Terharu, Pilu dan Sedih

Posted on 09. Feb, 2010 by Fauzul Na'im Ishak in Coretan

Alhamdulillah, sudah seminggu berakhir Bengkel Penulis Super: Langkah Seribu Menjadi Penulis Buku Umum Bestseller. Bengkel yang julung-julung kali diadakan dan merupakan bengkel pertama yang dianjurkan oleh Akademi Penulis tahun 2010. Seramai 38 orang peserta yang menyertainya. Asalnya seramai 75 orang mendaftar diri namun pada saat-saat akhir ia berkurangan kerana ada peserta menarik diri atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. InsyaAllah mereka ini akan menyertai bengkel seterusnya yang dijangkakan pada Jun 2010 ini.

Antara komen yang menarik daripada peserta bengkel

Antara komen yang menarik daripada peserta bengkel

Saya amat terharu apabila melihat semangat dan keghairahan para peserta untuk menimba ilmu dunia penulisan dan penerbitan buku sepanjang bengkel ini. Saya teringat pada mula-mula saya ingin menganjurkan bengkel untuk orang awam ini. Ibu saya berkata, “Ada ka orang yang ingin belajar menulis ini?”

Kata-kata ini memberikan semangat dan cabaran kepada saya. Alhamdulillah program pertama yang dianjurkan pada tahun 2009 berjaya. Selepas itu kedua, ketiga, keempat dan akhirnya Bengkel Penulis Super ini. Ada banyak lagi program bakal di anjurkan di masa hadapan. Satu lagi bengkel anjuran Akademi Penulis akan diadakan pada 19 hingga 21 Mac 2010 iaitu Bengkel Penulisan Berita dan Rencana di Hotel Vistana Kuala Lumpur juga.

Sukar Dijangka

Dunia penulisan dan penerbitan buku ini amat tidak dapat dijangka. Dengan adanya mitos-mitos yang didendangkan menyebabkan keyakinan kepada dunia penulisan ini goyah.

Komen peserta bengkel yang menaikkan semangat saya

Namun kehadiran para peserta daripada pelbagai golongan dalam bengkel ini mengubah segala. Ada jurutera, doktor perubatan, pensyarah ipta, penjawat kerajaan, usahawan dan suri rumah. Yang lebih menarik ada yang pulang dari Tripoli semata-mata hendak menghadiri bengkel ini

Sekarang orang sudah mula melihat dunia penulisan ini sebagai dunia menarik untuk dijelajahi. Ada yang ingin menjadikannya ruang untuk menjana pendapatan, ada sebagai penerus perjuangan dan ada sebagai legasi keturunan.

Walauapapun sebabnya, dunia perbukuan dan penulisan Malaysia akan diwarnai dengan lebih banyak buku yang berkualiti dengan kehadiran kumpulan penulis generasi baru ini. InsyaAllah. Terima kasih kerana semangat yang dikongsikan, InsyaAllah saya akan terus berusaha untuk melahirkan lebih ramai penulis dan buku berkualiti tinggi di Malaysia khususnya dan dunia amnya.

Pilu dan Sedih

Saya baru mendapat berita sedih, seorang sahabat sebaya yang pernah bersekolah bersama di Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan dahulu menempuh satu ujian besar daripada Allah. Dua orang anaknya, anak berusia 3 tahun dan 4 tahun meninggal dunia dalam dua hari berturut-turut kerana dijangkiti demam denggi.

Tidak terbayang jika wajah-wajah ceria ini hilang daripada mataku

Fuhh!! Memang hebat ujian itu. Anak-anak yang sudah lama bersama-sama, bergelak bersama, menunjukkan gelagat yang ceria tiba-tiba meninggalkan kita dalam sekelip mata. Saya sendiri tidak boleh membayangkan apa perasaan saya jika ia berlaku kepada diri saya. Mungkin boleh jadi gila.

Ya Allah berikan kekuatan kepada sahabat aku ini, berikanlah redha dan rahmatMu Ya Allah kepada beliau, isteri beliau dan ahli keluarga beliau dalam menghadapi ujian besar ini Ya Allah. Lindungilah aku dan keluargaku daripada sebarang ujian sebegini Ya Allah. Aku ini hambaMu yang lemah Ya Allah. Amiin Ya Rabbal ‘Alamiin.

Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
md@fauzulnaim.com
Blog Widget by LinkWithin

Tags: ,

Leave a Reply