Siapa Saya?

Rakan dan kenalan terdekat pernah bertanya kepada saya “Hang ni tak pernah letihkah? Buat tu buat ni! Bila hang nak boleh dok senyap.”

Di kalangan sahabat handai dan saudara mara, saya sebagai seorang yang amat aktif di zaman universiti. Universiti Malaya adalah pada pandangan saya pembentuk utama peribadi saya. Pengalaman menjadi Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya 1997/98, suatu pengalaman berharga yang tidak dapat dibayar walaupun dengan nilaian jutaan ringgit. Di sana saya belajar menjadi pemimpin, pengikut, abang dan adik. Pelbagai projek yang saya asas dan kendalikan. Karnival Rakan Muda Universiti Malaya, Sukan Antara Fakulti, Operasi Khidmat Mahasiswa Sarawak dan pelbagai lagi. Semua ini adalah intipati utama yang menjadikan diri saya, saya sekarang ini.

Daripada alam mahasiswa, terjun terus ke alam penerbitan buku. Suatu alam yang amat berbeza daripada apa yang saya pelajari di kejuruteraan lektrik Universiti Malaya. Di PTS saya belajar berbisnes, berinteraksi, berkomunikasi, menjadi ketua, menjadi pemimpin, menjadi bapa dan menjadi sahabat. Membangunkan sebuah syarikat penerbitan bersama rakan-rakan daripada terpaksa keluar daripada pejabat kerana ‘dijual’ hingga sekarang mampu membeli 5 unit kilang bernilai jutaan ringgit.

Daripada alam penerbitan buku terjun pula ke dunia bisnes latihan dan pembangunan diri. Bermula dengan menubuhkan Akademi Penulis Sdn. Bhd., platform mengendalikan program-program penulisan buku seluruh dunia. Menjadi jenama tersohor bidang pembangunan penulisan. Kemudian membangunkan pula divisyen-divisyen baru, Akademi Usahawan dan Akademi Protokol. Kesemua ini sekarang bersatu di bawah satu jenama FINE Academy (diuruskan oleh FINE Training Academy Sdn. Bhd.).

Saya sekarang adalah certified trainer untuk Pembangunan Sumber Manusia Berhad, certified trainer di bawah GEM International, certified trainer di bawah Pertubuhan Perunding Latihand dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) dan certified DiSC Profile Analyst di bawah Hann Consulting (Asia) Sdn. Bhd..