Penulisan Buku: Di Mana Mahu Bermula?

Alhamdulillah hari ini sudah bermula Bengkel Penulisan Ilmiah dalam TVET yang berlangsung di De Palma Hotel, Ampang. Bengkel selama 4 hari ini diadakan khusus untuk kumpulan pensyarah Kolej Komuniti sebagai melengkapkan diri mereka dengan kemahiran menulis buku atau bahan ilmiah. Ia juga menjadi pentas untuk penilaian kenaikan pangkat ke tahap yang lebih tinggi. Seramai 30 orang peserta menghadiri bengkel ini.

Salah satu soalan dan ini adalah soalan biasa diterima dalam bengkel penulisan kendalian saya

Tuan, saya perlu bermula daripada mana?

Jawapannya bermula dengan apa yang ada dalam ‘tangan’.

Hobi

Bermula dengan diri sendiri, apa sebenarnya kesukaan yang ada pada diri Tuan dan Puan. Apabila masa lapang, apa yang dibuat. Dalam bahasa lain bermula dengan hobi. Ramai yang tidak mengetahui sebenarnya buku berasaskan hobi adalah antara menjadi pilihan pembaca di barat. Buku mengenai kaedah jahitan, kaedah bertukang kayu, kaedah memancing, kaedah mengumpul setem, kaedah bermain sudoku dan banyak lagi. Kesemua ini menjadi kesukaan ramai.

Buku-bukunya direka bentuk dan ditulis secara langkah demi langkah bagi memudahkan individu membacanya boleh mengikut setiap panduan diberi. Di Malaysia, buku sebegini sudah mula membanjiri kedai buku sejak setahun dua ini. Antara pilihan utama adalah buku masakan. Buku-buku ini satu masa dahulu dikatakan sebagai buku bermusim. Apabila memasuki bulan Ramadhan, kedai-kedai buku mula membuat pesanan. Kadangkala sekali pesanan berpuluh ribu untuk sesuatu judul.

Buku Chef Hanilieza antara menjadi bestseller di PTS dalam kategori resipi

Buku Chef Hanilieza antara menjadi bestseller di PTS dalam kategori resipi

Banyak lagi ruang hobi yang masih belum dijelajahi. Sebagai contoh buku kemahiran memancing, sehingga sekarang masih belum kelihatan. Ada, cuma tidak banyak. Yang ada pun kebanyakannya dalam bentuk majalah ataupun di’import’ daripada luar. Buku karya tempatan tidak banyak.

Antara yang mungkin perlu dikaji, buku fotografi, buku kemahiran membuat produk daripada bahan terbuang, buku kemahiran orienteering dan membuat aktiviti luar. Kesemua ini bersedia untuk dijelajahi.

Kemahiran

Setiap orang pasti mempelajari pelbagai kemahiran baru dalam tempoh masa hidup di dunia. Daripada kemahiran ringkas seperti menulis surat hinggalah yang advance seperti membaiki kereta sport. Ada pula di kalangan pegawai agensi kerajaan umpamanya wajib untuk menghadiri kursus sekurang-kurangnya 7 hari setahun. Jika beliau berkhidmat selama 20 tahun maka mereka sudah menyertai 140 hari program kemahiran. Fuhh!! Tentu banyak yang banyak boleh dikongsikan kepada pembaca.

Contoh buku berasaskan kemahiran terbitan PTS

Contoh buku berasaskan kemahiran terbitan PTS

Tidak semua kemahiran yang kita minat dan mahu kongsikan dengan orang ramai. Apa yang penting pilih apakah kemahiran yang paling dekat dengan hati dan kita amalkan setiap hari. Sebagai contoh mungkin ada yang belajar kemahiran berucap di khalayak ramai dalam kursus disertai. Kemahiran ini banyak membentuk diri di institusi tempat kita bekerja. Ia dibuktikan dengan peningkatan kualiti pengucapan awam di majlis-majlis penting. Kesemuanya ini boleh diterjemahkan dalam penulisan. Ia disertakan dengan contoh-contoh ataupun kajian kes yang dialami sendiri oleh si penulis. Tentu menarik apabila teori digabung jalinkan dengan cerita-cerita pengalaman sebenar.

Al-Quran ada sebanyak 6,666 ayat, sebahagian besar daripadanya adalah cerita-cerita. Terbukti karya agong yang merupakan mukjizat hebat ini menjadi evergreen dan sedap dibaca.

Minda Separa Sedar

Sedarkan Tuan dan Puan kita ini banyak dipandu oleh Minda Separa Sedar dalam mencapai kejayaan dan impian kita? Berdasarkan kajian, 88 peratus aktiviti manusia dikawal oleh Minda Separa Sedar dan selebihnya barulah Minda Sedar. Sebagai contoh pada ketika Tuan dan Puan membaca artikel saya ini, mata Tuan dan Puan sedar wujudnya setiap bait kata pada skrin ketika membacanya. Cuma Tuan dan Puan sedarkan pada punggung dan belakang Tuan dan Puan ada benda yang menolak Tuan dan Puan ke hadapan. Adakah Tuan dan Puan sedar pada ketika yang sama banyak bunyi-bunyi di sekeliling. Ha! Sekarang baru sedar. 🙂

Ini bermakna kita banyak dikawal Minda Separa Sedar. Jadi apa kaitannya dengan pemilihan bidang. Satu pertanyaan, apabila Tuan dan Puan memasuki kedai buku. Apakah seksyen pertama yang Tuan dan Puan lawati? Apakah seksyen kedua? Apakah seksyen ketiga? Adakah Tuan dan Puan sedar sebenarnya keinginan ke seksyen-seksyen sebenarnya dikawal oleh Minda Separa Sedar?

Bongkah ais di kutubu

Minda separa sedar adalah seumpama bahagian bawah daripada bongkah ais. Bahagian yang paling banyak dan mengawal kita dalam membuat keputusan untuk diri

Dalam hal ini, kadangkala ada orang kata “Perlu percaya pada instinct“. Apa yang berlaku sebenarnya disebabkan oleh minat yang sudah sekian lama dipupuk dalam diri. Ia wujud daripada proses pembelajaran, didikan dan proses pembesaran. Ia yang membentuk kita.

Apabila kita menulis dengan apa yang sebenarnya dalam diri. Ideanya lebih mudah keluar kerana memang sudah sedia ada dalam diri. Tinggal kita mahu keluarkan sahaja.

Ini adalah 3 tip awal untuk sesiapa yang mahu memulakan penulisan buku. InsyaAllah ada banyak lagi tip di masa hadapan. Besok tidak sabar untuk mengetahui hasil assignment yang saya berikan hari ini “5 Langkah ke Arah Penemuan dalam Diri” 🙂.

Please note: I reserve the right to delete comments that are offensive or off-topic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *