MITOS 1 DUNIA BUKU MALAYSIA : Orang Malaysia Tidak Baca Buku

Posted on 12. Oct, 2009 by Fauzul Na'im Ishak in Motivasi

Artikel 8 Februari 2007, Dikemaskini 12 Oktober 2009

Alhamdulillah Akademi Penulis berjaya menganjurkan Seminar Penulisan Buku Popular 2009 di Auditorium, Kulliyah Architecture & Environmental Design, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Program ini adalah yang julung-julung kali dianjurkan oleh pihak Akademi Penulis. Yang pertama dianjurkan dengan kerjasama pihak luar. Program ini adalah dengan kerjasama Unite Event dan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

 

Para peserta Seminar Penulisan Buku Popular 2009 bersama dengan para penganjur program dan jurulatih

Para peserta Seminar Penulisan Buku Popular 2009 bersama dengan para penganjur program dan jurulatih

 

Seramai 29 orang peserta yang menyertai program ini walaupun individu mendaftar diri seramai 49 orang. Namun kehadiran peserta yang hadir adalah daripada kalangan mereka yang hebat dalam bidang mereka. Seumpama perjumpaan ahli facebook (FB), rakan-rakan yang sering dilihat status mereka di FB muncul dalam seminar ini. Terima kasih Tuan Din Deraman, Tuan Zahari Sharit, Tuan Hasrin dan ramai lagi.

Ada juga mereka yang memang sudah berkecimpung lama dalam bidang penulisan. Cik Zabrina Abu  Bakar, pengarang yang karyanya pernah menduduki carta top 10 MPH berminggu-minggu, En. Haslin Hasan, pengarang buku Venton, Cik Husna, penolong editor Telaga Biru dan Puan Rosma, wakil Penerbit UUM.

Ada yang datang jauh daripada Kedah, Cikgu Maudah, Cikgu Siti Hajar, Cikgu Nabil dan rakan-rakan. Ada sahabat seTAMRIN, Tuan Hazali dari Waiz Malaysia. Juga kepada peserta-peserta yang tidak saya sebut dalam artikel ini saya mengucapkan terima kasih atas sokongan semua.

Kepada rakan kerjasama Unite Event dan MPPIUAM, terima kasih atas kerjasama diberikan. Semoga kerjasama ini berpanjangan hingga ke masa hadapan.

Kepada Tuan Zamri Mohamad, jurulatih kanan Akademi Penulis. Terima kasih atas kerjasama dan input terbaik untuk peserta.

Kepada ahli pasukan Akademi Penulis dan Fauzul Na’im Sdn. Bhd., tahniah atas penganjuran program ini. Terutamanya kepada pengarah projek, saudara Abdul Qahhar Mohd Noor yang juga penolong pengurus Akademi Penulis Sdn. Bhd. Teruskan usaha, jangan lupa siapkan laporan penuh post mortem program.

Kemaskini Artikel Lampau

Pulang sahaja daripada seminar, saya meneliti semula artikel-artikel dalam laman web saya. Artikel-artikel ini adalah koleksi daripada tahun 2007 hingga sekarang. Saya memulakan penulisan dalam blog atas nama Akademi Penulis di www.akademipenulis.com. Ya, Akademi Penulis sebenarnya adalah laman blog saya. Selepas beberapa lama, saya merasakan bahawa Akademi Penulis tidak boleh menjadi sekadar blog. Ia perlu menjadi sebuah akademi sebenar dan disebabkan itu saya menubuhkan Akademi Penulis Sdn. Bhd. yang menganjurkan program-program latihan penulisan saya sekarang.

Kemudian URL diubah kepada www.mentorpenulis.com dan berterusan ditambah. Akhirnya sekarang diubah kepada www.fauzulnaim.com.my. www.fauzulnaim.com saya jadikan laman web korporat Fauzul Na’im Sdn. Bhd.

Banyak rupanya yang saya sudah tulis di sini. Saya merasakan ada keperluan untuk mengemaskini dan revisi kembali tulisan-tulisan itu. Jadi mulai hari ini, para pelawat laman web ini akan mendapat isi yang lama bernafas baru.

Mitos-mitos

Apabila kita menyebut mitos ataupun lagenda. Terus di kepala kita terbayang cerita-cerita dongeng dahulukala. Cerita Sang Kelembai yang boleh menukarkan orang kepada batu dengan hanya menegurnya. Hinggakan ia dikaitkan dengan beberapa penemuan batu berupa binatang, orang dan kapal.

Cerita Si Tanggang yang bertukar menjadi batu kerana menderhaka kepada ibu bapanya. Dikatakan kapalnya masih boleh dilihat sekali sekala di sebuah negeri di utara tanahair.

Hang Tuah yang mewarnai sejarah Melayu dengan keperkasaanya. Seorang yang terlampau taat kepada raja hingga sanggup melepaskan kekasih yang dicintai atas dasar itu. Sehingga sekarang ramai masi tertanya-tanya adakah dia itu memang wujud ataupun sekadar mitos. Kisahnya hebat cuma tidak berkubur. Ada yang mengatakan dia ini asal-usulnya daripada negeri Kedah sebab tidak ada negeri lain yang menggunakan HANG dalam nama. Di Kedah, HANG bermaksud awak. Ada cuba mengaitkannya dengan keturunan dari China sebab nama puteri China yang diserahkan kepada raja Melaka bernama Hang Li Po. Jadi mungkin nama Hang Tuah sebenarnya HANG TOO AH. Namun kata-katanya masih terpahat di Muzium Negara

Takkan Melayu hilang Di Dunia

Mitos-mitos Dunia Perbukuan dan Penulisan

Apabila menyebut dunia buku, banyak pandangan negatif dilontarkan. Pandangan itu bukan masyarakat umum sahaja mengatakan malahan pembuat dasar, menteri dan perdana menteri mengatakannya. Orang Malaysia tidak baca buku, orang Malaysia tidak minat buku dan banyak lagi lontaran fitnah kepada dunia buku.

Mengapa saya mengatakan fitnah? Semua itu dibuat tidak berdasarkan fakta sebenar. Hanya bersandarkan suatu analisis dangkal langsung dikeluarkan pernyataan. Hari ini saya hendak mengulas mengenai mitos-mitos ini. Jadi mana-mana individu yang berminat hendak berdiskusi mengenainya di sini saya amat mengalu-alukannya.

Mitos 1 : Orang Malaysia Tidak Baca Buku

Saya memetik satu artikel di Utusan Melayu 6 Februari 2009.

PULAU PINANG 6 Feb.  2009 “ Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bersedia menerbit dan membekalkan buku secara terus ke semua perpustakaan awam bagi menyediakan ruang kepada penulis-penulis tempatan untuk terus menghasilkan karya mereka.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, langkah itu membolehkan golongan penulis yang kini sedang melalui zaman sukar terus berkarya ekoran kemerosotan industri buku.

Selain itu, katanya, ia juga sebagai menggalakkan mereka terus menghasilkan penulisan masing-masing agar kebolehan dan kewibawaan mereka tidak dipersia-siakan.

Kita harus ingat bahawa masyarakat Malaysia bukanlah masyarakat membaca dan ia amat berbeza dengan sikap masyarakat Barat yang amat minat membaca, malah kajian menunjukkan purata orang kita hanya membaca dua muka buku sahaja setiap hari,katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang khabar selepas melawat tapak sebuah rumah lama di Jalan Hutton di sini hari ini bagi dipertimbangkan untuk dipulihara oleh kerajaan.

Menurut Rais melalui pendekatan itu, Perpustakaan Negara Malaysia akan membeli terus buku-buku yang dicadangkan pihaknya mengikut nisbah tertentu berdasarkan keperluan mereka.

Katanya, industri buku di Malaysia tidak berupaya untuk bertahan sebaliknya akan “dimatikan” sendiri oleh sikap rakyat negara ini.

Saya melihat kenyataan akhbar oleh Dato’ Seri Rais Yatim adalah suatu perkara yang serius. Benarkah begitu rakyat Malaysia tidak membaca? Perkara ini adalah suatu igauan dunia perbukuan, ramai orang hatta kerajaan percaya kepada perkara ini. Baiklah tentu ramai yang bertanya kepada saya mengapa saya menggunakan perkataan mitos di atas. Mitos ini adalah suatu kepercayaan yang berdasarkan fakta tidak sahih ataupun boleh dipertikaikan. Apabila bertanya kembali kepada pihak Dato’ Seri, sebenarnya daripada manakah kenyataan bahawa rakyat Malaysia membaca dua muka surat satu tahun itu? Adakah survey dan penyelidikan dibuat itu menyeluruh? Adakah penerbit dan pekedai buku terlibat di dalam kajian yang dibuat?

Berdasarkan pengalaman saya menjadi penerbit buku selama 9 tahun, saya belum pernah didatangi oleh mana-mana penyelidik bertanyakan statistik jualan buku di syarikat saya. Belum pernah ada mana-mana organisasi menghubungi saya bagi melihat senario jualan buku PTS. Ini yang menjadi persoalan benarkah fakta tersebut?

Kita melihat dengan lebih terbuka, Alaf 21 Sdn Bhd sebuah syarikat pengeluar novel terkenal di Malaysia. Satu masa ada novelnya mencecah jualan lebih daripada 100,000 naskhah bagi satu judul setahun. Saya dengar (En. Norden jika anda melawat laman ini mungkin boleh betulkan saya) cetakan pertama minima pada ketika itu adalah 30,000 naskhah per judul. Adakah sebuah syarikat begitu akan mencetak dan melabur wang yang besar apabila benar ada fakta orang tidak membaca buku di Malaysia? Adakah mereka ini dimasukkan ke dalam statistik kajian?

Kita melihat pula senario di MPH, pihak saya mendapat berita mengatakan bahawa populasi buku berbahasa Melayu di keseluruhan rangkaian kedai buku MPH adalah sebanyak 20% dan selebihnya adalah karya luar. Namun begitu yang mengujakan adalah populasi 20% itu memberikan sumbangan jualan kepada kumpulan MPH sebanyak 40% setahun. Adakah MPH dimasukkan ke dalam statistik kajian?

PTS sebagai kajian kes terakhir, pihak kami mula bertapak di dunia penerbitan bermula tahun 2000. Jualan permulaan amat sedikit pada masa itu kurang daripada RM100K. Namun begitu dalam masa tidak sampai 10 tahun pihak kami memperoleh jualan melebihi RM12 juta setahun. Adakah perkara berlaku jika rakyat Malaysia tidak membaca? PTS memang tidak masuk dalam statistik kajian tersebut.

Di sini saya bukan ingin mempertikaikan fakta tersebut, namun begitu ia sedikit sebanyak melemahkan semangat pengarang bagi menghasilkan karya. Jadi seharusnya kita perlu membuat kajian menyeluruh di semua bahagian sebelum sesuatu fakta dikeluarkan.

Saya ingin mengubah mentaliti pengarang dalam hal ini. Pernah pihak PTS berjumpa dengan Popular Bookstore tidak berapa lama dahulu. Pihak kami memohon agar di Popular ada rak buku khusus buat buku berbahasa Melayu. Kemudian pihak berkata kepada kami :

Kalau Popular bagi dekat PTS satu rak buku, rasa-rasa PTS boleh isikah?

Apakah maksud tersirat kepada soalan tersebut? Soalan ini menunjukkan sebenarnya bukan isu orang tak baca buku. Namun begitu buku untuk dibaca tidak ada dalam pasaran. Bagaimana orang mahu baca buku apabila buku yang ingin dibaca tidak ada dalam pasaran. Buku ingin dibaca ini bergantung kepada latar belakang pembaca tersebut. Jurutera mahu buku untuk dia, doktor hendak buku untuk dia, pengurus hendak buku untuk dia, ibu bapa hendak buku untuk dia, remaja hendak buku untuk dia, ANDA pun tentu hendak buku untuk ANDA! Betul ataupun tidak? Ada ataupun tidak buku bersesuaian dengan kehendak dan keperluan kita? Itu sebenarnya persoalan di sini.

Pada masa Popular bertanya soalan tersebut kepada PTS, kami masih kecil dan tidak mempunyai banyak judul. Sekarang jika ditanya soalan tersebut, pihak kami memang boleh isi.

 

 

Bangau Oh Bangau

Bangau Oh Bangau

 

Isu ini umpama cerita bangau oh bangau.

Pembaca oh! Pembaca, mengapa engkau tidak membaca buku?

Pembaca menjawab,

Bukan tidak mahu baca, pekedai tidak beri buku yang aku hendak baca?

Jadi kita bertanya kepada pekedai.

Pekedai oh! Pekedai, mengapa tiada buku hendak dibaca?

Pekedai menjawab

Bukan kami tidak mahu beri buku untuk dibaca, penerbit tidak bekalkan kepada kami.

Kita bertanya pula kepada penerbit.

Penerbit oh! Penerbit, mana buku untuk dijual di kedai?

Penerbit menjawab,

Bukan kami tidak mahu beri buku bagi dibaca, penulis tidak mengarang karya bestseller untuk kami terbit.

Jadi kita bertanya pula kepada penulis,

PENULIS OH! PENULIS! Mana buku bestseller untuk diterbitkan?

Siapa yang harus menjawab soalan itu? :)

Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
fauzulnaim@fauzulnaim.com
Blog Widget by LinkWithin

Tags: ,

9 Responses to “MITOS 1 DUNIA BUKU MALAYSIA : Orang Malaysia Tidak Baca Buku”

  1. [...] kepada penerbit sebab pada pandangan ramai penulis mengatakan bahawa penerbit suka menipu. (Boleh baca mitos pertama). Sebenarnya ada banyak cara bagaimana hendak menjaga hak cipta. Anda boleh memilih cara yang [...]

  2. ZaidiRazali

    12. Oct, 2009

    tahniah atas usaha tuan dalam “membantu” bumiputera terutama yang kurang minat membaca dalam bahasa inggeris lebih celik ilmu. betul seperti pandangan tuan, bukan masalah rakyat malaysia tak membaca, tetapi bacaan yang memenuhi kehendak agak kurang. terlalu banyak bahan dalam bahasa inggeris di kedai2 buku, sedangkan hakikatnya rakyat malaysia majoriti adalah benar-benar pakar dalam bahasa melayu. yang pakar bahasa inggeris, boleh dikatakan kategori yang memang pandai..so, yang pandai terus pandai, yang tak pandai, terus tak pandai…so, dengan inisiatif tuan ni, alhamdulillah, saya yang dulu tak minat membaca, kini minat membaca. sebab banyak buku yang dihasilkan benar2 menepati kehendak.

    kenapa bahasa melayu? sebab memudahkan majoriti rakyat malaysia terus memahami apa yang ingin disampaikan oleh penulis sesuatu buku tanpa membuang masa menterjemahkannya. memang leceh bila kena terjemah dulu, baru boleh baca dan cuba fahamkan. itu kalau terjemahnya betul, kalau silap, silap lah kefahaman. jadi, itulah sebab pentingnya buku bahasa melayu diperluaskan dalam pelbagai bidang.

    mungkin pihak tuan boleh wujudkan 1 team terjemahan untuk buku berbahasa inggeris ke bahasa melayu. itu je cara untuk lebih membuktikan fakta rakyat malaysia kurang membaca adalah silap, kerana saya yakin, dengan adanya banyak buku dalam bahasa melayu dipasaran, maka semakin ramai yang akan membaca, tidak kira yang pandai bahasa inggeris atau tidak, kerana pasti semua rakyat malaysia pasti pandai dalam bahasa melayu :)

  3. Fauzul Na'im Ishak

    12. Oct, 2009

    Tuan Zaidi, terima kasih kerana sudi melawat laman web saya ini. Terima kasih atas pandangan yang bernas.

    Buat pengetahuan Tuan, saya mempunyai 2 pasukan yang dalam proses menterjemah sebanyak mungkin karya daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.

    Pasukan pertama adalah PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. yang menterjemahkan sebanyak mungkin karya para GURUS dalam bidang pengurusan dan bisnes. Antara yang sudah diterjemah karya Brian Tracy dan John C Maxwell

    Pasukan kedua PTS Fortuna yang menterjemahkan karya terlaris antarabangsa. Antara yang sudah diterjemah adalah karya John Grisham.

    Unit-unit lain seperti PTS Millennia Sdn. Bhd. dan PTS Litera Utama Sdn. Bhd. walaupun tidak menfokus kepada terjemahan Inggeris Melayu tetap ada menterjemahkannya. Antara yang sudah diterjemah karya Adam Khoo dan karya The Tunnels.

    InsyaAllah dengan sokongan dan maklum balas positif daripada individu seperti Tuan menaikkan lagi semangat kami meneruskan perjuangan ini. Terima kasih.

  4. pemburu impian

    12. Oct, 2009

    Assalamualaikum Tuan,

    Kupasan di atas bernas dan membuka minda. Tahniah!.

    Saya dalam perjalanan untuk mengisi rak buku bestseller…InsyaAllah akan datang perjumpa Tuan untuk mempersembahkan naskah itu (satu hari nanti)

    Salam ceria dan inspirasi

    Assalamualaikum

  5. Fauzul Na'im Ishak

    13. Oct, 2009

    Saya sentiasa menunggu kehadiran mana-mana individu sepertimana Tuan yang mempunyai keghairahan untuk menjadi salah seorang pengarang bestseller. Tahniah Tuan, teruskan memburu impian.

  6. zara

    07. Jan, 2010

    Salam

    Saya setuju sangat dengan isu mitos orang Malaysia tak baca buku. Adakah kenyataan tersebut relevan bilamana tiada facts and figure untuk mengukuhkan hujah. Kenyataan-kenyataan tidak praktikal ‘orang-orang besar’ selalu diaminkan oleh 1 Malaysia…penerbit, penulis atau sesiapa jua yang terlibat secara langsung atau tidak perlu tampil memberi facts n figure secara berhemah dan konsisten. ruang telah tersedia di akhbar…masukkan sekali senarai menteri yang ulat buku n yang non ulat buku…berapa ramai wakil rakyat baca buku? Masukkan sekali dalam senarai survey…..jangan dok tangkap muat je….emo plak sy hehe..harap statistik baca buku rakyat malaysia dibuat review seminggu sekali atau sebulan sekali dan diterbitkan di akhbar…kenakan syarat kepada kedai buku untuk hantar laporan jualan buku paling laris atau jualan buku bulanan. cara ini lebih adil dan praktikal. menteri pun tak boleh nak serkap jarang bila keluar kenyataan. berita harian kan sentiasa ade fakta dalam kotak (fakta nombor) kebanyakkan artikel atau berita…jadi elok la kalau statistik membaca direview…supaya semua tahu kenyataan adalah berdasarkan fakta dan kajian.

    wassalam

    wasalam

  7. Fauzul Na'im Ishak

    14. Jan, 2010

    Saudari Zara, kajian tabiat membaca ini dilakukan 5 tahun sekali. Pihak saya pernah bertemu dengan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia bagi mencadangkan perkara yang ditimbulkan saudari. Mari kita berdoa bersama-sama ia dapat direalisasikan dalam kajian tabiat membaca tahun 2010 ini. Amin

  8. Hamirudin Hamidi

    26. Jan, 2010

    Salam Tuan,

    Lebih kurang 4 tahun lepas, saya pernah menghubungi Tuan untuk mendapatkan nasihat bagaimana hendak menulis buku. Tuan memberikan saya dua borang yang saya tak ingat borang apa, cuma yang saya ingat ialah borang maklumat penulis adalah satu daripadanya. Kemudian Tuan meminta untuk melihat hasil tulisan saya, saya berikan skrip buku motivasi yang Tuan kata ok dan boleh diteruskan.

    Malang sekali skrip buku yang saya tulis hampir separuh itu dimusnahkan oleh virus di dalam laptop lama saya sehingga tidak dapat diselamat. Walaupun sedih, saya sedaya upaya untuk memulakannya kembali. Bolehkan Tuan menghantar e-mail borang-borang dan prosedur menulis buku kepada saya di alamat e-mail saya iaitu hamirudin@gmail.com ? Kesudian Tuan untuk membantu saya didahului dengan ucapan terima kasih.

    Yang benar,
    Hamirudin Hamidi

  9. Fauzul Na'im Ishak

    29. Jan, 2010

    InsyaAllah Tuan, saya akan kirimkan semula ke email Tuan dalam masa terdekat. Setiap satu perkara yang berlaku tentu ada hikmahnya. InsyaAllah ia akan membawa kepada yang lebih baik selepas ini.

Leave a Reply