Menjana Idea Buku Gaya NLP

Hari ini hari ketiga Bengkel Penulisan Ilmiah dalam TVET, Jabatan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang berlangsung di Hotel De Palma, Ampang. Alhamdulillah semalam kami sudah memulakan langkah mengkaji diri untuk mengeluarkan apakah yang patut para peserta tulis. Kajian berdasarkan 5 unsur penting dalam diri iaitu hobi, kemahiran, keghairahan, minda separa sedar dan bakat terpendam.

Semalam juga sudah dibuat perbincangan dalam kumpulan bagi membentangkan hasil kajian buku mesra pembaca mengikut judul kumpulan. Pada pagi ini pula, kami membincangkan persoalan idea.

Bagaimana untuk menjana idea penulisan?

Pada pandangan saya idea setiap hari dijana oleh individu, yang menjadi persoalan adakah individu itu sedar berkenaan idea yang berlegar di sekelilingnya? Adakah beliau benar-benar mahukan idea itu? Adakah beliau tahu untuk mengasimilasikan idea itu?

Idea sentiasa ada di persekitaran

Idea sentiasa ada di persekitaran, persoalannya ‘SEDARKAH KITA?’

Pemadaman, Pengherotan dan Penyamarataan

Berdasarkan kajian pakar Neuro Linguistic Programming (NLP) yang mencipta model komunikasi NLP menyatakan bahawa setiap masa, setiap saat apabila sesuatu acara atau perkara berlaku di persekitaran manusia. Manusia menyerap sebanyak 2 juta bit per saat maklumat, ia melalui kesemua pancaindera dan diserap masuk ke dalam otak manusia. Namun di dalam otak manusia berlaku apa yang disebut sebagai proses penapisan maklumat yang mewujudkan pemadaman, pengherotan dan penyamarataan maklumat.

Modul Komunikasi NLP

Modul Komunikasi NLP

Daripada 2 juta bit per saat maklumat, hanya sebanyak 123 kilo bit per saat sahaja maklumat yang diserap masuk ke perwakilan dalaman dan diproses untuk mewujudkan tingkah laku harian. Proses pemadaman, pengherotan dan penyamarataan dihasilkan oleh penapis yang wujud di dalam otak ataupun minda menyebabkan kita hanya mengambil maklumat yang kita mahu sahaja. Apa yang kita tidak mahu kita buang.

Itulah sebabnya saya katakan bahawa adakah benar-benar kita mahu idea itu? Ataupun kita sendiri yang mempalam idea itu daripada diproses oleh minda kita?

Pernahkah Anda memandu kereta, pada ketika itu tiba-tiba kita mendapat satu ilham atau idea. Namun kita tidak menulis atau mencatat idea itu. Kemudian apabila kita sampai ke destinasi, kita mahu dapatkan dan ingatkan kembali idea tersebut tetapi tidak dapat mengingatinya? Tentu ramai yang pernah melaluinya (kecuali orang yang tidak tahu dan tidak pernah memandu kereta :)). Maklumat itu melalui proses pemadaman.

Pernahkah Anda melalui peristiwa apabila melakukan sesuatu aktiviti ataupun perkara disalah ertikan oleh orang yang melihat? Ini yang dikatakan sebagai pengherotan.

Pernahkah Anda menempuh peristiwa di mana ada orang yang mengatakan bahawa “Semua perempuan suka berleter”, “Semua lelaki memang bersepah” dan banyak lagi kata-kata seumpamanya. Adakah benar semua perempuan begitu? Benarkah semua lelaki begitu? Tentu tidak. Namun disebabkan mungkin seorang ataupun dua orang melakukan tingkah laku serupa, kita menyamaratakan semua bertingkah laku sebegitu. Maklumat itu melalui proses penyamarataan.

Dalam dunia ini pemadaman, pengherotan dan penyamarataan seringkali berlaku, proses ini yang menyebabkan kita seringkali terlepas idea buku yang mungkin bernilai satu juta ringgit itu.

Persediaan untuk Mencatit Idea

Apa yang paling penting untuk memperoleh idea adalah kita sendiri perlu bersedia untuk menerimanya. Bagaimana? Sediakan apa sahaja alat untuk merakam idea yang muncul di persekitaran. Saya yakin percaya dalam dunia ini setiap individu mempunyai alat sebegitu. Sama ada alat dalam bentuk tercanggih seperti telefon bimbit pintar, tab sesentuh hinggalah yang paling primitif (sangkaan saya) pensel dan buku 555.

Saya pernah bertemu dengan sahabat saya, Tuan Billy Lim di rumah beliau yang terletak di Subang Perdana. Beliau menunjukkan kompilasi (saya sebut sebagai kompilasi) buku 555 yang diikat getah. Kesemua itu adalah buku idea beliau.

Saya tidak runsing hilang rumah, yang saya runsing hilang idea-idea saya ini

Kata beliau sambil memegang ikatan buku 555 milik beliau.

Billy Lim, seorang ideator yang saya kagumi

Billy Lim, seorang ideator yang saya kagumi. Banyak idea ‘gila’ yang dikeluarkannya hingga menjadikan dia, dia sekarang ini

Pancaindera sebagai Saluran Penghasilan Idea

Setiap hari kita menyerap idea melalui pancaindera kita dan diproses oleh perwakilan dalaman kita. Ia bergantung kepada pancaindera apa yang lebih dominan pada ketika itu. Dalam NLP ia disebut sebagai Visual, Auditori, Kinestetik, Olfaktori dan Gustatori (VAKOG).

Individu Dominan Visual

Individu ini mendapat idea melalui mata, maklumat diproses dalam bentuk gambar dan imej. Ia memperoleh maklumat melalui apa yang dilihat, dibaca dan diperhati. Pada pandangan saya individu sebegini perlu banyak membaca buku, majalah, akhbar ataupun apa sahaja maklumat bertulis. Beliau juga boleh mendapat idea dengan melihat persekitaran, mencatit setiap aktiviti manusia ataupun mengikuti perkembangan orang-orang terdahulu sebagai idea dalam penulisannya.

Sumber bacaan sekarang amat banyak ia termasuklah kedai buku, perpustakaan, wikipedia, gerai tepi jalan dan banyak lagi. Beliau juga dapat menjana idea dengan menonton televisyen, wayang dan melalui melihat gelagat manusia di sekeliling.

Individu Dominan Auditori

Individu sebegini lebih dominan mendapat idea melalui telinganya, segala maklumat diproses dalam bentuk bunyi. Ia memperoleh maklumat daripada apa yang didengarnya. Pada pandangan saya individu sebegini dapat menjana ideanya dengan menghadiri kuliah, menyertai bengkel-bengkel mengikut kemahiran yang ingin ditulis dan sewaktu dengannya. Beliau lebih aktif menjana idea dalam suasana tenang dan kurang sibuk. Antara paling sesuai adalah perpustakaan.

Individu Dominan Kinestetik

Individu sebegini menjana idea melalui sentuhan, beliau memproses maklumat dengan merasai dan mengalami. Apa yang perlu individu sebegini perlu mengalami dan menyertai sebagai aktiviti kondusif bersesuaian dengan topik terpilih. Individu sebegini amat aktif menjana idea apabila berada dalam suasana yang bersesuaian dengan perasaannya.

Setiap individu boleh mengkaji apakah VAK yang dominan untuk dirinya. Apabila begitu, mereka boleh menjana idea kreatif dengan memastikan suasana kondusif untuk mereka. Apapun dalam semua perkara untuk menjana idea yang pelbagai seorang penulis perlu rajin membaca. Membaca dan mengalami pengalaman penulis lain dapat menjana idea baru yang mungkin lebih menarik daripada pengarang sebelumnya..

4 Comments

  1. Suhaila on 04/07/2012 at 9:59 PM

    Assalamualaikum Tuan Fauzul..saya tertarik dengan VAK yang Tuan utarakan. Bagaimana agaknya kaedah untuk kita memastikan apakah VAK yang dominan dengan diri kita? adakah kita boleh menilainya menerusi pandangan sendiri atau memerlukan orang lain untuk mengesan VAK yang dominan pada diri kita? Terima kasih…

    • Fauzul Naim Ishak on 04/07/2012 at 10:55 PM

      Cikpuan Suhaila,

      Kita boleh meneliti VAK kita melalui cara kita bercakap dan bahasa badan kita. Sebagai contoh, untuk orang yang dominan visual, bahasa digunakan “Anda boleh nampak” “Apa yang ditunjukkan”. Orang yang dominan auditori, bahasa digunakan “Bolehkah Tuan jelaskan dengan ..”, “Apa yang diperdengarkan adalah…”. Orang yang dominan kinestetik “Saya rasa….”, “Apa yang dialami…”.

      Orang yang dominan visual, apabila bercakap pergerakan tangannya amat rawak. Cakapnya agak kalut dan cepat. Bercakap dalam telefon, gerakan tangannya seperti berdepan dengan orang di sebelah sana hubungan. Orang yang dominan auditori, bercakap perlahan seumpama mendengar sendiri suaranya. Orang yang kinestetik mudah tersentuh hatinya.

      Ini adalah antara yang dapat dikesan daripada bahasa badan dan bahasa percakapan mengikut VAK 🙂

  2. Syaizul Amal & AinMaisarah on 04/07/2012 at 10:27 PM

    Penjanaan idea jenis cakap sendiri sambil mundar mandir. Mungkin ia gabungan Kinestetik dan Auditori.

Leave a Comment