Kecil Boleh Jadi Besar
Posted on 09. Dec, 2009 by Fauzul Na'im Ishak in Coretan, Motivasi
Alhamdulillah hari ini sudah hari ketiga bertugas di pejabat. Keadaan di pejabat editorial Kumpulan PTS yang baru masih bersepah dengan barang-barang yang masih belum dikeluarkan daripada kotak, kerusi di sana, kerusi di sini seperti tidak bertuan (mungkin tuannya masih tidak mengambilnya), meja-meja yang ingin ditukar fungsi sebab semua staff sudah ada meja baru, memang bercelaru sedikit. Saya jangkakan perlu ambil masa sebulan baru kesemua perkara ini kembali ke keadaan asal.
Bangunan ini masih lagi dalam proses renovasi, masih ada beberapa ruang yang belum sudah proses pembaikannya. Tandas tingkat atas masih lagi diubahsuai untuk memenuhi keperluan. Surau masih belum cukup penghadangnya kerana masih belum sampai daripada pembekal. Proses penyambungan wayar telefon dan wayar elektrik diteruskan dan dijangkakan akan siap sepenuhnya 15 Disember 2009.
Terlihat di ruangan saya (saya tidak punyai bilik, hanya diberikan ruangan terbuka yang mempunyai papan penghadang sahaja) masih ada papan putih yang masih belum diangkat dan dilekatkan ke dinding, wayar-wayar tunggu untuk disambungkan, fail-fail kerja yang tetap perlu diuruskan walaupun keributan berlaku.
Walauapapun saya tetap bersyukur kerana selepas 9 tahun, Kumpulan PTS mampu mempunyai 3 unit gudang, kepunyaan sendiri. Tambahan menyewa satu lagi bangunan bersebelahan (sebab inventori melimpah). Ini satu kejayaan yang cukup memuaskan hati. Sebagai salah seorang tenaga penggerak awal Kumpulan PTS, daripada Taman Melawati berpindah ke Kampung Janda Baik, Bentong. Berpindah pula ke Bukit Tinggi, Bentong, ke Wangsa Melawati dan akhirnya berada di bangunan sendiri ini.
Semua ini pengalaman yang amat mendewasakan dan mematangkan fikiran. Alhamdulillah, terima kasih Ya Tuhan atas kurniaan Mu kepda kami semua.
Masalah Kecil Menjadi Besar
Saya baru mendapat laporan daripada pegawai saya di Book Pro Publishing Services (anak syarikat Fauzul Na’im Sdn. Bhd.) mengatakan ada satu projek yang bermasalah. Pada mulanya projek ini dipersetujui pihak kami dengan pelanggan untuk kami melakukan proses cetakan dan penjilidan. Namun berlaku masalah komunikasi dalaman staff hingga menyebabkan buku yang sepatutnya dicetak dalam saiz disangka saiz lain. Ini menyebabkan kos percetakan berbeza dengan yang dibuat sebut harga. Kami terpaksa menanggung kerugian cukup besar disebabkan masalah komunikasi terganggu (miscommunication).
Dalam sebuah organisasi semua ahli pasukan seharusnya menjadi seperti satu badan. Apabila satu badan dicubit, badan lain juga merasakan kesakitan. Namun apabila anggota-anggota dalam sistem badan tidak berkomunikasi. Sebagai contoh jika si kaki hendak berjalan ke kiri tetapi sebenarnya otak hendak mengarahkan berjalan ke kanan. Tentu akan menyebabkan konflik besar hingga menyebabkan struktur badan akan sakit. Begitu juga dalam syarikat jika antara satu unit ataupun individu dalam pasukan tidak bercakap dan berkomunikasi baik dengan yang lain maka ia memberikan risiko besar kepada syarikat.
Walaupun kes sebegini adalah terpencil dan kecil pada pandangan sesetengah pihak. Namun ia melibatkan kesan besar kepada kepercayaan dan reputasi syarikat. Saya amat berharap staff terbabit dapat menyelesaikan masalah komunikasi tidak berlaku di masa hadapan. Mungkin perkara ini juga dapat dijadikan panduan di pihak orang lain.
Namun apapun perkara ini sudah berjaya diselesaikan. Tahniah kepada pegawai yang berjaya menyelesaikannya.
Buku-buku Kontrak Kerajaan
Alhamdulillah selepas beberapa bulan menunggu akhirnya keputusan kontrak pembekalan KEMAS sudah diwartakan. Daripada buku-buku yang dipilih, sebanyak 11 buku terbitan Kumpulan PTS terpilih. Senarai buku terpilih adalah seperti berikut :
- Koleksi Puisi Untuk Kanak-kanak, Penerbit PTS ONE SDN. BHD., Jumlah 6,000 naskhah
- Kerjaya Dlm Bidang Insurans, Penerbit PTS PRO PUBLISHING SDN. BHD., Jumlah 1,000 naskhah
- Mengurus Kanak-Kanak Yang Susah Belajar, Penerbit PTS PRO PUBLISHING SDN. BHD., Jumlah 5,000 naskhah
- Panduan Kognitif Kanak-Kanak Pra Sekolah, Penerbit PTS PRO PUBLISHING SDN. BHD., Jumlah 6,000 naskhah
- Panduan Kurikulum Prasekolah, Penerbit PTS PRO PUBLISHING SDN. BHD., Jumlah 6,000 naskhah
- Panduan Pemakanan Pra Sekolah, Penerbit PTS PRO PUBLISHING SDN. BHD., Jumlah 6,000 naskhah
- Panduan Pendidikan Pra Sekolah, Penerbit PTS PRO PUBLISHING SDN. BHD., Jumlah 6,000 naskhah
- Panduan Untuk Pengusaha Tadika, Penerbit PTS PRO PUBLISHING SDN. BHD., Jumlah 6,000 naskhah
- Pendidikan Khas Utk Kanak-kanak Istimewa, Penerbit PTS PRO PUBLISHING SDN. BHD., Jumlah 6,000 naskhah
- Pendidikan Sains Prasekolah, Penerbit PTS PRO PUBLISHING SDN. BHD., Jumlah 6,000 naskhah
- Permainan, Lagu & Puisi Kanak-Kanak, Penerbit PTS PRO PUBLISHING SDN. BHD., Jumlah 6,000 naskhah
Apabila dilihat kepada judul-judul terpilih, kita boleh analisa bahawa judul-judul ini tidak boleh bersaing di pasaran umum. Hendak dapat jualan 1,000 naskhah setahun di pasaran terbuka cukup susah. Namun inilah buku-buku yang dikategorikan sebagai ratu kontrak. Apabila musim kontrak sahaja, buku-buku sebeginilah yang terpilih sebagai antara calon berpotensi menduduki takhta kontrak kerajaan. Kelihatan seperti kecil tetapi sebenarnya besar.
Hendak tahu cirinya?
Staff Baru, Darah Baru, Idea Segar
Dalam tempoh kurang dua bulan, kurang lebih 6 orang staff baru editorial mendaftar diri. Inipun sebenarnya masih terdapat banyak kekosongan jawatan yang perlu diisi. InsyaAllah dalam minggu hadapan akan ada satu lagi sesi temuduga bakal dibuat bagi mengisi kekosongan jawatan ini.
Staff baru masuk dengan semangat baru dan idea baru. Masing-masing mempunyai cara berfikir dan aspirasi sendiri. Kita di Kumpulan PTS amat mengharapkan idea segar daripada mereka ini. Ada yang datang dengan reputasi dan kredibiliti baik daripada tempat kerja lama. Ada yang se’Segar Nailofar’ (Karya Zaid Akhtar yang sequelnya akan terbit di PTS Litera Utama) masuk ke PTS. Graduan baru keluar dari ‘kilang’ (IPT).
PTS sudah membesar dan harapannya terus membesar. Harapnya kemasukan baru ini menjadikan PTS lebih besar
Hasil tulisan :Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
md@fauzulnaim.com


