Rakan-rakan Dalam Kenangan
Posted on 17. Jan, 2010 by Fauzul Na'im Ishak in Lain-lain
Hari ini saya melayari beberapa laman web bagi mengisi masa lapang di rumah. Saya tertarik dengan satu tajuk artikel di EraPakatan.Com, sebuah laman akhbar alternatif. Peguam Syarie Teraju Baru AMK Sarawak. Saya mengklik artikel itu dan terus terpampang satu wajah yang amat biasa. Seperti ku kenal wajah ini.

Saudara Ahmad Nazib Johari
Apabila membaca selanjutnya, memang betul ia milik sahabat seuniversiti dan seOPKIM dahulu. Saudara Ahmad Nazib Johari, seorang peguam syarie terkenal masa kini. Mempunyai firma guaman syarie sendiri dan sering mengendalikan kes-kes syariah melibatkan artis terkenal Malaysia.
Terkejut juga apabila mengetahui beliau sudah terjun secara agresif dalam lapangan politik. Ini kerana sebelum ini beliau bukanlah satu sosok yang sebegitu di universiti. Namun manusia berubah, tentunya rakan-rakan berubah.
Ketika beliau di Universiti Malaya, aktif bersama Persatuan Mahasiswa Islam Sarawak (PERMIS). Oleh sebab itu juga kami dipertemukan dalam satu projek kerjasama di antara PERMIS dengan Biro Perpaduan dan Kemasyarakatan, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya yang mana saya sebagai pengerusinya. Projek Operasi Khidmat Mahasiswa Sarawak (OPKIM Sarawak) merupakan projek bersepadu tiga tahun yang mendapat kerjasama erat Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia dan Kerajaan Negeri Sarawak.
OPKIM Sarawak ini cukup mendewasakan saya dalam memahami erti sebenar khidmat masyarakat dan politik setempat. Ia membangunkan banyak kemahiran pada diri saya, kemahiran bercakap, mempengaruhi, mengorganisasi, kesukarelawan dan banyak lagi. Ia diadakah di Kampung Bruit yang terletak di sebuah pulau dalam Daerah Sarikei.
Pulau Bruit mengambil masa 3 jam perjalanan dari Sibu, Sarawak. Hanya satu bot pergi balik. Jika terlepas bot jam 11 pagi perlu menunggu keesokan harinya pula untuk ke sana. Begitu juga dari Pulau Bruit ke Sibu, hanya ada satu bot yang harus dinaiki jam 5 pagi walaupun jam 9 pagi baru bertolak. Memang suatu pengalaman menarik.
Saudara Ahmad Nazib adalah salah seorang penggerak utama projek ini, beliau juga adalah adik beradik angkat serumah di Kampung Bruit. Duduk sebilik dengan saya di sana. Banyak juga kenangan yang kami kecap bersama. Sekarang beliau sudah mengorak langkah ke dunia politik. Semoga beliau diberikan kekuatan menempuh segala dugaan dalam perjuangan beliau.
Lepak SMACH 94′
Sehari dua ini memang hari penuh nostalgik. Saya mendapat jemputan melalui Facebook untuk menyertai Komuniti Lepak SMACH 94′ sebuah ruang yang disediakan oleh salah seorang rakan sesekolah menengah dahulu.

Kelas Tingkatan 5(1), Sekolah Menengah Sains Machang
Sekolah Menengah Sains Machang (SMACH), Labok, Machang, Kelantan. Sekolah yang menjadi singgahan pendidikan saya selama 5 tahun. Bermula Disember 1989 hinggalah tahun 1994. Di sekolah ini saya berjinak-jinak dengan dunia sukan. Saya menyertai dua pasukan sekolah, pertama pasukan bola keranjang dan satu lagi pasukan bola baling.
Saya kurang menyerlah dari sudut kepimpinan dan pelajaran di SMACH. Bakat sukan lebih dipupuk di sini. Selain daripada itu saya juga aktif dalam kadet pancaragam sekolah dan mewakili sekolah untuk membuat persembahan di hadapan Sultan Kelantan 3 tahun berturut-turut.
Mewakili sekolah dalam bola keranjang membawa saya melawat ke sekolah-sekolah berasrama penuh lain sekitar Zon Timur. Pernah menjejak perlawanan akhir Piala Perdana Menteri Peringkat Zon, namun begitu gagal di sana.
Bakat ini jugalah yang saya teruskan di peringkat universiti, mewakili Universiti Malaya untuk Sukan Antara Matrikulasi. Terima kasih SMACH atas jasa mu ini.
Hasil tulisan :Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
md@fauzulnaim.com


