MITOS 1 DUNIA BUKU MALAYSIA : Orang Malaysia Tidak Baca Buku (2)
Posted on 13. Oct, 2009 by Fauzul Na'im Ishak in Coretan
Hari ini bangun untuk menyambung perjuangan 2 hari lagi bagi mencapai sasaran menghabiskan puasa 6 dalam bulan syawal. InsyaAllah mampu diselesaikan dua hari lagi. Suatu ibadah yang tidak pernah saya tinggalkan sejak sekian lama. Apa yang menariknya hari ini, anak sulong saya yang berumur 6 tahun Muhammad Iqbal Nu’aim minta digerakkan untuk bersahur bagi berpuasa bersama.
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.”
-Riwayat Imam Muslim
Bergotong Royong di Pejabat PTS
Semalam semua staff PTS berada di bangunan pejabat urusan milik PTS di Dolomite Business Park, Batu Caves, Selangor. Kami semua bergotong royong mengemaskini stor, memastikan buku-buku yang masih berada di atas pallet diletakkan pada rak di stor.
Ini adalah aktiviti biasa yang sering dilakukan oleh para staff PTS bagi membantu kelancaran operasi stor PTS. Semua editor dihentikan operasi editorialnya dan diarahkan ke stor untuk membantu gerak kerja di sana. Ia juga mendekatkan hubungan dua dunia berbeza. Satu dunianya di pejabat editorial, satu lagi berada di stor. Ini mengeratkan ukhuwwah di antara staff. Semuanya tahu apa yang orang lain lakukan. Mengurangkan prejudis bahawa “hanya aku sahaja yang bekerja kuat”.

Pejabat Urusan PTS yang baru sudah mula menerima rombongan luar. Gambar kunjungan rombongan Penerbit UUM
Sebahagian daripada kami membersihkan bangunan baru yang berada di belakang pejabat urusan PTS. Bangunan ini baru sahaja dibeli dan bakal menempatkan semua staff editorial PTS. Jangkaan perpindahan pada bulan November 2009. Proses pengubahsuaian pejabat akan dimulakan pada 19 Oktober ini.
Proses pembersihan dibuat kerana PTS akan mengadakan satu majlis rumah terbuka yang diadakan pada 15 Oktober 2009 ini. Majlis yang julung-julung kali diadakan di bangunan baru PTS ini menjemput semua pengarang, pengedar buku, pekedai buku, para blogger, para wartawan, para staff PTS dan mana-mana individu yang banyak menyumbang kepada kejayaan PTS selama ini. Saya dimaklumkan pengurus jabatan pemasaran, Puan Norhazizam Abdul Rahman menu yang disediakan cukup menarik. Siap ada 2 kambing golek dan buffet ala gerai.
Sambungan Mitos Dunia Buku Malaysia 1
Semalam saya ada mengulas Mitos Dunia Buku Malaysia 1 : Orang Malaysia Tidak Membaca Buku. Saya ingin memetik satu lagi Utusan Malaysia bertarikh 8 Februari 2007.
BAYANGKAN apa akan jadi kepada negara akan datang jika statistik purata rakyat Malaysia yang membaca hanya pada kadar dua naskah buku setahun. Akan terlaksanakah gagasan sebagai negara maju pada tahun 2020 jika rakyat hanya membaca dua naskhah buku setahun?
Hasil kajian profil membaca rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 1996 itu tidak banyak berubah apabila perangkaan tahun 2005 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun, berbanding 180,000 judul di China, 116,000 judul di United Kingdom, 60,000 judul di Amerika Syarikat dan 45,000 judul di India.
Purata dua naskhah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia dalam tempoh setahun itu pula adalah bahan bacaan santai berupa komik, majalah dan akhbar.
Daripada 10,310 judul buku berdaftar setahun yang dihasilkan oleh perangkaan PNM itu pula, hanya 1,273 atau 32 peratus sahaja buku ilmiah yang dikategorikan boleh meningkatkan minda, inovasi dan keilmuan kepada pembaca. Yang lain adalah bahan bacaan santai di samping buku-buku teks akademik dan kanak-kanak.
Seperkara lagi, daripada hampir 600 buah institusi pengajian tinggi (termasuk 20 institut pengajian tinggi awam) sedia ada dengan tenaga akademik atau ilmuwan melebihi 20,000 orang, hanya 6.4 peratus yang menyumbang dalam penerbitan buku pada tahun 2005.
Apabila kita lihat petikan akhbar di atas. Jelas membuktikan bahawa mitos yang dikatakan sering diwar-warkan hanya kajian yang dibuat di Perpustakaan Negara Malaysia sahaja. Mengapa tidak dibuat kajian mendalam di kedai-kedai buku, di penerbit-penerbit buku dan mereka yang terlibat secara langsung dalam dunia perbukuan Malaysia.
Saya sendiri terlibat dalam dunia penerbitan sudah masuk tahun ke 9. Daripada seorang editor perolehan dan sekarang memegang jawatan pengurus besar penerbitan. Jika diambil kira 5 tahun sekali kajian profil ini dibuat. Sekurang-kurangnya sekali pihak kami diminta mengeluarkan statistik jualan. Saya pernah bertanya dengan beberapa rakan penerbit dan pekedai buku, antaranya Alaf 21, MPH Bookstore dan Fajar Pakeer. Mereka ini adalah antara pemain utama industri. Mereka memberikan maklum balas sama, tidak pernah ada permintaan PNM untuk membantu kajian profil ini.

MPH yang mempunyai rangkaian kedai buku antara yang terbesar di Malaysia tidak dilibatkan dalam kajian profil membaca
Memang statistik ini tidak berubah jika hanya diambil hasilnya di PNM sahaja. Satu lagi memang ada penerbit yang tidak mendaftarkan karya mereka dengan PNM. Ambil ISBN sahaja tetapi CIP tak dihantar (ini akan diterangkan lagi dalam artikel lain). Penyerahan kepada PNM di bawah akta penyerahan pun ada yang ikut dan ada yang tidak (PTS hantar semuanya).

Di sinilah keluarnya Kajian Profil Membaca yang diwar-warkan sekarang ini
PNM pula terletak di kawasan yang aksesnya susah. Tiada LRT dan jalan sesak. Ini menyebabkan orang susah hendak ke sana. Kebanyakan orang lebih suka ke kedai-kedai buku seperti MPH, Popular dan Kinokuniya. Jadi sepatutnya dibuat kajian di kedai-kedai buku ini. Begitu juga di penerbit-penerbit buku yang memang bukunya laris seperti Alaf 21, PTS, Utusan dan Telaga Biru.
Fitnah Besar Dunia Buku
Apabila kajian yang tidak berkredibiliti ini diwar-warkan kepada orang awam, ia menjadi satu fitnah. Fitnah besar dunia perbukuan Malaysia. Mengapa saya mengatakan fitnah, kerana ia bukan sahaja melemahkan semangat malahan menjatuhkan potensi dunia perbukuan. Cuba bayangkan apabila ada usahawan dan pelabur baru daripada luar negara yang ingin mewujudkan rangkaian kedai bukunya di sini. Mereka mendengar hasil kajian ini, tentu mereka berfikir 10 kali hendak melabur di Malaysia.
Ini juga melemahkan semangat para penulis dan bakal penulis baru.
Alahai tak payah tulis buku, orang Malaysia tidak membaca buku
Apabila begitu kuranglah karya berkualiti di Malaysia kerana penulisnya sendiri tidak bersemangat hendak menulis. Jadi siapa yang rugi? Mereka dan keluarga mereka juga.
Hasil tulisan :Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
fauzulnaim@fauzulnaim.com


