Semangat Setiakawan Penting Dalam Organisasi
Posted on 30. Dec, 2009 by Fauzul Na'im Ishak in Coretan
Alhamdulillah saya bersama keluarga baru sahaja selesai menganjurkan kenduri kesyukuran dan akikah puteri saya Nur ‘Aisyah Humaira’ yang baru berusia 7 bulan. Kenduri ini bersempena banyak perkara. Akikah puteri saya dan adik saya, kesyukuran kejayaan syarikat milik saya Fauzul Na’im Sdn. Bhd., perkembangan Kumpulan PTS, kesyukuran sepupu saya yang baru memperoleh 9A dalam PMR dan juga meraikan sahabat handai serta saudara mara.
Saya bagi pihak keluarga mengucapkan jutaan terima kasih kepada saudara mara dan sahabat taulan yang sudi hadir memeriahkan majlis saya ini. Pada pandangan saya, hanya mereka yang mempunyai semangat setiakawan dan ukhuwwah tinggi sahaja sanggup hadir ke rumah saya ini. Mengapa? Jaraknya agak jauh dari Kuala Lumpur (45 minit perjalanan) dan tempat-tempat lain. Ada sanak saudara dan sahabat handai dari Perak, Kedah dan beberapa tempat lain sudi hadir walaupun jauh. Ini yang menghibakan saya dan keluarga.
Terima kasih banyak-banyak.
Semangat Setiakawan Dalam Organisasi Bisnes
Apabila sesebuah organisasi bisnes hendak bergerak, daripada mula ditubuhkan, mengorak langkah, berkembang hinggalah berjaya. Tentu ada banyak mehnah dan tribulasi (ranjau duri) berlaku. Ada saat yang amat susah dan saat menjadi senang. Pada waktu susah, keadaan ekonomi organisasi bisnes agak goyah. Bayaran pelanggan lambat masuk, aliran tunai tidak kukuh, pembekal meminta hutang, gaji pekerja juga terjejas.
Dalam keadaan ini sesebuah organisasi banyak bergantung kepada semangat setiakawan. Mereka yang sanggup bersabar, tekun dan komited sahaja bersedia bersama-sama dengan organisasi mengharungi liku-liku dan onak duri. Pada ketika ini baru kita tahu mana yang benar-benar setia dan tidak. Mana yang merupakan pejuang dan mana hipokrit.
Keadaan ini pernah dilalui oleh Kumpulan PTS 8 ke 9 tahun lepas. Pada ketika itu keadaan ekonomi syarikat tidak stabil. Hutang keliling pinggang. Mahu membayar gaji pun perlu beransur-ansur. Hinggakan kepimpinan tertinggi hanya mendapat bahagian gaji lebihan selepas semua pekerja mendapat habuannya. Itupun hanya separuh dan kadangkala suku daripada gaji pekerja lain. Ada pekerja berhenti kerana tidak sanggup bertahan.
Alhamdulillah ia sudah lama berlalu, sekarang Kumpulan PTS mengorak langkah ke hadapan. Mempunyai bangunan sendiri dan semua pekerja menikmati zaman senang. Hingga ada sekarang pekerja sudah mula pandai meminta-minta gaji lebih. Jika tidak diberi maka hendak cari kerja di tempat lain. Memang berbeza zaman susah dan zaman senang.
Setiakawan dan Ukhuwwah
Pada ketika susah kita dapat lihat keadaan ukhuwwah antara pekerja amat rapat. Boleh makan bersama, minum bersama, bergelak bersama, bercerita bersama. Semua tidak pernah berkira dalam apa perkara sekalipun. Ukhuwwah yang erat ini memberikan impak yang cukup baik kepada organisasi.
Namun ketika senang, semuanya berubah. Hubungan ukhuwwah menjadi renggang. Berlaku halangan tidak nampak yang terbina menyebabkan hubungan antara ahli organisasi tidak rapat.
Ia sama sahaja di mana-mana organisasi besar. Di sini peranan pengurusan tertinggi untuk melihat bagaimana membawa hala tuju syarikat. Hendak pentingkan material semata-mata ataupun kesatuan organisasi.
Apabila membaca kesanggupan para sahabat Nabi Muhammad SAW membentengi Nabi ketika diserang para tentera musyrikin dalam perang Uhud. Saya terfikir adakah masih wujud para pekerja yang sanggup begitu? Semangat berani mati demi mempertahankan prinsip dan pegangan.
Ya Allah temukanlah aku dengan mereka ini. Amiin
Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
md@fauzulnaim.com


