Menulis Adalah Satu Komitmen

Posted on 09. Oct, 2008 by Fauzul Na'im Ishak in Jadi Bestseller, Utama

Gambar bersama Puan Aina Emir dalam pertemuan baru-baru ini. Nantikan maklumat pertemuan tersebut

Gambar bersama Puan Aina Emir dalam pertemuan baru-baru ini. Nantikan maklumat pertemuan tersebut

Selamat hari raya Aidilfitri. Selamat berpuasa kepada yang baru memulakan perjuangan puasa enam hari di bulan Syawal. Kepada yang merancang hendak mengadakan rumah terbuka janganlah lupa masukkan saya dalam senarai jemputan Anda.

Sekarang sudah mula masuk ke dalam zon rumah terbuka. Sehingga sekarang saya sudah ada 6 jemputan rumah terbuka. Antara yang sudah menjemput Dato’ Dr. Hasan Ali dan saudara Azizi Ali. Dr. Tengku Asmadi pun ada menyatakan hasrat, cuma masih belum ada tarikh lagi. Semoga rezeki semua semakin melimpah ruah selepas ini, dulu, kini dan selamanya.

Dalam beberapa minggu ini banyak juga saya berinteraksi dengan pengarang. Pengarang baru, pengarang lama dan individu yang sebut hendak jadi pengarang. Pengarang-pengarang lama memberikan pelbagai input menarik dan mencerah minda. Pengarang baru dan individu yang baru hendak menjejak kaki dalam dunia penulisan kebanyakannya meminta input bagaimana hendak mula menulis. Alhamdulillah kedua-dua golongan ini membawa sinar cemerlang dunia penerbitan Malaysia.

Menulis Itu Satu Komitmen

Ramai orang menganggap penulisan adalah suatu seni. Seni yang memerlukan kebebasan, kreativiti dan ruang. Namun begitu berdasarkan pengalaman saya, mereka yang berasa dan mempunyai fikiran sebegini jarang karyanya itu menjadi. Menjadi dalam erti kata siap dan dihantar kepada penerbit, kemudian karya yang siap itu menjadi bestseller.

Mengapa? Pada pandangan saya, penulisan bukan hanya sekadar satu seni tetapi sudah dikira sebagai bisnes. Mungkin ada orang berkata saya seorang usahawan, tentu berfikir begitu. Kami orang yang makan gaji, ada kerjaya, menulis bukanlah ruang utama mencari duit kami. Kami mencari wang dengan sumber lain.

Apabila kita menyebut bisnes, ia bukan sekadar bisnes di dunia tetapi bisnes untuk akhirat. Bisnes yang membuahkan rezeki melimpah ruah selagi ada hayat hinggalah ke akhirat.

Bisnes Dunia

Seorang pengarang yang ingin berkarya dengan PTS Millennia, kita minta membuat proposalnya. Mana-mana yang tidak dibuat dan terus mengirimkan manuskrip siap selalunya menimbulkan masalah kepada kedua-dua pihak penerbit dan penulis. Manuskrip yang sudah siap tetapi tidak memenuhi kriteria ditetapkan menyebabkan pihak pengarang perlu bekerja dua kali. Perlu tulis semula. Ia tidak ditambah dengan manuskrip luar musim, tidak ada pasaran dan sebagainya.

Sebab itu pihak kami meminta proposal terlebih dahulu agar pihak PTS Millennia boleh membuat kajian pasaran dan memberikan cadangan untuk nilai tambah. Apabila pihak PTS Millennia bersetuju dengan proposal tersebut barulah pengarang diminta meneruskan penulisan. Tambahan daripada itu, pihak PTS Millennia sudah ada komitmen. Komitmen itu yang penting untuk pengarang.

Apabila komitmen sudah ada di peringkat penerbit, pengarang pun perlu ada komitmen. Ia berbeza jika pengarang tersebut hendak menerbitkan karya sendiri. Komitmen penerbit kepada sesuatu manuskrip cukup besar. Komitmen pelaburan, komitmen membuat promosi dan banyak lagi.

Bisnes Akhirat

3 perkara yang dibawa oleh seorang insan ke Alam Barzakh, amal, doa anak yang soleh dan ilmu bermanfaat. Setiap insan dalam dunia mempunyai tanggungjawab ilmu. Ini yang dikatakan sebagai komitmen akhirat. Ilmu yang ada dalam diri itu bukan hanya untuk kita, ia juga ilmu orang lain. Ilmu Allah yang diserahkan kepada kita untuk disebarkan kepada orang lain.

Seorang insan yang beriman, percaya bahawa setiap rezeki ada pada diri kita itu ada rezeki orang lain. Ilmu juga adalah rezeki, maka ia juga rezeki orang lain. Kita sebagai insan harus melihat bagaimana mengkongsikannya dan cara yang terbaik tuliskan. Tulis dan terbitkan.

Apabila kita membuat demikian, ia merupakan pelaburan yang Allah tukarkan dengan pahala dan imbalan di akhirat. Selagi mana orang membaca karya kita, selagi itu ia memberikan pahala kepada kita.

Komitmen, komitmen

Ramai pengarang yang berfikir sebegini berjaya di dunia dan akhirat. Di dunia, karangan mereka menjadi ikutan, dibeli dengan banyak. Buku menjadi bestseller dan royaltinya banyak. Jemputan ceramah tidak menang tangan.

InsyaAllah banyak juga rezeki mereka di akhirat.

Hendak tahu lanjut bagaimana untuk melakukannya. Lawati www.janawangdenganmenulis.com

Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
fauzulnaim@fauzulnaim.com
Blog Widget by LinkWithin

Tags:

Leave a Reply