Salam 2012: Perubahan Drastik Dalam Hidup

Apabila melihat tulisan terakhir saya dalam blog ini, rupa-rupanya sudah hampir 5 bulan saya tidak menumpahkan sebarang tulisan di sini. Memang terasa bersawang laman web ini. Sebenarnya saya mencari sebab untuk menulis semula di sini. Antara yang saya baru sahaja lakukan adalah meminta sepupu saya, Tuan Ahmad Hafizal membuat rekaan semula kepada laman web ini.

Tahun 2012 ini adalah tahun transformasi hidup buat diri saya. Tahun yang saya membuat beberapa anjakan ke hadapan, mungkin ada orang melihat ia sebagai anjakan ke belakang. Lain-lain orang, lain-lain persepsi. Semua persepsi adalah betul :). Alhamdulillah pada 1 Januari 2012, saya mengesahkan diri saya sebagai seorang jurulatih, coach, motivator, professional learning facilitator dan penceramah sepenuh masa.

Para Jurulatih FINE Academy

Para Jurulatih FINE Academy, THE AVENGER yang memperkasa ummah 🙂

Keputusan ini bukanlah suatu keputusan yang mudah selepas sekian lama berada dalam PTS, sebuah syarikat, sebuah industri yang pada mulanya asing, kemudian membawa pasukan kepada kejayaan yang dikecap sekarang. Memang pelbagai perkiraan dibuat. Akhirnya selepas beberapa muzakarah dengan rakan kongsi saya, Tuan Arief kami bersepakat atas suatu perkara. Saya dibenarkan untuk membuat apa yang saya mahu buat.

Namun tetap tidak boleh keluar daripada PTS. Saya hanya menukar fungsi daripada dahulunya dengan fungsi eksekutif, sekarang sebagai penasihat kepada eksekutif. Menjadi pengarah penerbitan di PTS Media Group Sdn. Bhd. (nama PTS selepas dijenamakan semula). Terima kasih sahabatku, Arief, terima kasih bonda Ainon Mohd. atas kepercayaan dan keizinan ini. Ini yang saya amat sayang berkenaan PTS. Kepercayaan dan kekeluargaan, sukar saya peroleh di tempat lain. Tidak ada sebab saya mahu keluar daripada syarikat yang saya merasakan sudah menjadi sebahagian daripada diari hidup saya. Apa yang berlaku sekarang bukanlah bermaksud saya keluar, cuma menukar fungsi. Saya tetap PTS, masih PTS dan selamanya PTS. InsyaAllah. Semoga Allah tetapkan hati saya dalam perjuangan ini.

Lonjakan Baru

Tahun ini saya berfungsi sepenuhnya sebagai Presiden/CEO/Master trainer di FINE Training Academy Sdn. Bhd. atau FINE Academy (dahulunya dikenali sebagai Fauzul Na’im Sdn. Bhd.). Syarikat yang saya asaskan bersama dengan isteri. Syarikat yang sekian lama menjadi impian kami bersama. Bermula daripada hanya syarikat berstatus perkongsian, Book Pro Publishing Services. Menjalankan projek-projek perkhidmatan penerbitan. Dapatlah beberapa projek kecil, kemudian percubaan melangkah ke dunia latihan penulisan. Menjalankan pula bengkel-bengkel secara kecil-kecilan. Kemudian memutuskan untuk membesar dengan mengwujudkan Akademi Penulis Sdn. Bhd. dan Fauzul Na’im Sdn. Bhd. dan sekarang menjadi sepertimana dilihat, didengar dan dirasa.

Ini adalah suatu lonjakan baru dalam hidup saya. Dahulu setiap bulan hanya tahu bahawa gaji berada dalam bank dengan tangga gaji yang pasti (tentulah tahu situasi kewangan di PTS, cuma tidak berapa ambil hirau sebab ada Arief dan Puan Hasnah, akauntan PTS yang memikirkan bagi pihak :)). Sekarang mahu ambil gaji di syarikat sendiri pun terasa seperti….. seperti apa ya? Sebagai seorang majikan dan pemilik, apa yang lebih penting adalah memberikan terbaik kepada pekerja dahulu. Apabila mahu ambil gaji, terasa seperti mengambil hak pekerja. Itu cuma rasa saya, hanya kata-kata dalam diri sendiri. Walauapapun tetap perlu mempunyai kewangan sendiri. Mungkin ramai yang akan terkejut apabila saya memberitahu bahawa selama saya berada di FINE Academy ini sehingga saat ini, saya belum pernah mengambil sebarang gaji secara rasmi. Apa yang saya ambil hanyalah wang daripada bahagian saya sebagai seorang trainer untuk program kendalian saya sahaja. Pelik bukan?

Kursus Penulisan Berkesan di Kuantan Pahang

Pada ketika ini, saya berinternet dari kafe di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, menunggu penerbangan ke Kuala Lumpur. Saya baru sahaja selesai mengendalikan 2 modul dalam Kursus Penulisan Berkesan anjuran Jabatan Agama Islam Pahang dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia. Alhamdulillah ini adalah program ketiga IKIM yang saya dijemput sebagai pengendali bengkelnya. Apabila menjadi usahawan dalam bidang latihan ini, juga mengendalikan program sebagai trainer, ia mewujudkan kepuasan pada diri saya. Kepuasan disebabkan dua faktor. Pertama, saya bebas membuat keputusan apa yang saya mahu buat. Masa saya adalah milik saya.

De Rhu Beach Resort, tempt berlangsungnya Kursus Penulisan Berkesan

De Rhu Beach Resort, tempt berlangsungnya Kursus Penulisan Berkesan

Namun yang ajaibnya, dalam keadaan bebas sebegini tetap sibuk juga. Dua kali ganda lebih sibuk berbanding menjadi Pengurus Besar Penerbitan di PTS dahulu. Kerja kadangkala sehingga jam 1.00 pagi. Isteri dan anakanda-anakanda sudah dibuai mimpi, namun saya masih lagi menaip di Mac Book Pro saya :). Kedua, saya menyumbangkan semula hasil pengalaman saya kepada masyarakat. Pengalaman daripada zaman sebagai seorang mahasiswa yang aktif dalam universiti, mengendalikan program-program besar universiti, memulakan langkah dalam dunia penerbitan, membantu membesarkan syarikat hingga sekarang diiktiraf sebagai antara yang terbaik dalam industrinya, membangunkan generasi baru PTS hingga sekarang mereka sudah dapat diberikan kepercayaan memimpin, membangunkan produk buku dan jenamanya. Kesemua ini saya terjemahkan dan tumpahkan ke dalam program-program kendalian saya.

Saya merasakan pengalaman yang ditempuh ini dapat dimanfaatkan oleh orang lain untuk mempercepatkan pembangunan diri, pembangunan dan pengembangan organisasi dan memacu kejayaan mereka sepertimana yang pernah saya lakukan sebelum ini. Alhamdulillah Allah memberikan saya masa untuk melakukannya sekarang. Selepas PTS membesar dan berdiri hebat dalam pasaran. Inilah masanya menyumbang kembali kepada masyarakat.

Panggilan untuk masuk ke kapal terbang sudah bergema. Nanti saya sambung kembali penulisan ini. Terima kasih kerana masih sudi membaca tulisan saya di sini 🙂.

Leave a Comment