Kenyataan Rasmi Pengarah Penerbitan PTS Mengenai Pandangan Berkenaan Novel HIJRAH Karangan Tuan Abdul Latip Talib

Kenyataan Rasmi Pengarah Penerbitan PTS Mengenai Pandangan Berkenaan Novel HIJRAH Karangan Tuan Abdul Latip Talib

Assalamualaikum dan salam bahagia,

Selawat dan salam kepada Nabi Junjungan Muhammad Rasulullah SAW.

Merujuk kepada komen dan pandangan yang diberikan oleh seorang agamawan melalui saluran seminar dan juga facebook mengenai sebuah novel Sejarah Islam terbitan PTS Litera Utama Sdn. Bhd. bertajuk HIJRAH karangan Tuan Abdul Latip Talib.

Saya bagi pihak PTS Media Group Sdn. Bhd., mengucapkan jutaan terima kasih kepada para agamawan dan juga pakar-pakar dalam bidang lain yang memberikan pandangan kepada pengisian di dalam buku-buku terbitan kami. Kami amat bersyukur kepada Allah kerana adanya para pakar yang sudi menegur usaha kami yang kerdil ini.

PTS diwujudkan atas 3 dasar utama iaitu menerbitkan karya-karya berkualiti dalam bahasa Melayu bagi membanyakkan bahan bacaan dalam kepustakaan Melayu, menentang rasuah dalam amalan bisnes dan penerbitan, menerbitkan bahan yang patuh syariah. Ini adalah dasar pegangan PTS sejak awal penubuhannya pada tahun 2000. Dasar ini menjadi asas kepada penerbitan karya-karya terbitan kami selama ini.

Para individu di bahagian editorial bertungkus-lumus merealisasikan dasar perjuangan ini dalam gerak kerja harian. Setiap buku yang diterbitkan diteliti sehabis mungkin supaya bahan terbitan kami dijaga keharmonian bahasa dan kesahihan fakta di dalamnya. Apabila ada bahan yang berada di luar daripada kepakaran kami, kami melantik para pakar dalam bidang yang kami percaya dapat memberikan pandangan dan penilaian terbaik bagi memurnikannya. Selagi mana manuskrip itu masih lagi ada kesangsian fakta dan maklumat di dalamnya, selagi itu ia terus diteliti dan disunting.

Pihak kami juga menggunakan teknologi yang terkini bagi memastikan setiap buku yang diterbitkan mencapai tahap kualiti tertinggi. Teknologi ini termasuklah menggunakan perisian susun atur huruf versi terbaharu, perisian kamus, prosedur operasi standard dan apa sahaja yang dilihat serta dirasakan dapat meningkatkan kualiti penerbitan kami. Namun sebahagian besar proses ini masih lagi melibatkan unsur ‘manusia’. Pelbagai program latihan editorial dijalankan, latihan suntingan bahasa, latihan suntingan agama, sesi diskusi bersama pakar bidang dan forum-forum secara online dilakukan bagi menangani perkara berbangkit.

Manusia tetap manusia, kita bukan insan sempurna. Walaupun segala usaha dilakukan, kadangkala pasti ada yang terlepas pandang. Walaupun manuskrip-manuskrip sudah diperiksa oleh dua ke tiga editor, masih ada kesilapan di luar kawalan kami. Ini yang pentingnya sistem maklum balas daripada para pembaca dan para pekedai.

Apabila kami memperoleh sebarang pandangan daripada mana-mana pihak berkaitan bahan terbitan kami, Pandangan itu akan diteliti dan bahan terbitan itu dikaji semula. Ini bagi menentukan sma ada pandangan yang diberikan itu sahih ataupun tidak. Apabila ia dapat dibuktikan dan mempunyai fakta-fakta bersandar, pihak kami akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan ia diperbetulkan.

Apabila pandangan diberikan kepada produk buku HIJRAH, pihak kami mengadakan perbincangan dalaman pengurusan editorial bersama pengurusan tertinggi PTS Media Group dan perbincangan juga dibuat bersama Tuan Abdul Latip Talib, pengarang buku ini. Alhamdulillah, Tuan Abdul Latip Talib secara terbuka mengakui sebagai manusia beliau tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Beliau amat terbuka menerima sebarang pandangan mengenai perkara ini dan beliau memohon sebarang pandangan sebegini diajukan kepada beliau secara peribadi.

Hasil daripada perbincangan yang dibuat ini, pihak kami memutuskan bagi membuat penelitian dan pemurnian semula terhadap naskhah penerbitan ini. Tindakan proaktif ini dibuat atas sebab setiap pandangan membina perlu diambil perhatian.

Sehubungan dengan itu, pihak pentadbiran PTS Media Group membuat keputusan untuk menarik balik kesemua naskhah buku HIJRAH daripada pasaran. Arahan penarikan sudah dikeluarkan kepada para eksekutif jualan dan tindakan sudah diambil oleh pihak yang berkenaan.

Kami amat mengalu-alukan mana-mana individu peminat dan pejuang dunia ilmu bagi memberikan pandangan secara terus kepada pihak kami apabila menemui sebarang perkara berbangkit dalam bahan terbitan kami. Sebarang perkara berbangkit boleh dimajukan kepada Pengurus Besar Penerbitan PTS, Tuan Ikram Wazir di talian: (+6) 016 661 1649 | emel: ikram@pts.com.my ataupun terus kepada saya di talian : (+6) 016 661 1472 | emel: fauzuln@pts.com.my. Kami juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk mengadakan sesi pertemuan dan diskusi dengan pihak kami bagi memberikan pandangan berkenaan buku terbitan kami.

Sekali lagi jutaan terima kasih kepada pihak yang memberikan pelbagai pandangan membina bagi menambah baik karya-karya terbitan kami. Kami doakan Tuan dan Puan sentiasa diberikan rahmat dan redha Allah dalam apa sahaja gerak kerja yang dilakukan seharian. Kami juga memohon maaf kepada para peminat buku terbitan kami yang terkesan daripada perkara berbangkit ini. Kami juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Semoga Allah sentiasa memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada diri kita semua.

Sekian, terima kasih.

Salam penerbitan dan salam perjuangan,

fni

FAUZUL NA’IM ISHAK
Pengarah Penerbitan
PTS Media Group Sdn Bhd..

Please note: I reserve the right to delete comments that are offensive or off-topic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *