Pak Agus Mustofa dan Bengkel Penulis Super
Posted on 29. Jan, 2010 by Fauzul Na'im Ishak in Coretan, Makan Karya, Pengarang
Apabila orang membawa artikel ini tentu orang tertanya-tanya apa kesamaan di antara Pak Agus Mustofa dan Bengkel Penulis Super. Saya sebenarnya baru sahaja pulang dari Surabaya. Alhamdulillah perjalanan menjejaki dunia perbukuan Surabaya ini berjaya mempertemukan saya dengan seorang tokoh tasauf moden Indonesia, Bapak Agus Mustofa.
Bapak Agus Mustofa ini menarik latar belakangnya. Seorang lulusan universiti Gajah Mada Indonesia dalam jurusan teknologi nukleur. Seorang jurutera nukleur menulis buku tasauf, memang menarik. Pernah memegang jawatan sebagai seorang wartawan di Jawa Pos selama 14 tahun sebelum berpindah menjadi pengurus besar JTV. Selepas beberapa tahun di JTV, beliau merasakan ini bukanlah tempat yang sesuai untuknya. Beliau memutuskan untuk berhenti dan menubuhkan Padma Press.
Beliau menulis buku yang pertama Energi Pusaran Kaabah. Buku ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Buku tasauf yang disulam dengan unsur saintifik yang padat. Beliau berterusan menulis buku dan sehingga hari ini sudah menghasilkan sebanyak 25 buah buku. Sekarang menyasarkan menulis siap 1 buku dalam masa 3 bulan.

Seorang yang amat mesra dan ramah. Pertemuan kami jam 9 pagi di Padma Press, Menanggal, Surabaya amat harmoni disambut oleh Pak Ruman, pegawai di Padma Press. Selepas beberapa lama, Pak Agus muncul dengan senyuman ramah mesra. Tujuan saya bersama saudara Ikram, pengurus di PTS Millennia bertemu dengan pihak Pak Agus adalah untuk melesen karya-karya beliau yang pada pandangan kami amat menarik cara olahannya.
Setiap bukunya dipakejkan dengan tajuk menarik dan kontroversi menjentik minda mereka yang membaca. Alhamdulillah pertemuan selama 6 jam pada hari itu membuahkan perbincangan yang amat masak. Jika tidak ada aral karya Pak Agus dapat diterbitkan paling lewat Jun tahun ini bersempena bulan Ramadhan tahun 2010. Terima kasih Pak Agus, nantikan karya beliau dalam versi bahasa Melayu terbitan PTS Millennia Sdn Bhd nanti
Bengkel Penulis Super Bermula Hari Ini
Alhamdulillah selepas beberapa lama bertungkus lumus membuat promosi dan persiapan untuk penganjuran BENGKEL PENULIS SUPER: Langkah Seribu Penulis Buku Umum Bestseller. Akhirnya hari ini ia bermula. Seramai 40 orang peserta daripada pelbagai latar belakang mendaftar diri bagi membongkar pelbagai rahsia dunia penulisan dan penerbitan buku bersama-sama saya dan saudara Zamri Mohamad.
InsyaAllah saya akan membongkar segala ilmu yang saya peroleh daripada kutipan pengalaman saya menguruskan Kumpulan PTS dan perkongsian ilmu para pengarang bestseller sebelum ini. Ada beberapa perkara yang saya peroleh daripada Pak Agus bakal dikongsikan dalam bengkel yang bermula petang ini nanti. Ada ramai yang bertanya sama ada bengkel seumpama ini akan dianjurkan di masa hadapan. Jawapannya YA. Sudah tentu ia akan ada kedua dan ketiga. Cuma tarikh-tarikhnya boleh rujuk di laman web Akademi Penulis Sdn. Bhd. di www.akademipenulis.com. Saya sudah bersedia, Anda bagaimana? Mari menjad PENULIS SUPER
Hasil tulisan :Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
md@fauzulnaim.com



