Kenali Potensi Diri, Pacu Kejayaan Hidup, Realisasikan Azam Baru

Alhamdulillah Seminar P.O.W.E.R: Potensi Wanita Super sudah selesai perlaksanaan dan juga post mortemnya maalam tadi. Sesi yang saya kendalikan dalam seminar ini adalah berkaitan bagaimana untuk mengenal potensi diri. Potensi diri adalah salah satu bidang yang saya mempunyai ‘keghairahan’ mendalam. Mengenal potensi bermaksud mengetahui apakah kekuatan kita. Mengenal sahaja tidak cukup, kita perlu tahu bagaimana untuk menggunakan kekuatan itu dalam aktiviti harian kita.

Memahami dan Mengenal Potensi Diri

Siapa di antara Anda yang membaca artikel merasakan dirinya benar-benar mengetahui akan potensi dirinya?

Apabila membaca pernyataan di atas, tentu Anda tengah berfikir, meneliti apakah sebenarnya potensi diri Anda. Mungkin Anda sudah berusia 15 tahun, 30 tahun ataupun mungkin sudah mencecah usia 60 tahun, apabila tidak mengenal potensi diri ia adalah suatu kerugian maha hebat. Saya sering menyebut dalam program INSAN SUPER kendalian saya bahawa sesiapa yang tidak mengenal potensi dirinya adalah seumpama ALIEN. Ya makhluk asing yang mendiami tubuh badan kosong. Sekian lama berada di dalam tubuh itu tetapi masih tidak tahu akan kekuatan dan potensi yang ada pada dirinya.

Tentu Anda seringkali mendengar kata-kata bahawa “Anda mempunyai banyak potensi…. Anda sudah membazirkan potensi diri Anda ataupun Anda tidak mempunyai sebarang potensi

Potensi akan sentiasa 'bercahaya' apabila kita sentiasa menggilapnya

Potensi akan sentiasa ‘bercahaya’ apabila kita sentiasa menggilapnya

Apabila kita mengetahui apakah potensi diri kita, kita akan mengubah cara kehidupan kita. Apabila mengetahuinya kita memahami apa yang dapat kita lakukan untuk cemerlang dalam hidup. Kita juga tahu apakah yang kita boleh jadi, sama ada menjadi seorang pegawai, pemimpin, pengikut dan lebih menarik dapat mendefinisikannya secara lebih spesifik. Apabila kita mengetahuinya, kita dapat mengubah takdir hidup kita dan memacu pencapaian impian dalam hidup.

Takdir Boleh Diubah?

Nabi Muhammad pernah berkata:

“Sesungguhnya seseorang itu terhalang rezekinya disebabkan dosa yang dilakukannya; tidak ada yang boleh menolak takdir melainkan dengan doa dan tidak bertambahnya umur kecuali dengan amal kebajikan”
-Riwayat Ibnu Hibban

Takdir bermaksud ketetapan Allah. Ramai yang mengaitkan Takdir dengan nasib.

“Nasib baik dia itu kemalangan tidak mati” “Nasib baik dia itu kemalangan hanya patah tangan” “Nasib baik dia itu kemalangan, hanya patah kaki dan tangan” “Nasib baik dia itu mati, kalau hidup menyusahkan orang”

Tentu Anda sering mendengar pernyataan-pernyataan di atas. Adakah benar nasib itu adalah takdir? Pada pandangan peribadi saya, nasib hanyalah suatu alasan untuk tidak berjaya. “Sudah nasib saya miskin” “Sudah nasib saya bekerja di syarikat yang bossnya pemarah”. Kesalahan itu diletakkan pada orang lain, bukan salah sendiri. Itu yang saya katakan ia adalah alasan sahaja.

Dalam sejarah Islam pernah diceritakan bagaima satu ketika Saidina Umar bin Khattab bersama rombongannya bertolak ke ke Syam(sekarang dikenali sebagai Syria). Dalam perjalanan beliau mendapat perkhabaran bahawa kampung yang beliau bakal lalui dilanda wabak taun. Apabila mengetahui mengenainya, beliau memanggil kesemua sahabat yang bersamanya beliau bermesyuarat. Dalam mesyuarat itu ada sebahagian sahabat mencadangkan supaya mereka tidak memasuki kampung itu bagi mengelakkan diri daripada penyakit itu, manakala ada sebahagian tidak bersetuju hingga salah seorang sahabat Abu Ubaidah Bin Jarrah berkata ”Wahai Umar, adakah engkau mahu lari daripada takdir Allah?”

Saidina Umar menjawab ”Ya, kita melarikan diri daripada takdir Allah dengan takdir Allah menuju ke takdir Allah. Sesungguhnya engkau tidak seharusnya berkata sedemikian wahai Abu Ubaidah”.

Para sahabat yang bersetuju dengar Umar, pulang ke Madinah. Manakala Abu Ubaidah meninggal di kampung itu akibat terkena penyakit taun itu.

Selepas itu seorang lagi sahabat Abdul Rahman bin Auf merawikan satu hadith yang bermaksud, ”Apabila kamu sudah berada dalam negeri dimana taun berjangkit, janganlah kamu keluar dari kampung itu, tetapi jika kamu belum masuk ke kampung itu, janganlah kamu masuk”

Takdir amat berbeza dengan nasib. Takdir dibahagikan kepada dua jenis. Pertama di panggil Takdir Mubram atau Takdir yang sudah tetap. Sebagai contoh takdir hujan, hujan memang sudah ditakdir turun daripada langit. Manakala ada satu lagi Takdir iaitu Takdir Muallaq, Takdir yang dapat kita ubah mengikut usaha yang dilakukan.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”
-Surah Ar-Ra’d, ayat 11

Apakah Itu Potensi Diri?

Potensi diri kita memberikan perincian mengenai:

PERTAMA: Apakah aktiviti dan tugasan yang dapat kita lakukan dengan cemerlang. Seumpama hobi, kerja, perhubungan dan apa sahaja yang kita boleh lakukan dengan cemerlang.

KEDUA: Individu yang kita dapat capai. Seumpama profesion, status sosial dan kebanggan yang kita dapat capai.

KETIGA: Apakah pencapaian yang mungkin kita perolehi. Pencapaian hidup, kekayaan, penghargaan, anugerah juga apakah impak yang boleh kita lakukan kepada dunia.

Potensi berasal usul daripada kata akar “potent” yang berkaitan apa sahaja yang kita dapat capai apabila kita membangunkan dan menggunakan kebolehan, bakat dan keupayaan yang ada pada diri kita.

Setiap seorang daripada kita mempunyai ‘benih-benih’ kehebatan dalam diri kita. Setiap seorang mempunyai potensi berbeza-beza dan mungkin ada juga yang sama. Ada sesetengah individu mempunyai keupayaan untuk menyanyi, memasak, menyelesaikan soalan matematik yang rumit, mengorat wanita tercantik dan ada keupayaan menembak dengan tepat walaupun tidak melihat. Potensi ini akan keluar apabila kita ‘siram’kannya untuk membolehkannya bertumbuh dan berkembang biak dalam diri kita.

Potensi umpama benih-benih yang sudah sedia ada dalam diri, hanya kita perlu gembur dan suburkan bagi menyerlahkannya ke dunia

Potensi umpama benih-benih yang sudah sedia ada dalam diri, hanya kita perlu gembur dan suburkan bagi menyerlahkannya ke dunia

Secara kolektif, kita semua mempunyai segala potensi untuk mencipta dan mengekalkan kehidupan kita di dunia ini, dunia yang dikatakan membolehkan setiap impian menjadi nyata. Walaubagaimanapun ia memerlukan setiap ‘alat bajakan’, ‘gemburan’, ‘agen pendebungaan’ dan apa sahaja untuk menjadikannya realiti. Ia adalah bukan hanya apa yang sedia, ia adalah persoalan apa yang kita dapat lakukan dengannya. Ada sesetengah individu mungkin sudah sedia ada potensi pada dirinya, namun kerana ia tidak melakukan sesuatu potensi itu hanya terpendam di dalam dirinya.

Potensi diri ini bukan hanya spesifik atau terhad kepada sesuatu ruang atau kawasan sahaja. Ia umpama sebuah air terjun yang tidak berhenti-henti mengalirkan air ke dalam kolam, ia adalah gabungan cara berfikir dan keupayaan diri. Kita bukan sahaja berpotensi dalam bidang kerjaya sahaja, tetapi juga dalam perhubungan, cinta dan kasih sayang. Kita ada potensi untuk menjadi sihat dan hidup bahagia.

Bagaimana Saya Mahu Mengenal Potensi Diri Saya?

“Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan (segalanya). Dia menciptakan insan dari ‘alaq. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah . Yang mengajar dengan pena. Dia mengajarkan insan apa yang tidak diketahuinya”
-Surah Al-‘Alaq, ayat 1 hingga 5

Potensi diri hanya dapat dikenali dengan ilmu. Ayat pertama di atas amat jelas memberikan gambaran bahawa kita perlu banyak ‘membaca’. Membaca bukan sekadar pada ertikata membaca buku, majalah, Al-Quran sahaja. Ia adalah lebih daripada itu. Membaca dengan membuat eksperimen, membaca dengan meneliti dunia, membaca dengan membuat penjelajahan dan membaca dengan berguru.

Alhamdulillah saya sudah menjelajah dunia potensi diri  ini sejak 3 tahun ini. Daripada belajar bagaimana membaca menggunakan tarikh lahir yang saya belajar untuk tahu dan bukan untuk beramal. Saya tidak ‘beriman’ dengannya kerana pada pandangan saya ia mendekatkan diri dengan khurafat. Kemudian saya belajar Analisa Profil DiSC yang membahagikan manusia kepada 4 kuadran iaitu D: Dominance, i: Influence, S: Steadiness dan C: Compliance. Seterusnya Neuro Linguistic Programming yang memperkenalkan saya kepada Language and Behavior Profile (LAB Profile) dan akhir sekali Feng Shui dengan 4 unsur penting hidup.

Kesemua pembelajaran ini adalah untuk menyambut gagasan IQRA’ ini. Alhamdulillah, sekarang saya dapat membuka ‘hijab’ itu untuk mengenal potensi diri. Kesemua ini adalah ilmu Allah yang kita dapat jelajahi. InsyaAllah saya akan singkap satu persatu ilmu ini dalam artikel akan datang. Hingga bertemu lagi. Bacalah dengan nama Tuhanmu.

Kekunci kejayaan sentiasa berada di dalam diri kita

Kekunci kejayaan sentiasa berada di dalam diri kita

.

Please note: I reserve the right to delete comments that are offensive or off-topic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *