S.W.O.T: Ke Mana Selepas SPM? Tip daripada Bekas Calon SPM

Hari ini adalah hari keputusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk calon-calon yang mengikuti peperiksaan pada tahun 2014.

Ingat kembali saat mengetahui keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 20 tahun lepas. Pada ketika itu saya belajar di Sekolah Menengah Sains Machang, Labok, Machang, Kelantan.

Debaran terasa pada ketika itu kerana ini adalah penentu langkahan ke alam pekerjaan.  Langkah untuk memilih bidang apakah yang bakal saya ikuti di alam universiti.

Alhamdulillah keputusan saya pada ketika itu agak baik dengan 11 agregate (dahulu sistem menggunakan aggregate, berbanding sekarang menggunakan ABC).

Sekolah kami diisytiharkan antara tempat ketiga terbaik pencapaian SPM di Malaysia tahun 1994. Berjaya mengalahkan pencapaian sekolah-sekolah ternama lain.

Batch

Ini adalah antara wajah bekas pelajar SMACH 94 yang memecah rekod sekolah, tempat ketiga pencapaian terbaik SPM seluruh Malaysia

Apa yang Disangka Tidak Seperti Diidam

Apapun pada ketika itu kebanyakan kami memandang kepada dunia pekerjaan yang blink-blink. Mana pekerjaan yang terbaik dengan gaji paling baik, itulah pilihan yang menjadi keutamaan bidang ketika universiti.

Tidak ada yang datang bertanya dan menerangkan mengenai apa yang patut saya ambil dan lakukan.

Apa yang boleh saya katakan. Tidak semestinya apa yang kita sangka itu akan menjadi seperti diidamkan di zaman pekerjaan.

Saya pada ketika itu amat berminat untuk menjadi doktor perubatan. Mengapa? Kerana pada sangkaan saya inilah ruang terbaik untuk membantu orang lain. Membantu dengan memberikan perubatan terbaik buat masyarakat dan ummah.

Sebab itu saya memilih masuk ke Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dengan sasaran untuk memasuki Fakulti Perubatan Universiti Malaya. Namun apa yang saya idamkan tidak berlaku sepertimana dirancang akhir sekali terpelanting Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya mengambil Sarjana Muda Kejuruteraan Letrik.

Liku-liku dalam Mengejar impian

Inilah yang saya selalu katakan dalam kursus kendalian saya, dalam mengejar impian pasti ada liku-liku yang akan menghalang atau mengubah hala tuju impian itu. Namun setiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

Hikmah saya tidak memasuki Fakulti Perubatan menjadikan saya bertemu cara memenuhi nilai asal yang saya impikan iaitu membantu orang lain dengan cara berbeza.

Pada ketika itu saya mendapat peluang terjun dalam politik kampus, menyertai persatuan yang membawa saya menjadi pemimpin pelajar. Saya terpilih untuk mewakili NADI (salah sebuah parti politik dalam Universiti Malaya yang cenderung ke arah perjuangan Islam) untuk pilihanraya kampus. Dan Alhamdulillah saya memenangi pilihanraya kampus sebagai calon umum termuda pernah memenangi pilihanraya UM.

Di sana saya bertemu nilai asal saya, merancang pelbagai projek menarik khusus untuk membantu mahasiswa dan masyarakat. Hingga saya berjaya menjalankan sebuah projek pembangunan kampung luar bandar di kawasan pedalaman Sarawak.

Rupanya impian saya dahulu disalurkan oleh Allah ke jalan berbeza. Terima kasih Allah.

Di sana saya bertemu cinta hingga mengarahkan saya ke kerjaya sekarang.

Mencari Kekuatan dalam Diri

Buat adik-adik yang sudah mendapat keputusan. Saranan saya pulang nanti buatkan kajian kekuatan diri sebelum memilih bidang di alam universiti. Biarlah pilihan itu bukan semata-mata terpengaruh dengan ‘pesona’ material kerjaya itu.

Bagi yang memperoleh keputusan bagus saya ucapkan tahniah, namun bagi yang kurang baik jalan masih terang benderang di hadapan. Tidak semestinya orang yang banyak A akan berjaya dalam dunia kerjaya, tidak semestinya individu kurang A akan gagal dalam kerjaya. Kesemuanya berbalik kepada apakah tindakan kita selepas memperoleh keputusan.

Apabila menyebut berkenaan mengkaji diri untuk kemajuan hidup. Kaedah terbaik untuk melakukannya adalah dengan menggunakan alat SWOT iaitu kaji Strength (kekuatan), Weaknessess (kelemahan), Opportunity (peluang) dan Threat (ancaman).

swot

Sebagai contoh:

Kaji Strength (kekuatan)

Apakah kekuatanku sekarang ini? Apakah minat aku sekarang?

  • Mungkin meminati fotografi atau mengambil gambar orang.
  • Suka memandang kecantikan alam dan semula jadi.
  • Suka untuk menyebabkan orang lain berasa gembira.

Kaji Weaknessess (kelemahan)

Apakah yang aku tidak suka dan tidak minat?

  • Tidak belajar perkara yang teknikal dan membenarkan otak.
  • Tidak suka menghafal.
  • Tidak minat dengan matematik.

Kaji Threat (ancaman)

  • Jika begini tidak boleh untuk mengambil bidang yang memerlukan ingatan kuat.
  • Tidak patut ambil bidang yang ada kaitan dengan nombor.
  • Sukar untuk berada dalam ruang akademik.

Kaji Opportunity (peluang)

  • Boleh ambil bidang yang ada kaitan dengan kesenian dan alam.
  • Mengambil bidang yang ada kaitan dengan fotografi
  • Memasuki bidang yang lebih adventure

Apabila sudah melihat kesemua di atas, baru pilih bidang mana yang sesuai dengan SWOT yang dibuat. Jika tanya pada saya, apa yang patut diambil berdasarkan penelitian SWOT di atas adalah bidang grafik, multimedia atau pengiklanan.

Kemudian terus tetapkan apakah matlamat kita. Apabila membina matlamat perlu jelas, spesifik dan mempunyai tanda matlamat itu sudah dicapai. Sebagai contoh:

Saya mahu memperoleh ijazah sarjana muda rekaan grafik pada 30 Jun 2018.

Spesifik = 30 Jun 2018

Tanda = memperoleh ijazah sarjana muda rekaan grafik

Maka pada tarikh itu kita boleh menunjukkan sijil itu sebagai tanda.

Lakukan juga untuk perkara lain dalam hidup bagi merancang tindakan dan matlamat kita di masa hadapan.

Semoga tip ini berguna buat diri saya juga pembaca di sini.

Nota:

Ucapan tahniah buat Sekolah Menengah Sains Machang kerana memperoleh tempat pertama pencapaian SPM 2014 seluruh Kelantan dan mendapat tempat ke 26 kebangsaan. Semoga tahun mendatang pencapaian ini dapat ditingkatkan menjadi terbaik di Malaysia, Amiin.

2015-03-03 12.08.41-2

Please note: I reserve the right to delete comments that are offensive or off-topic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *