Terima Kasih Allah Untuk Tambahan Umur Ini

Malam ini saya berseorangan nun jauh di Utara tanah air,  menyambung perjuangan yang menjadi pilihan saya pada genap usia 36 tahun malam ini. Perjuangan memperkasa ummah melalui program kendalian saya. Suatu bidang yang terlalu asing buat saya 12 tahun lepas, namun sehingga sekarang saya sudah mengendalikan lebih daripada 280 kursus dalam bidang penulisan, komunikasi dan pembangunan diri. Alhamdulillah.

Malam ini sengaja mengambil ruang ini sebelum melelapkan mata selepas menjelajah lebih 300 KM dengan kapal terbang dan kemudian memandu kereta yang diambil dari rumah ibu saudara saya di Simpang Empat, Kangkung, Alor Setar sebentar tadi. Menginap di Soo Guan Villa, Arau, tempahan pihak penganjur hari esok.

Alhamdulillah Ya Allah kerana masih memberikan tambahan umur buat diriku ini. Tambahan umur yang amat berharga kerana rasa cintaku untuk terus membawa obor perjuangan dalam bidang latihan yang sudah ku jatuh cinta sejak 10 tahun ini. Sejak 2 tahun ini sepenuh masa ke seluruh pelosok bumi Malaya memperkasa ummah dengan modul-modul latihan yang direka khas untuk membentuk tingkah laku dan memperkasa kemahiran manusiawi.

Ya Allah rahmatikanlah perjuangan ini, ku terinspirasi untuk memperkasa lebih ramai ummah di seluruh dunia, semoga tambahan umur ini membawa lebih banyak manfaat buat lebih ramai manusia.

Sudah melalut, baik tidur wahai mataku. Besok menyambung perjuangan memperkasa ummah di Universiti Teknologi MARA Kampus Arau. Kursus Revolusi Bakat Penulisan Buku. Kita sambung besok hari… 🙂.

Leave a Comment