Pakej Betul Pasti Laris!

Posted on 04. Sep, 2008 by Fauzul Na'im Ishak in Jadi Bestseller, Utama

Selamat berpuasa dan menghadapi ujian sekolah Ramadan. Sekolah Ramadan adalah medan kita melatih diri menjadi muslim terbaik. Tidak makan dan tidak minum hanya satu perkara lahiriah sahaja, yang batiniah itu perlu dilihat dengan mata pandang hikmah. InsyaAlllah selagi kita mencari hakikat hidup, kita pasti bertemu dengan hidayah Yang Maha Kuasa.

Alhamdulillah Tuhan memberikan ruang kepada saya untuk mencoret sedikit pengalaman seminggu ini. Tempoh hari saya amat gembira kerana pada asalnya saya dijemput bagi menjadi ahli panel dengan dua lagi panelis di Bicara Penerbitan anjuran mahasiswa Diploma Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Teknologi MARA cawangan Melaka. Ahli panel lain adalah saudara Ahadiat Akashah, novelis terkenal dengan buku Legenda Budak Setan mewakili penulis dan seorang lagi dikhabarkan adalah editor dari Alaf 21 Sdn Bhd. Saya membuat beberapa telahan siapakah yang datang mewakili pihak Alaf 21. Mungkin Kak Wan, dan mungkin beberapa orang yang lain.

Perjalanan dua jam dari Kuala Lumpur ke Melaka dipenuhi dengan diskusi di antara saya dengan orang staff PTS Millennia yang turut mengiringi saya. Kami sampai ke UiTM Melaka tepat jam 8.30 pagi hari Sabtu 30 Ogos 2008. Sampai sahaja diiring ke tempat duduk paling hadapan bagi majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Mizan Hitam, Pengarah UiTM Melaka. Beliau saya kenal dan pernah bertemu sekali ketika beliau menjadi pengulas rancangan Iqra’ di Selamat Pagi Malaysia. Yang menariknya adalah telahan saya mengenai siapa mewakili Alaf 21 Sdn Bhd, rupa-rupanya wakilnya adalah En. Norden Mohamad Pengurus Besar Alaf 21 Sdn Bhd sendiri yang datang.

En. Norden Mohamad adalah seorang individu yang amat saya kagumi. Orangnya intelek dengan pelbagai idea baru dan segar. Individu yang berjaya mengubah antara muka dunia penulisan novel Malaysia dengan memperkenalkan novel cinta berkualiti dengan sisipan ilmu berguna. Kejayaan novel-novel Alaf 21 Sdn Bhd adalah banyak didorong oleh kehadiran idea dari minda En. Norden. Beliau saya anggap sebagai salah seorang mentor saya dalam menjadi penerbit. Beliau saya temu kali pertama dalam satu diskusi di Hotel Pan Pacific (sekarang Hotel Seri Pacific) sekitar Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2006. Berkenalan dan bersahabat sehingga sekarang. Cuma beberapa lama ini tidak pernah bertemu di atas kesibukan dan tiada ruang mempertemukan kami.

Pada hari itu saya diminta berforum dengan beliau, terasa satu penghargaan yang tinggi dapat berforum dengan beliau. Kami berdua mempunyai pandangan yang sama, jika mahasiswa menjemput pasti datang kecuali ada perkara tidak boleh dielakkan.

Perbincangan pada hari itu berkisar mengenai tabiat membaca dan penyuburannya. Saya mewakili penerbit, En. Norden mewakili editor dan saudara Ahadiat mewakili penulis diminta memberikan pandangan mengenai senario semasa pembacaan buku Malaysia. Saya agak suka apabila mendengar pandangan bernas dari dua ahli panel itu. En. Norden banyak mempunyai kesamaan berfikir dengan saya dalam hal penerbitan dan saudara Ahadiat berkongsi mengenai pengalaman beliau selama 23 tahun dalam penulisan dan penerbitan buku.

Antara soalan menarik yang ditanya kepada saya adalah apa genre dan bidang buku yang sekarang laris di pasaran Malaysia. Berdasarkan pengalaman semasa, saya berpandangan semua bidang dan genre mempunyai potensi untuk laris. Tidak kiralah ia itu genre sastera, bidang keibubapaan, bidang Islam kontemporari dan apa saja.

Kesemua ini bergantung kepada satu perkara, iaitu PAKEJ YANG BAIK dan BETUL. Apa saja buku yang mempunyai elemen ini boleh dijual dengan baik. Sebagai contoh, sebelum ini ramai berpandangan buku sastera tidak boleh dijual dalam pasaran. Kita di PTS Millennia Sdn Bhd mengambil cabaran itu dengan menerbitkan Salju Sakinah, sebuah karya sastera. Ia diberikan pakej novel popular dengan kulit buku menarik, penataan buku mesra pembaca dan promosi agresif. Alhamdulillah buku tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Sudah terjual 9,000 naskhah kurang dari 4 bulan.

Pakej betul, Pasti laris!

Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
fauzulnaim@fauzulnaim.com
Blog Widget by LinkWithin

Tags: ,

Leave a Reply