Jogjakarta yang Menakjubkan

Posted on 27. Jun, 2008 by Fauzul Na'im Ishak in Coretan

Hari ini adalah hari pertama saya berada sepenuhnya di pejabat selepas pulang ke Malaysia dari Jogjakarta. Kami tiba di Malaysia pada 25 Jun (Rabu). Cuma semalam adalah hari yang menyibukkan. Tidak sempat melepaskan lelah sudah ada banyak acara yang perlu dihadiri. Sesi appraisal penilaian prestasi untuk pengurusan acara penting di waktu pagi. Penilaian gerak kerja setahun dari April 2007 hingga April 2008 menjadi perkara pertama harus dihadapi semalam.

Petangnya saya perlu menghadiri acara pelancaran promosi Pesta Buku Selangor 2008. Saya sebagai pengerusi JK Publisiti & Promosi Pesta Buku Selangor 2008 diminta menyampaikan taklimat promosi kepada semua pempamer terlibat. Acara perasmian disempurnakan oleh Y.B Dr. Halimah, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Selangor. Memang mencabar betul minggu ini.

Uniknya Jogjakarta

Jogjakarta adalah sebuah kota tradisional di dalam sebuah ‘Daerah Istimewa’. Daerah Istimewa ini diberikan taraf oleh pihak kerajaan Indonesia di mana Jogjakarta adalah satu-satunya negeri yang ditadbir oleh sultan. Dalam Indonesia, keseluruhan negeri lain di perintah oleh gabenor kecuali Jogjakarta sahaja ditadbir sultan.

Bandaraya Jogjakarta ini cukup unik dan tradisional. Mungkin boleh dibayangkan kotanya seumpama kota Melaka yang mana nilai estetika bangunan dijaga. Ia adalah kota kedua pilihan pelancong di Indonesia selepas Bali. Pelbagai tempat lawatan boleh dijelajahi antaranya istana-istana raja (Kraton), Candi Brobodur (Candi terbesar di dunia dan dicalonkan sebagai 7 tempat ajaib dunia) dan gunung Merapi (Gunung berapi paling bahaya di dunia). Menarik dan memang menarik.

Bandarnya tidak se’macet’ Jakarta walaupun rakyatnya kurang lebih sebesar Malaysia (sekitar 16 ke 20 juta rakyat). Banyak motosikal berbanding kereta kerana ia adalah bandaraya pendidikan. Terdapat berpuluh mungkin beratus universiti di sini. Jadi ia tidak sesesak Jakarta. Cukup dahulu mengenai tempat-tempat lawatan di Jogjakarta. Saranan saya pergi, lihat dan alami.

Dunia Penerbitan Jogjakarta Yang Menakjubkan

Dunia penerbitan di Jogjakarta adalah satu perkara menarik untuk diceritakan. Berdasarkan maklumat daripada beberapa penerbit yang ditemui, industri penerbitan Jogjakarta adalah lebih besar daripada kota-kota lain. Jumlah penerbit di Jogjakarta adalah lebih besar berbanding kota lain. Dariyang paling besar hinggalah ke penerbit bawah tanah. Daribernilai komersil hinggalah yang idealis. Penjelajahan kami dalam meneroka dunia penerbitan Jogjakarta amat membuka minda dan rasa.

Teknologi penerbitan mereka juga amat menarik apabila hendak dibincangkan. Teknologi penerbitan menggunakan mesin penggelek, Ya mesin penggelek yang kita selalu jumpa di sekolah-sekolah untuk mencetak kertas soalan peperiksaan sekolah hingga yang paling canggih ada di sana. Kebanyakan penerbit sederhana menggunakan mesin penggelek tersebut untuk mencetak buku mereka. Tidak percaya bukan?

Kos tenaga kerja yang kecil memungkinkan perkara ini berlaku. Kadar pengangguran di Indonesia cukup tinggi dan pada pandangan saya keadaan ini yang menyebabkan pengusaha penerbitan memandang usaha memberi kerja adalah juga jihad sosial kepada mereka.

Bersambung…

Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
fauzulnaim@fauzulnaim.com
Blog Widget by LinkWithin

Tags: , , ,

Leave a Reply