Menjejak Dunia Perbukuan Kota Kedua Terbesar Indonesia: Surabaya

Posted on 26. Jan, 2010 by Fauzul Na'im Ishak in Makan Karya

Saya berada di tingkat9, Hotel IBIS Rajawali, Surabaya. Semalam kami tiba di kota kedua terbesar Surabaya jam 12.25 tengah hari waktu Indonesia Barat. Mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya. Kapal terbang tertunda setengah jam kerana terdapat 7 penumpang yang daftar masuk namun mereka tidak wujud di dalam kapal terbang. Pihak AirAsia terpaksa mengambil masa untuk mencari bagasi mereka dan mengeluarkannya untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Ini adalah kali pertama saya melawat daerah ini. Sebelum ini saya sudah melawat ke Jakarta (rumah kedua saya selepas Malaysia, minima 4 kali setahun ke sana), Bandung dan Jogjakarta. Kesemuanya untuk menjejaki rakan-rakan penerbit buku di Indonesia.

Surabaya dikenali sebagai bandar industri, dikelilingi beberapa daerah pendidikan dan pelancongan. Terdapat beberapa peninggalan sejarah menarik di sini. Antaranya masjid Sunan Ampel, jejak-jejak Laksamana Cheng Ho dan beberapa lagi.

Misi Baru Tahun Baru

Pihak PTS melihat tahun ini sebagai tahun pengukuhan dan pembangunan produk penerbitan. Pengukuhan produk sedia ada daripada sudut pakej persembahan, kualiti dan gaya bahasa. Selama ini PTS dikenali sebagai penerbit yang menerbitkan buku berkulit cantik dan menarik. Namun visi saya kali ini, kita ingin dikenali sebagai penerbit pengeluar buku-buku berkualiti tinggi secara keseluruhannya.

Pembangunan produk baru juga ditekankan. Produk yang lebih segar daripada sudut persembahan, sudut kualiti isi dan gaya bahasa. Ia perlu mesra pembaca dan memenuhi keperluan serta kehendak mereka.

Atas dasar ini juga saya terbang ke Surabaya bersama ketua PTS Millennia Sdn. Bhd, saudara Mohd Ikram Wazir. Kami ke sini untuk memenuhi beberapa temujanji dan pertemuan dengan pengarang serta penerbit.

Pak Wawan Susetya, Pengarang Buku Prolifik

Semalam kami didatangi seorang pengarang yang cukup prolifik. Bapak Wawan Susetya. Beliau sudah menghasilkan sebanyak 55 buah buku dalam tempoh 5 tahun. Buku dalam bidang sastera dan agama. Beliau pernah memegang jawatan di Jawa Pos dan sekarang membuat keputusan menjadi pengarang sepenuh masa.

Bersama Bapak Wawan Susetya (dua dari kiri)

Karya beliau Rahsia Air Mata Khusyuk sudah diterbitkan di PTS Millennia. Dalam buku ini beliau menggunakan nama Muhammad Hassan Al-Basri. Ia bagi menyesuaikan namanya untuk pasaran Malaysia. Ini memang sering dibuat oleh PTS untuk menjadikan buku-buku terjemahan Indonesia lebih mesra Malaysia.

Alhamdulillah dalam perbincangan semalam, beberapa persetujuan dibuat. InsyaAllah ada beberapa karya beliau yang sudah terbit (dengan beberapa penerbit Indonesia) dan bakal terbit (buku baru) akan diserahkan kepada pihak PTS Millennia. Ada beberapa tajuk beliau yang ditawarkan itu cukup menarik. Nanti kemunculan lebih banyak buku menarik daripada PTS.

Hari ini kami meneruskan jejak dunia perbukuan Surabaya. Kami akan bertemu dengan Padma Press, penerbit buku agama kontemporari di sini. Nantikan laporannya di sini. Doakan kejayaan kami.

Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
md@fauzulnaim.com
Blog Widget by LinkWithin

Tags: ,

Leave a Reply