Terima Kasih Tuan Sayed Munawwar!!
Posted on 20. Apr, 2009 by Fauzul Na'im Ishak in Coretan, Utama
Hari ini adalah hari keempat berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009. Gerak kerja hampir setahun akhirnya bertemu titik penghujung dan hasilnya adalah apa yang ada sepanjang 17 hingga 26 April 2009. Saya sepertimana tahun-tahun sebelum ini (2007 hingga 2008) meneruskan gerak kerja publisiti & promosi Pesta Buku. Cuma agak berbeza kerana tahun ini saya sendiri berfungsi sebagai pengerusinya. Sebelum ini menjadi orang AJK sahaja.
Alhamdulillah, hasil gerak kerja publisiti tahun ini menampakkan hasilnya. Walaupun dalam keadaan agak gawat tetapi sambutannya amat menggalakkan. Hari pertama hari yang bukan hujung minggu ada gerai yang mencatatkan jualan berkali ganda daripada jualan hari pertama tahun sebelum ini. Hari kedua orang bersesak hingga saya mendapat pelbagai komen melalui facebook dan dalam blog mengenainya. Ada yang hilang anak, hilang suami, hilang isteri. Satu fenomena yang harus dibanggakan. Dunia buku semakin bersinar. Orang Malaysia minat buku.
Di Luar Lingkungan
Pagi tadi saya mendapat tahu daripada sahabat baik saya Tuan Sayed Munawwar bahawa malam ini beliau bersiaran dengan tetamu undangannya Puan Ainon Mohd., Pengerusi Kumpulan PTS, En. Khair Ngadiron, CEO ITNMB dan Puan Nisah Haron, peguam dan penulis buku terkenal. Topik perbincangannya adalah mengenai dunia ilmu. Saya juga terserempak dengan En. Khair dan mengucapkan selamat berjaya dalam forum malam ini. Bukan apa, berdepan dengan dua orang pejuang dunia ilmu dan beliau adalah satu-satunya wakil kerajaan. En. Khair senyum dan ketawa besar apabila saya berkata demikian.
Saya memang angkat tabik kepada beliau, sepanjang mengambil alih ITNMB sudah banyak perubahan dibuat. ITNMB berubah daripada sekadar projek bahan lawak industri buku kepada sebuah syarikat GLC yang mula dikagumi. Di bawah pentadbiran beliau banyak kejayaan dikecap ITNMB. Antaranya adalah antara organisasi pertama penerbitan Malaysia yang berjaya membuat pelancaran buku di Frankfurt Bookfair. Tabik Tuan.
Petang tadi sebelum saya berangkat pulang, saya mendapat satu mesej daripada Tuan Sayed Munawwar
Saksikan DLL malam ini, nama tuan akan disebut 9.30 pm live – SMunawar
Pelik juga saya membaca isi SMS ini. Masakan nama saya akan disebut oleh beliau dalam televisyen sedangkan tidak dijemput sebagai ahli panel. Langsung daripada PWTC terus pulang dengan membawa para duta PBAKL yang menumpang kereta. Singgah sebentar di Stesen Petronas sebelum tol bagi bersolat Maghrib dan terus menuju rumah selepas menghantar beberapa duta PBAKL ke rumah mereka.
Bermula sahaja siaran Di Luar Lingkungan saya tersentak apabila terpampang laman blog ini di kaca televisyen dengan membawa tulisan saya mengenai fitnah dunia buku. (Baca artikel berikut HENTI FITNAH DUNIA BUKU!!). Wah! Artikel blog ini menjadi antara topik perbincangan. Satu perkara mengejutkan. Terima kasih Tuan Sayed Munawwar.
Walauapapun perbincangan yang diangkat pada malam ini amat baik dan penting. Satu perbincangan yang patut ditonton dan didengar oleh pembuat dasar dalam kerajaan. Satu topik yang membuak rasa dalam diri saya selama ini. Puan Ainon Mohd dengan berhujah tenang, Puan Nisah penuh berhemah dan En. Khair penuh berhikmah. Satu diskusi tidak berpihak, yang ada menaikkan ilmu sebagai gagasan utama. Tahniah Di Luar Lingkungan. Tahniah pada ahli panel dan sekali lagi Terima Kasih Tuan Sayed Munawwar
Jemput ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, ada 6 hari lagi. Mari meramaikannya.
Hasil tulisan :Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
md@fauzulnaim.com



Masayu
21. Apr, 2009
Tahniah untuk Tuan Fauzul dan tim PTS. Nampaknya usaha selama ini semakin mendapat tempat dan liputan. Suatu perkembangan yang memberangsangkan untuk industri buku. Saya berkesempatan juga menonton siaran tersebut.
Fauzul Na'im Ishak
21. Apr, 2009
Terima kasih atas sokongan saudari kepada pihak kami. InsyaAllah perjuangan akan diteruskan dengan sokongan hebat saudari.