Setiap Peristiwa dalam Hidup Pasti Ada Hikmah buat yang Mengkaji

Hari ini hari lapang yang amat mengujakan buat diri saya. Kenapa? Sepatutnya petang ini saya bertolak ke Ipoh bagi mengendalikan sesi Kursus TNB Better Brighter buat Jabatan Pengurusan Aset, namun kerana kesukaran teknikal menyebabkan kursus ini ditunda. Ini menjadikan hari bercuti buat saya bertambah daripada hanya 1 hari kepada 3 hari. Tolak Sabtu yang penuh mesyuarat, hari Isnin pasti selesaikan urusan pejabat, maka hari ini adalah hari paling lapang buat saya.

Pagi tadi menghantarkan anakanda berdua ke sekolah bagi menyertai rombongan kelas tahfiz SekolaH Rendah Islam Al-Amin ke KidZania. Amat teruja wajah mereka berdua apabila saya memberikan kebenaran ini. Itupun kebenaran bersyarat dan mereka berjaya menyelesaikan syarat minimum diberikan oleh saya. Alhamdulillah.

Kisah Hari Ini: Bermain bola keranjang mewakili ANSARA MRSM Beseri

Kisah Hari Ini: Bermain bola keranjang mewakili ANSARA MRSM Beseri

Bola Keranjang Mengisi Masa Lapang

Saya mendapat satu mesej daripada rakan seSAINS MACHANG, beliau juga adalah rakan sepasukan saya ketika berada dalam pasukan bola keranjang Sains Machang satu masa dahulu. Kami sama-sama mewakili sekolah ke Piala Perdana Menteri Zon Timur dan pernah menjadi Naib Johan Zon Timur.

Beliau menjemput saya menyertai pasukan bola keranjang ANSARA MRSM Beseri untuk Kejohanan Sukan ANSARA Kebangsaan. Melihat jadual yang lapang dan gian mahu bermain bola keranjang, maka saya bersetuju.

Bermain bola keranjang ini adalah salah satu episod menarik saya dalam kehidupan. Ketika saya berada dalam sekolah rendah, saya ini bukanlah seorang ahli sukan. Pernahlah menjadi pelontar peluru mewakili rumah sukan sekolah, tetapi tidak pernah lepas melebihi tahap itu.

Zaman sekolah rendah saya adalah zaman PENGUCAPAN AWAM. Zaman yang melatih bakat bercakap di khalayak ramai.

Saya mewakili sekolah untuk pertandingan bercerita, pertandingan pidato dan mewakili daerah untuk Kuiz Agama. Pada ketika itu ‘bintang’ saya amat terang dalam bidang itu.

Namun apabila memilih masuk ke sekolah berasrama penuh, ‘bintang’ saya dalam bidang itu malap manakala ‘bintang’ saya dalam bidang lain┬ácerah.

Pada mulanya amat kecewa kerana tidak terpilih dalam bidang yang sama, namun begitu saya tidak berhenti. Saya berusaha untuk menyertai ruang lain dan pada mulanya saya menyertai kadet pancaragam sekolah. Di sanalah bakat saya bermain muzik diasah. Saya bermain trombone dan dapat membuat persembahan di hadapan Sultan Kelantan pada keputeraan baginda selama 4 tahun berturut-turut.

Dan pada ketika itu saya bertemu dengan seorang guru bernama Cikgu Rujhan yang mengajak saya menyertai pasukan bola keranjang. Beliaulah yang melatih saya sebelum dilatih pula oleh dua orang guru lain iaitu Cikgu Mohd Ali Samadi dan Cikgu Zaidi Yazid.

Alhamdulillah saya terpilih menyertai kejohanan Piala Perdana Menteri selama 3 tahun berturut-turut dan kejohanan bola keranjang Bukan Melayu peringkat Negeri Kelantan.

Permainan saya tidak berhenti di situ, saya juga menyertai pasukan bola keranjang Universiti Malaya untuk kejohanan Inter-Matrikulasi dan mendapat tempat ketiga kebangsaan.

Hikmah Di Sebalik Sesuatu

Pada mulanya saya menganggap zaman sekolah menengah itu adalah zaman gelap saya. Namun apabila dilihat pada perspektif berbeza, ia adalah rahmat buat saya. Apabila tidak terpilih untuk menjadi pemimpin pelajar mahupun menyertai pertandingan berbentuk pengucapan awam, rupanya Allah melorongkan saya untuk melihat ruang lain dalam diri saya. Bakat bersukan.

Alhamdulillah kesemua ini menjadikan diri saya lebih terbuka, bukan hanya aktiviti berbentuk akademik tetapi juga sukan.

Setiap sesuatu itu pasti ada hikmahnya. Dan kita hanya akan sedar apabila kita sudah berada di zaman selepas itu.

Seperti ucapan mendiang Steve Jobs ini. Hayatilah ucapan yang juga menginspirasikan usaha saya ini. Bagaimana kehidupan adalah ‘menyambung titik-titik’

Leave a Comment