Tingkatkan Kredibiliti Melalui Penulisan

Alhamdulillah semalam saya berjaya menghadiri dua acara yang dekat dengan hati saya, pertama acara Showcase Professional Learning Facilitator di German Malaysia Institute dan kedua hari Takrim anakanda saya, Muhammad Iqbal Nu’aim.

Tahniah Nuaim kerana berjaya memperoleh 3 anugera semalam: Anugerah Imam Terbaik, Anugerah Khidmat Cemerlang Pengawas Tahap 1 dan Pelajar Cemerlang Mata Pelajaran Asas. Ayah, ibu dan adik-adik amat berbangga dengan pencapaian ini. Tahniah

Tahniah Nuaim kerana berjaya memperoleh 3 anugerah semalam: Anugerah Imam Terbaik, Anugerah Khidmat Cemerlang Pengawas Tahap 1 dan Pelajar Cemerlang Mata Pelajaran Asas. Ayah, ibu dan adik-adik amat berbangga dengan pencapaian ini. Tahniah

Professional Learning Facilitator adalah program yang diasaskan oleh master PLFnya Tuan Mohd Rizal Hassan. Seorang individu yang juga antara pemacu idea buat saya untuk menjadi seorang coach sepenuh masa. Saya menghadiri program ini pada tahun 2010. Itu adalah program pertama diadakan dan saya adalah antara Batch 1 Professional Learning Facilitator dan merupakan individu kedua diberikan pentauliahan Mastery di bawah program ini. Alhamdulillah program ini banyak melatih kemahiran dan mengisi pengetahuan saya mengenai dunia ‘learning facilitator’ atau dunia training. Memperkasa saya mengenai 3 perkara, diri sebagai seorang PLF, persembahan berkesan sebagai PLF dan bagaimana menjalankan bisnes mengikut mata pandang master PLFnya.

Memperoleh PLF Mastery daripada Tuan Rizal Hassan dengan kehadiran menerima PLF Mastery pertama Tuan Osman Affan

Memperoleh PLF Mastery daripada Tuan Rizal Hassan dengan kehadiran menerima PLF Mastery pertama Tuan Osman Affan

Semalam adalah program di mana para PLF dilatih membentangkan modulnya kepada orang ramai untuk menguji pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dan bagaimana mereka dapat mengaplikasikannya dalam program. Ia akan ditonton oleh para PLF lain dan juga oleh master PLF sendiri. Ada juga yang membentang untuk memperoleh pentauliahan Mastery PLF. Saya hanya berkesempatan menonton satu pembentangan semalam oleh Cikpuan Raihan seorang perunding imej professional.

Pada pandangan saya beliau adalah individu yang berkeupayaan untuk menjadi seorang pembentang yang baik. Berpengalaman dalam bidangnya kerana sudah mengendalikan pelbagai bengkel berkaitan di agensi swasta dan korporat. Berpengetahuan dalam bidangnya, setiap perkara yang dibentangkan disulami dengan pemerhatian beliau kepada amalan semasa. Ada beberapa perkara boleh diperkasa untuk menjadi lebih baik, jika Cikpuan Raihan membaca artikel ini boleh berhubung dengan saya untuk mendapatkan maklum balas penuh apa pandangan saya mengenai pembentangan Cikpuan. Alhamdulillah beliau sudah ditauliahkan sebagai PLF Mastery semalam. Tahniah Cikpuan Raihan. Terima kasih juga Tuan Rizal Hassan atas perkongsian ilmu yang amat bermakna ini.

Saya tidak dapat berada lama di sana kerana perlu berkejar ke  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak untuk menghadiri hari Takrim Sekolah Rendah Islam Al-Amin, Gombak. anakanda sulong saya Muhammad Iqbal Nu’aim memperoleh 3 anugerah semalam. Ini adalah acara yang saya pasti akan kosongkan masa walaupun sesibuk bagaimana. Acara untuk memberikan apresiasi kepada anak-anak.

Sebelum saya keluar semalam daripada dewan di GMI, saya didekati oleh seorang daripada hadirin yang hadir dalam program PLF Showcase. Beliau adalah bakal peserta yang akan menghadiri Bengkel Penulis Super kendalian saya pada 8 & 9 Disember ini. Bengkel yang saya akan dedahkan hasil kajian saya sekian lama berada dalam dunia penulisan dan penerbitan buku. 12 tahun yang amat mendewasakan. Alhamdulillah beliau sudah mendaftar diri dan amat teruja untuk menghadirkan diri di bengkel itu kelak. 🙂

Kredibiliti Meningkat Apabila Wujudnya Penulisan

Apabila saya berada di GMI semalam, saya sengaja meneliti para PLF yang hadir, berapa orangkah di antara mereka ini yang sudah menjadi seorang penulis. Daripada penelitian saya semalam ada beberapa individu yang sudah menghasilkan buku, antaranya adalah pasangan Coach Ridz dan Coach Sha. Coach Sha adalah antara Alumni Akademi Penulis yang pernah menghadiri bengkel kendalian saya satu masa dahulu. Buku beliau bertajuk 21 Rahsia Fasih Berbahasa Inggeris yang sekarang menjadi jenama mereka dalam roadshow mencari agen FBI (Agen Fasih Berbahasa Inggeris) mereka. Alhamdulillah buku itu diterbitkan di bawah penerbitan saya PTS Millennia Sdn Bhd dan mendapat sambutan menggalakkan. Ia sudah diulang cetak berulang kali.

Buku tulisan Coach Sha & Coach Ridz

Buku tulisan Coach Sha & Coach Ridz

Berbeza pandangan masyarakat apabila melihat seorang individu yang menulis buku dengan individu yang belum menulis buku. Seorang individu penulis dilihat berkredibiliti. Kredibiliti didefinisikan sebagai peningkatan kepercayaan dan keyakinan kepada seorang individu. Apabila seorang itu menulis ia akan menaikkan taraf dirinya dalam 3 perkara iaitu:

PERTAMA: Dilihat berilmu

Seorang yang menulis dilihat mempunyai kepakaran mendalam dalam bidang yang beliau tulis. Melalui tulisan kita akan bercerita mengenai apa yang kita tahu dalam bidang berkaitan. Penemuannya, teorinya, pakarnya dan bagaimana mereka mengaplikasikannya. Ia menjadi satu cerminan maklumat yang terdapat di dalam otak penulis. Lebih banyak individu menulis maklumat dalam bidang, lebih tinggi nilaian keilmuannya. Lebih tinggi apabila tulisan itu mudah difahami oleh pembacanya.

KEDUA: Dilihat berkeupayaan

Apabila seorang itu dapat menulis, sangkaan dalam minda orang yang membaca “sudah tentu beliau ini dapat memberikan input ceramah”. Ini adalah sangkaan biasa, kebanyakan individu yang menulis buku seringkali dijemput untuk mengendalikan sesi ceramah, sesi latihan, sesi coaching dsb. Pada pandangan ramai apabila boleh menulis, tentu boleh menyampai.

KETIGA: Dilihat berpengalaman

Seseorang penulis apabila memberikan input dalam penulisan disangka mempunyai pengalaman dalam bidang walaupun apa ditulis itu adalah pengalaman orang lain. Ia menjadikan para pembacanya akan mengganggap beliau adalah pakar rujuk terbaik dalam bidang itu.

Ini adalah hasil kajian saya walaupun sebenarnya penulis tersebut kadangkala tidaklah sepertimana disangka. Para penulis mendapat persepsi positif kepada apa yang ditulis.

Golongan Artis Barat Membersihkan Nama dengan Menulis

Penulisan juga bukan sahaja ia meningkatkan kredibiliti, juga ia dapat mengubah persepsi dan mem’bersih’kan tanggapan buruk kepadanya. Ini yang diamalkan oleh beberapa orang artis antarabangsa. Antara yang saya sering jadikan contoh dalam bengkel-bengkel kendalian saya adalah Madonna.

Madonna adalah artis barat yang amat terkenal dengan tingkah laku ‘kurang beradab’ di mata antarabangsa. Beliau terkenal dengan skandal seks bebas, tingkah laku meminum arak, men’dedah’kan diri secara eksplisit dan banyak lagi. Ia menimbulkan pandangan buruk kepada media. Apa yang dilakukan oleh Madonna untuk mengubah persepsi ini adalah amat mengagumkan saya.

Beliau menjadi pengarang buku kanak-kanak. Ia terus mengubah imej beliau daripada seorang individu ‘kurang berakhlak’ kepada seorang ibu penyayang. Imej ini sedikit sebanyak membersihkan tanggapan kepada diri beliau terutamanya di kalangan pembaca buku-buku beliau.

Buku kanak-kanak karangan Madonna

Buku kanak-kanak karangan Madonna

Bagi individu yang ingin mengetahui lanjut bagaimana untuk memulakan langkah sebagai seorang pengarang, boleh ke laman web Bengkel Penulis Super di www.penulissuper.com. Bacalah dengan nama Tuhanmu..

Please note: I reserve the right to delete comments that are offensive or off-topic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *