Semporna yang ‘Sempurna’

Program Re-Code membawa saya menjelajahi dunia baru yang belum pernah saya jelajahi sebelum ini. Daerah pelancongan Sabah, daerah Semporna. Semporna terletak di ‘bibir’ Sabah. Pintu masuk kepada para penyelam skuba untuk ke Pulau Sipadan. Melihat air lautnya, mengingatkan saya kepada air laut Pulau Tioman. Biru, bersih dan kita dapat melihat hingga ke dasarnya. Ikan-ikan bermain-main di sekeliling terumbu. Hebat ciptaan Allah ini.

Para pegawai KPTM Semporna yang mengiringi saya

Daerah Semporna ini menjadi lebih hebat apabila berlangsungnya satu acara tahunan yang ditunggu ramai iaitu Regatta Lepa. Ia diadakan pada setiap bulan April setiap tahun. Saya diiring para pegawai Kolej Poly-Tech MARA Kampus Cawangan Semporna. Turut bersama adalah Tuan Jaspy, Timbalan Pengarah KPTM Semporna. Mereka membawa saya dan saudara Mustaffa, pengurus Divisyen Latihan FINE Academy yang mengiringi saya ke sana melawat sekitar Semporna.

Pemandangan sekitar Semporna Holiday Resort

Kami menjejak kaki ke Semporna Holiday Resort. Sebuah resort atas laut yang pernah dijadikan lokasi penggambaran filem Duyung terbitan KRU satu masa dahulu. Di sana saya menikmati jamuan makan malam yang amat menyelerakan. Hidangan lobster, tomyam, sayuran dan masakan ikan masak merah.

Hidangan lobster yang amat menyelerakan

Hidangan lobster yang amat menyelerakan

Kami juga dibawa melawat Dragon Inn yang menempatkan ikan Kerapu spesis Kratang. Ikan ini bersaiz sebesar manusia dan sering ditemui di sekitar Sipadan. Pernah dikhabarkan menjadi punca kehilangan manusia sekitar pulau indah itu. Ikan Kratang dikatakan sebagai spesis yang makan manusia. Melihatkan saiznya, saya dapat membayangkan bagaimana manusia ditelan.

Saya bersama Tuan Jaspy membelakangi lokasi filem Duyung

Kami dibawa melawat kedai yang menjual aksesori mutiara. Semporna adalah sumber utama mutiara Sabah. Pelbagai jenis aksesori ada di sana. Saya juga turut membeli belah untuk diberikan kepada isteri dan sahabat handai.

Memang Semporna adalah daerah yang ‘sempurna’ keindahan alam ciptaan Allah. Saya amat mencadangkan pencinta-pencinta alam dan jurukamera-jurukamera untuk menikmati dan merakam keindahan Semporna nan indah ini..

Leave a Comment