL

6 Oktober 2011, seluruh dunia dikejutkan dengan berita kematian pengasas Apple, Steve Jobs. Seorang ikon dunia teknologi maklumat dan grafik dunia. Kehilangan besar untuk dunia.

Umum sudah maklum beliau menderita penyakit kanser pankreas sejak sekian lama dan sudah beberapa kali menjalani pembedahan termasuk pemindahan hati. Beliau pun sudah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Apple pada Ogos lalu atas alasan tidak mampu menjalankan fungsi sepenuhnya sebagai seorang CEO. Namun begitu dimaklumkan oleh Mayasoshi Son, Ketua Pegawai Eksekutif Softbank, salah satu rakan kongsi ‘rahsia’ Apple bahawa Steve Jobs masih berada di dalam pejabat sehari sebelum beliau meninggal dunia. Beliau berbincang dengan Tim Cook, Ketua Pegawai Eksekutif Apple yang dilantik menggantinya mengenai produk Iphone 5.

Si Inovator Dunia

Beliau adalah seorang inovator, idealis dan reformis yang amat memberikan kesan kepada ramai manusia seluruh dunia. Inovasi dalam bidang perkomputeran dan grafik dengan mengubah cara berfikir dunia penerbitan dan percetakan dunia. Hasil pendidikan daripada kelas kaligrafi yang beliau pernah hadiri semasa di universiti menghasilkan inovasi kepada dunia layout grafik. Grafik minimalist yang sekarang mewarnai dunia penerbitan dan percetakan seluruh dunia. Font Serif dan Sans Serif adalah antara hasil daripada itu.

Dalam bidang bisnes beliau memperkenalkan slogan ‘Think Different’ yang menggambarkan gagasan idea beliau. Beliau sentiasa berjaya melangkah selangkah ke hadapan berbanding para kompetitor beliau. Produk-produk ciptaan Apple daripada komputer Macintosh versi pertama hinggalah ke Iphone 4S dengan inovasi perisian Sirinya tidak pernah terjangka oleh minda para pencipta gajet sebelumnya.

Saya masih ingat pada zaman masih bersekolah menengah, saya amat kagum melihat komputer Macintosh yang ada di makmal penerbitan majalah sekolah, Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan. Salah seorang sahabat seusia saya adalah orang penting kepada pasukan redaksi majalah pada ketika itu. Beliau menunjukkan fungsi-fungsi hebat komputer itu dan kesannya sehingga sekarang. Saya sudah menjadi pencinta produk Apple. Sebutlah apa produk Apple yang saya tidak saya miliki, Iphone, Ipad dan terbaru Mac Book Pro 15″ yang saya guna untuk menaip blog ini hari ini.

Dalam kehidupan seharian, falsafah “Connecting the Dot” yang beliau pernah nyatakan dalam satu rapat umum di Kolej Stanford menjadi inspirasi saya sehingga hari ini. Beliau mengatakan bahawa apa yang berlaku pada dirinya sekarang adalah terhasil daripada peristiwa-peristiwa lalu. Ia seumpama titik-titik yang tersambung dan menjadi penyebab kepada kejayaannya sekarang. Kita hanya menyedarinya sekarang apabila kita mengkaji.

Ini yang saya selalu bawa dalam program Re-Code!, hidup adalah satu PILIHAN. Apa sahaja yang kita pilih sekarang adalah penentu kepada apa yang akan jadi pada diri kita di masa hadapan. Kita penentu kejayaan kita. Allah sudah menyebut bahawa Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum kecuali mereka mengubahnya sendiri.

Semoga inovasi Steve Jobs menjadi inspirasi kepada lebih ramai manusia dalam dunia ini. Beliau adalah ‘ghuraba’ yang patut dijadikan contoh untuk kita. Bacalah dengan nama Tuhanmu..

Please note: I reserve the right to delete comments that are offensive or off-topic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *