MENCABAR KETAKUTAN UNTUK BERJAYA DAN MENIKMATI HIDUP LEBIH INDAH

Ini adalah posting pertama saya untuk tahun 2016.

2015 adalah tahun yang amat indah buat saya, keluarga dan bisnes.

Tahun 2015 kami mengendalikan lebih daripada 100 buah program dan jumlah keseluruhan peserta yang menghadiri program anjuran FINE Training Academy melebihi 5,000 orang. Ini suatu pencapaian yang amat baik.

Lebih menarik, kami mendapat kontrak kendalian program buat sebuah organisasi besar negara sehingga tahun 2017.

Sasaran jualan tahun 2015 juga melebihi sasaran yang ditetapkan.

Tahun 2015 juga kami mula melangkah ke dalam bisnes baharu iaitu bisnes Homestay dan bisnes kereta sewa. Dua bisnes yang memberikan cabaran baharu buat kami.

Sehingga sekarang kami sudah mempunyai 6 homestay yang dibuka bermula September 2015 hingga sekarang.

  • 2 buah di Kampung Baru, Kuala Lumpur
  • 2 di Nusajaya, Johor
  • 1 di Kok Lanas, Kelantan
  • 1 di Kubang Kerian, Kelantan.

Ini bagi saya kejayaan yang tidak tergambar selama ini, homestay? 6 buah? di 3 negeri? Apabila cerita pada orang lain pun mereka tidak percaya. Namun percayalah, ini adalah kejayaan yang dibuat tahun lepas.

homestay

Kemudian bisnes kereta sewa bermula dengan 3 buah MPV dan 2 buah kereta, 1 sedan dan 1 coupe.

Sasaran tahun ini, ia perlu dikembangkan. InsyaAllah atas kertas sudah ada 2 homestay akan dibuka tahun ini dan sasaran tambahan 3 lagi. Jumlahnya 5 buah lagi.

11885303_1625800414357019_2897459504596056993_n

Ini semua kejayaan yang saya boleh katakan kejayaan tidak tergambar.

Alhamdulillah juga saya bersama keluarga diberikan kelapangan ruang dan masa untuk bercuti panjang selepas sibuk setahun bekerja. Kali ini kami sekeluarga pusing satu negeri di bawah bayu, Sabah.

IMG_8409

Kami menyewa sebuah MPV Avanza, bermula dari Kota Kinabalu-Tamparuli-Kundasang-Sandakan-Lahad Datu-Semporna-Pulau Mabul-Tawau-Keningau-Tenom-Putatan-Kota Belud-Tuaran-Kudat dan patah balik Kota Kinabalu untuk terbang pulang ke Kuala Lumpur.

Dalam semua tempat yang kami lawati, 2 tempat yang kami sekeluarga pasti akan ulang lawatan iaitu Kundasang dan Pulau Mabul.

Kundasang adalah tempat yang tidak sepertinya di Malaysia. Subhanallah. Pemandangan Gunung Kinabalu yang tersergam indah, bayu segar menghembus pipi, kesejukan di malam hari dan suasana indah kaki bukit memang menyebabkan kami terpesona.

DSC00703

DSC00730

Pulau Mabul, adalah syurga dunia yang memang dicipta Allah untuk dinikmati. Pulau dengan air yang jernih, hidupan laut penuh misteri, melihat haiwan laut yang belum pernah dilihat hadapan mata, penyu berenang di tepi, batu karang indah.

IMG_8432

Pengalaman yang paling berharga pada ketika saya sekeluarga di Pulau Mabul adalah mencabar ketakutan untuk ‘snorkeling’ tanpa jaket keselamatan.

Saya adalah individu yang ada kepercayaan bahawa ‘saya tidak dapat berenang’ dan ini di’ia’kan dengan beberapa peristiwa lemas di sungai dan laut satu masa dahulu.

Apabila mahu terjun ke laut terutamanya untuk snorkeling di Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan beberapa tempat yang pernah snorkeling, kepastian pertama ada jaket keselamatan ataupun tidak?

Namun apabila berada di Pulau Mabul, jurulatih snorkeling yang memberikan taklimat hari pertama membuat kejutan iaitu kami semua akan snorkeling tanpa jaket keselamatan. Perasaan agak gusar juga kerana kami dimaklumkan akan snorkeling di laut dalam, kedalaman melebihi 20 kaki. Pada ketika itu terfikir mampukah aku?

947398_10153828963753630_6189353312969358877_n

Kemudian kami dibawa ke laut, dilatih seorang demi seorang, dan Alhamdulillah apabila mengetahui teknik dan mempunyai jurulatih yang baik, kami semua dapat snorkeling tanpa jaket keselamatan dengan bagus. Anak dan isteri saya siap mampu buat ’skin diving’ lagi.

Ujian pertama kami adalah kami dibawa ke tapak snorkeling yang pertama, diminta terjun terus ke dalam air daripada bot. Memang kaki tidak jejak tanah, dan apabila memandang ke bawah melalui Goggle yang dibekalkan, terlihat kedalaman laut dasar yang amat jauh.

Memang mencabar, siap Goggle masuk air, air laut masuk melalui hos ke dalam mulut. Nafas tak cukup.

Namun selepas dipandu oleh jurulatih dengan baik, kami diminta memegang hujung tali dan dibawa ke tengah dan kemudian dilepas bebas. Alhamdulillah keyakinan meninggi dan saya mampu untuk snorkeling tanpa jaket keselamatan dengan jarak melebihi 500 meter di lautan luas. Lebih menarik dapat menikmati keindahan alam lautan penuh batu karang dan ikan yang cantik. Subhanallah.

Cabaran kedua adalah di laut dalam untuk berenang bersama penyu, laut pada ketika amat bergelora. Kali ini kami mendapat tambahan alat ‘kaki itik’. Alhamdulillah cabaran ini lepas dan dapat melihat penyu secara ‘live’ depan mata berenang keluar dari sarangnya. Indah sungguh.

IMG_8491

Cabaran demi cabaran menambahkan keyakinan dan sekarang saya bersama keluarga amat teruja untuk terjun sekali snorkeling tanpa jaket keselamatan di masa hadapan.

Apa yang saya belajar, TAKUT yang menghalang kita untuk melihat KEINDAHAN POTENSI HIDUP sebenar. Apabila kita berjaya menCABARnya, kita dapat memandang hidup dengan cara berbeza. Kita akan terus teruja untuk kehadapan bagi melihat KEINDAHAN HIDUP yang lebih hebat dan cantik.

Apa kata, permulaan 2016 kita fikirkan satu KETAKUTAN yang menghalang diri kita ke hadapan. Cabarnya, dan hayati keindahan hasil kita berjaya mencabarnya. InsyaAllah banyak perkara kita akan capai dalam hidup. Kehidupan lebih indah di masa hadapan.

Ini adalah sebahagian cerita jelajah kami di Sabah. Kami juga berjaya men’jajah’ hujung Borneo di Kudat. Dahulu pernah saya men’jajah’ hujung benua Asia di Tanjung Piai, kali Borneo bersama keluarga.

IMG_8382 (1)

Alhamdulillah keseluruhan ini adalah penjana kekuatan tahun 2016. Semoga tahun 2016 menjadi tahun yang baik buat kita semua. Amiin

Leave a Comment