Penjenamaan Diri: Apakah Pengharapan yang Kita Berikan Buat Orang Lain

Penjenamaan Diri 1

Ini adalah posting saya di Facebook tempoh hari mengenai apa yang berlaku pada sehari sebelumnya apabila saya mendengar suara Chef Hanieliza di corong radio menjadi duta syarikat rempah ratus. Alhamdulillah ada orang yang memberikan respons lanjut mengenai penjenamaan diri. Perkongsian ini adalah hasil kutipan pengalaman saya menguruskan pengarang di PTS.

Apabila menyebut mengenai penjenaman, ramai terbayang logo-logo jenama dalam pasaran seperti Petronas, Apple, Samsung, Proton, Perodua dan pelbagai lagi jenama terkenal dalam pasaran di Malaysia.

Persoalan, apakah yang Anda nampak apabila melihat logo jenama itu? Apakah yang Anda rasa apabila melihat jenama itu? Apakah suara yang berbunyi di telinga apabila memandang logo jenama itu?

Mungkin ada yang menjawab: keperluan pengangkutan, eksklusif, mahal, buatan Malaysia, murah, harga patut, kredibiliti tinggi, Syed Mokhtar Bukhari 😉

Membaca jawapan di atas, apakah yang kesimpulan yang Anda peroleh daripadanya? Kecuali Syed Mokhtar Bukhari, kesemua perkara di atas ini adalah NILAI buat pengguna atau pemerhati.

Bagaimana mahu mengetahui sesuatu perkara itu adalah nilai? Sifu NLP saya Tuan Andreas Dorn memberikan satu anologi mudah mengenai NILAI. NILAI adalah sesuatu yang tidak dapat dimasukkan ke dalam sebuah troli shopping.

Sebagai contoh: Duit? Boleh masuk ke dalam troli shopping. Sayur? Boleh, Kereta? Boleh kalau trolinya besar 🙂

Namun, perkataan eksklusif? Tidak boleh dimasukkan ke dalam troli shopping. Buatan Malaysia? Tidak boleh, murah? Tidak boleh, kredibiliti? Tidak boleh.

Jadi apa sahaja yang tidak boleh diletakkan ke dalam troli shopping itu adalah suatu NILAI.

Apakah maksud NILAI buat seseorang individu? Ia adalah suatu pengharapan yang diletakkan kepada sesuatu perkara.

Jadi dalam isu jenama sesuatu produk ia ada kaitan harapan orang lain pada produk terbabit.

Sebagai contoh: Petronas membawa pengharapan ia produk Malaysia, bantu negara, patriotik dan memacu kejayaan negara.

Apple membawa pengharapan buat pengguna sebagai eksklusif, hebat, unik dan membawa sesuatu pandangan berbeza apabila menggunakannya.

Kesemua ini adalah NILAI atau PENGHARAPAN yang disangka oleh pengguna.

Apakah Pengharapan Yang Kita Bawa Buat Orang Lain?

Tempoh hari saya sengaja melontarkan satu status facebook mengenai persahabatan dalam FB. Statusnya berbunyi berikut:

Status FB: Rakan

Ini untuk melihat apakah harapan orang lain pada diri saya apabila mereka menjadikan saya sebagai seorang rakan facebook. Menariknya pelbagai lontaran idea yang dilontarkan. Ada yang mahu belajar sesuatu, ada yang mengatakan sebagai seorang sahabat, mahu bekerjasama dan pelbagai lagi harapannya. Melalui pengharapan ini, kita boleh tahu NILAI yang kita bawa buat orang lain. Terima kasih kepada sahabat FB yang sudi menjadikan saya sebahagian daripada hidup Anda setiap hari 🙂

Jadi ini perkara yang perlu kita kaji apabila kita mahu menjenamakan diri. Apakah pengharapan orang buat diri kita pada ketika ini? Adakah pengharapan itu positif ataupun negatif? Adakah ia dapat meningkatkan diri kita dalam kerjaya? Adakah ia membawa potensi ataupun menjadi bebanan?

Pernah dalam satu program kendalian saya tempoh hari, saya bertanya beberapa soalan buat beberapa orang peserta mengenai rakan mereka. Ia adalah satu aktiviti ringkas di mana mereka perlu memberikan persepsi mengenai rakan lain. Ada di kalangan mereka sudah kenal lama dan ada yang baru kenal. Ini lebih melihat pada persepsi awal, menariknya ada jawapan pelbagai. Jawapan yang serius, lucu dan ada yang menjentik minda. Keluar perkataan ALIM, GURU, COMEL, WARAK, TERHORMAT, BOSSY dan paling menarik ada yang meletakkan GIGOLO. 🙂

Kelihatan ia sebagai suatu aktiviti mudah, tetapi mendalam. Ini adalah persepsi awal yang sebenarnya memberikan gambaran apa yang orang lihat pada diri kita. Apakah nilai yang kita serlahkan pada orang lain menyebabkan perkataan-perkataan di atas boleh dikeluarkan.

Soalan pada diri kita sekali lagi, apakah PENGHARAPAN dan NILAI yang kita keluarkan buat orang lain?

Saya tinggalkan buat kita fikirkan sama-sama. Jika ada yang berminat untuk tahu lanjut, insyaAllah saya akan sambung penulisan ini 🙂 Salam Ramadhan.

Leave a Comment