PTS Kekurangan Pekerja, Adakah Saudara/i Orang Yang Kami Cari?

Posted on 19. Oct, 2009 by Fauzul Na'im Ishak in Coretan

Beberapa hari ini cukup sibuk memenuhi jemputan rumah terbuka. Dalam masa 3 hari saya sudah menghadiri 8 rumah terbuka. Di samping itu juga tempoh hari PTS menganjurkan rumah terbuka sendiri yang diadakan di bangunan baru milik PTS yang bakal menempatkan unit editorial kami.

 

 

Bersama para pengarang yang datang memeriahkan rumah terbuka Kumpulan PTS

Bersama para pengarang yang datang memeriahkan rumah terbuka Kumpulan PTS

 

Alhamdulillah kehadiran cukup menggalakkan. Rakan-rakan penerbit buku, pengedar buku, kedai-kedai buku dan yang pastinya para pengarang PTS datang memeriahkan majlis itu. Terima kasih kepada Puan Lily Haslina, Puan Nora, Puan Rozita, Dr. Tengku Asmadi, Tuan Haji Ahmad Fadzli, Tuan Shamsudin Kadir, Tuan Zamri Mohamad, Tuan Osman Affan, Tuan Md Ali Berahim, Dr. Azman Sharif dan rakan-rakan pengarang yang tak dapat disebut di sini. Kehadiran Tuan Puan cukup memberikan makna besar kepada PTS.

PTS Kurang Staff

Sejak beberapa minggu dan hingga hari ini, saya amat sibuk untuk membuat pencarian dan pemilihan para pekerja baru editorial PTS. Apabila melihat kekosongan yang ada, cukup membimbangkan saya. Kami kekurangan staff. Kekosongan yang direkodkan adalah seperti berikut :

PTS Litera Utama Sdn. Bhd.

  • 2 editor

PTS Millennia Sdn. Bhd.

  • 1 editor

PTS Islamika Sdn. Bhd.

  • 2 editor

PTS One Sdn. Bhd.

  • 3 editor

PTS Fortuna

  • 2 editor

PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

  • 2 editor

Kekosongan jawatan ini agak membimbangkan saya. Ia sedikit sebanyak memberikan kesan kepada produktiviti setiap unit. Ini akan merencatkan perancangan produksi bulanan mereka.

 

Mencari staff berkualiti bukan kerja yang mudah

Mencari staff berkualiti bukan kerja yang mudah

 

Fenomena kekurangan staff ini bukan sahaja berlaku di PTS, juga di syarikat-syarikat lain dalam industri lain. Ada sesetengah syarikat mempunyai kekosongan hingga 1,000 jawatan. Maksudnya PTS ini masih tidak separah mereka.

Resume diperoleh banyak, ada yang diperoleh melalui email, ada daripada kenalan dan ada daripada JobStreet.Com. Namun para calon yang diperoleh tidak memenuhi kriteria dan kehendak editorial PTS. Ada yang melepasi peringkat saringan pemilihan borang, namun apabila dipanggil temuduga mereka gagal meyakinkan pihak PTS untuk mengambil mereka bekerja.

Sepertimana kata Datuk Hussamuddin Yaacob (pengarah urusan Kumpulan Karangkaf) dalam pertemuan rumah terbuka Buku Prima lalu, “hanya yang ‘lucky’ sahaja”

Apa yang PTS Cari?

Ramai yang bertanya apakah ciri-ciri yang PTS mahukan daripada seorang pekerja? Baik, di sini saya senaraikan beberapa ciri yang kita cari, jika sesiapa yang merasakan beliau adalah orangnya. Pohon kirimkan segera menghantar resume ke hr@pts.com.my kerana kami amat memerlukan saudara/i.

Kepimpinan

PTS mahukan eksekutif, bukan hanya seorang pekerja. Seorang eksekutif adalah individu yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi. Boleh memimpin dirinya, boleh memimpin rakan-rakan sepasukan dan boleh memimpin produk terbitan PTS. Ia boleh membuat keputusan sendiri dalam memastikan segala perjuangan PTS tercapai.

3 asas perjuangan PTS iaitu :

Menerbitkan karya dalam bahasa Melayu : Ini adalah perjuangan utama sejak bertahun lama. Kita menerbitkan sebanyak mungkin buku dalam bahasa Melayu bagi memberikan ruang pembelajaran lebih kepada anak bangsa sendiri.

Menerbitkan karya yang syariah compliance : PTS tidak menerbitkan karya yang tidak memenuhi panduan syarak. Buku-buku mempunyai tarikan seks, khurafat, syirik dan menyekutukan Tuhan tidak ada di PTS.

Bebas rasuah : PTS tidak bertoleransi dengan sebarang unsur rasuah. Ia tidak dibenarkan dalam apa sahaja aktiviti dan proses gerak kerja di PTS. Para editor juga dilarang untuk menerima sebarang pelawaan untuk mana-mana pengarang membelanja makan. Di PTS, jika ada sebarang temujanji dengan mana-mana pengarang, editor yang perlu belanja pengarang. Bukan sebaliknya.

Bagi eksekutif yang baik, mereka akan melakukan keputusan dalam lingkungan yang ditetapkan ini. Oleh itu antara kriteria utama yang kita lihat adalah aktiviti ko kurikulum semasa di universiti. Apakah persatuan yang dimasuki, apakah jawatan yang dipegang, apakah jenis sukan diceburi, apakah pertandingan dimenangi. Kesemua ini memberikan gambaran aktiviti kepimpinan beliau di universiti.

Bisnes

Seorang eksekutif yang baik perlu mempunyai deria usahawan. Mereka boleh mencium peluang dan ruang dalam bidang yang mereka ceburi. Bagi dunia penerbitan, seorang eksekutif penerbitan yang baik mampu membaca selera pasar, mengetahui kehendak dan keperluan pengguna semasa, mampu membuat keputusan dengan strategik.

PTS mahu seorang eksekutif yang boleh dilatih dan dibangunkan untuk menjadi seorang pemimpin dan pengurus di syarikat Kumpulan PTS. PTS amat memerlukan seorang yang mampu diberikan kepercayaan mengetuai anak-anak syarikat yang bakal ditubuhkan di masa hadapan.

PTS mempunyai suatu dasar keusahawanan yang cukup menarik, seorang individu berpotensi besar akan dinaik taraf sebagai rakan kongsi kepada PTS. Ini yang berlaku sekarang yang mana para pengurus anak syarikat Kumpulan PTS adalah seorang pengarah kepada syarikat diuruskan. Saya sendiri adalah pengarah eksekutif untuk PTS Millennia Sdn. Bhd.

Keghairahan & Perjuangan

PTS amat meraikan bakat. Individu yang berbakat pasti mempunyai keghairahan tersendiri. Di PTS kita mempunyai barisan eksekutif berbakat besar. Ada yang suka bermain silap mata, ada yang suka melukis komik, ada penulis, ada motivator, ada marketer, ada yang mempunyai hobi backpacking dan pelbagai lagi. Kesemua ini menjadi warna warni kepada PTS.

PTS adalah sebuah syarikat perjuangan. Wang bukanlah perkara utama, yang utama adalah memenuhi perjuangan. Kita percaya satu perkara

Buat kerja baik, Allah akan ganjari kejayaan dan kemenangan

Sebuah syarikat perjuangan memerlukan ‘angkatan tentera’ yang juga seorang pejuang. Di PTS, sijil yang tinggi bukanlah kayu ukur seorang individu itu baik dalam dunia pekerjaan. Sijil hanya sesuai ditatap dan dibingkaikan di dinding. Ia tidak membawa sebarang makna jika individu terbabit hanya pandai menjawab soalan peperiksaan. Puan Ainon dalam facebooknya pernah mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat 5 orang yang bertaraf pengurus di PTS adalah mereka yang gagal keluar semasa di universiti. Namun mereka ini menunjukkan kecemerlangan baik dalam perkhidmatannya.

Daya Intelektual

Daya intelektual amat penting dalam bekerja dengan PTS. PTS berkembang pada kadar yang cukup pesat setiap tahun. Antara 30 ke 50 peratus setiap tahun. Dalam perkembangan sebegini tentu akan berlaku perubahan-perubahan drastik kepada sistem pengurusannya. Ini bagi memastikan sistemnya selari dengan kerancakan perkembangan. Selalunya eksekutif berasa tertekan dengan perubahan berlaku hingga mereka sendiri terasa lemah dan tida bermaya. Ini mengganggu perkembangan PTS.

Kita tidak mahukan eksekutif yang kerjanya hanya mencari kelemahan dalam pengurusan. Kita mahukan eksekutif yang memikirkan alternatif kepada kesukaran. Kita mahukan mereka yang boleh membuat keputusan sendiri dalam membawa perubahan. Saya cukup tidak suka individu yang hanya bertanya “apa yang saya perlu buat? En. Fauzul tak bagi briefing lagi” Saya suka dengan eksekutif yang boleh mencadangkan bagaimana melancarkan gerak kerja.

Berjiwa Besar

Saya ada beberapa orang kawan yang suka melompat kerja daripada satu syarikat ke satu syarikat hanya kerana mendapat perbezaan gaji RM1 sahaja. Ini satu contoh perangai individu yang tidak mempunyai jiwa besar. Hanya melihat wang ringgit sebagai satu perkara utama dalam pekerjaan. Bukan saya ingin nafikan keperluan wang ringgit dalam kehidupan. Namun jika disebabkan itu sahaja perkiraan dalam menentukan kerjaya ia tidak akan ke mana-mana.

Saya melihat beberapa rakan yang lain, setia dan kekal di sebuah syarikat. Di atas kesetiaan dan komitmen itu mereka menaiki tangga-tangga pengurusan hingga ada sudah menjadi pengurus kanan di syarikat itu. Atas sebab kesungguhan itu, pihak pengurusan memberikan ganjaran setimpal dengannya.

Di atas adalah antara kriteria yang kita perlukan di PTS. Jika ada yang mengatakan boleh memenuhinya, kami amat mahukan Anda di PTS. Kirimkan resume Anda semua kepada saya di gm@pts.com.my. Kami memerlukan Anda sekarang.

Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
md@fauzulnaim.com
Blog Widget by LinkWithin

Tags:

One Response to “PTS Kekurangan Pekerja, Adakah Saudara/i Orang Yang Kami Cari?”

  1. ZaidiRazali

    19. Oct, 2009

    tahniah, kerana tuan bukan sahaja mengutamakan kualiti pada penghasilan buku juga, bahkan pada kakitangan tuan juga. memang sukar, sebab ciri-ciri yang di cari oleh tuan hanya ada pada beberapa orang yang layak dari beratus-ratus ribu yang memohon…sesukar mana tuan menempuh perjuangan murni tuan dalam memartabatkan insdustri buku bahasa melayu, sesukar itu jugalah yang saya rasakan perlu tuan tempuhi dalam mencapai individu2 yang “layak” sertai rangkaian tuan. apa pun, insyaallah, niat tuan murni, pasti tuhan tunjukkan jalan… :)

Leave a Reply