Tip Re-Code 27 September 2011: Pilihan di Tangan Kita, Maka Pilihlah!

Dalam surah Ar-Ra’d ayat 11, Allah menyatakan bahawa:

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Ayat ini jelas memberikan ruang dan peluang manusia memilih apa yang ada pada dirinya. Apa sahaja tanpa mengira agama, pendirian, kerjaya, pasangan dan kekayaan. Dalam hal ini manusia sentiasa cuba mencari pelbagai alasan supaya mereka tidak disalahkan dalam pilihan mereka. Inilah sebabnya wujud perkataan ‘NASIB’.

Sudah nasib saya jadi miskin, sudah nasib saya tidak naik pangkat, sudah nasib saya mendapat pasangan yang tidak memahami diri saya, sudah nasib saya tidak cemerlang di tempat kerja, sudah nasib saya mendapat markah sedikit, sudah nasib saya dimarahi boss. Tuan Puan boleh terus menambah kesemua perkara nasib yang baik.

Namun kita fikir balik, mengapa kita tidak memilih untuk keluar daripada miskin? Mengapa kita tidak memilih untuk bekerja bersungguh-sungguh dan menunjukkan prestasi, meyakinkan boss tempat kerja kita untuk menaikkan pangkat kita? Mengapa kita tidak berusaha untuk menjadi cemerlang? Mengapa kita tidak belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat markah yang banyak? Mengapa kita tidak melakukan perkara mengikut peraturan dan ketetapan ditentukan boss? Adakah itu masih lagi nasib ataupun kita yang memilih untuk jadi begitu?

Setiap satu perkara yang berlaku pada diri kita pasti kita ada banyak pilihan? Maka PILIHLAH!

Bacalah dengan nama Tuhanmu!

Mereka ini memilih untuk ceria. Mengapa kita perlu sedih?

Tip Re-Code 26 September 2011: Jadilah Ghuraba’

Pada ketika Anda membaca artikel ini saya sedang mengendalikan Bengkel Re-Code! Transformasi Insan Super KPTM Siri 2 Kumpulan 2 di Kolej Poly-Tech MARA Kampus Cawangan Kuala Lumpur.

Ghuraba’ membawa maksud asing. Dalam Al-Quran ada menyebut bahawa Islam adalah ghuraba’ dan kembali ghuraba’.

Ramai orang dalam dunia ini yang cuba untuk menjadi popular dalam apa saja mereka lakukan. Popular dalam erti kata tindakan mereka perlu disenangi oleh ramai lain. Ya, memang betul kita perlu mengambil kira semua faktor dalam melakukan sebarang perlakuan, tindakan dan perancangan. Namun begitu dalam perkara tertentu yang berkaitan dengan prinsip hidup dan tata kerja, kita perlu meMILIH mengikut pendirian kita. Mungkin ia tidak disukai ramai, namun benar tetap benar  dan salah tetap salah.

Tun Dr. Mahathir satu masa dahulu pernah mengatakan bahawa beliau ingin menjadi seorang ghuraba’ (beliau tidak mengatakan ghuraba’ tetapi b**t***d, namun pengertiannya sama). Pada pandangan beliau orang yang asing dan kurang popular inilah yang membangun dan mengubah masyarakat.

Antara yang boleh dijadikan contoh utama adalah Hitler. Beliau adalah bapa Nazi dunia yang mana tidak disukai ramai. Seorang diktator dan pembunuh ramai orang. Namun tindakan beliau berjaya mengubah negara Jerman menempuh revolusi industri hingga menjadi antara negara termaju di dunia sekarang. Saddam Hussin, seorang yang amat tidak disukai oleh Amerika dan rakyatnya, namun pada ketika pemerintahannya tidak pernah kacau bilau sepertimana sekarang. Rakyat bersatu di bawah pemerintahan kuku besinya. Ini mungkin contoh ekstrem.

Gambar hiasan: Peserta Re-Code! KPTM KL Siri 2 Kumpulan 1 yang amat bertenaga :)

Nabi Muhammad, seorang Rasul pilihan yang pernah dikatakan gila oleh kaumnya. Namun disebabkan beliau memilih untuk istiqamah dalam perjuangannya hingga sekarang Islam sudah tersebar ke seluruh dunia. Ini antara contoh-contoh yang memberikan gambaran jika kita ada prinsip yang kita pegang dan kita yakin dengan prinsip tersebut, walaupun orang lain tidak bersetuju teruslah menjadi ghuraba’.

Namun begitu prinsip yang kita pilih perlu berada dalam lingkungan syara’ yang dibenarkan oleh Allah. Selagi mana ia memenuhi tuntutan agama teruskan.

Pilihan di tangan kita. Re-Code! Jadi Insan Super BACALAH DENGAN NAMA TUHANMU.

Semporna yang ‘Sempurna’

Program Re-Code membawa saya menjelajahi dunia baru yang belum pernah saya jelajahi sebelum ini. Daerah pelancongan Sabah, daerah Semporna. Semporna terletak di ‘bibir’ Sabah. Pintu masuk kepada para penyelam skuba untuk ke Pulau Sipadan. Melihat air lautnya, mengingatkan saya kepada air laut Pulau Tioman. Biru, bersih dan kita dapat melihat hingga ke dasarnya. Ikan-ikan bermain-main di sekeliling terumbu. Hebat ciptaan Allah ini.

Para pegawai KPTM Semporna yang mengiringi saya

Daerah Semporna ini menjadi lebih hebat apabila berlangsungnya satu acara tahunan yang ditunggu ramai iaitu Regatta Lepa. Ia diadakan pada setiap bulan April setiap tahun. Saya diiring para pegawai Kolej Poly-Tech MARA Kampus Cawangan Semporna. Turut bersama adalah Tuan Jaspy, Timbalan Pengarah KPTM Semporna. Mereka membawa saya dan saudara Mustaffa, pengurus Divisyen Latihan FINE Academy yang mengiringi saya ke sana melawat sekitar Semporna.

Pemandangan sekitar Semporna Holiday Resort

Kami menjejak kaki ke Semporna Holiday Resort. Sebuah resort atas laut yang pernah dijadikan lokasi penggambaran filem Duyung terbitan KRU satu masa dahulu. Di sana saya menikmati jamuan makan malam yang amat menyelerakan. Hidangan lobster, tomyam, sayuran dan masakan ikan masak merah.

Hidangan lobster yang amat menyelerakan

Hidangan lobster yang amat menyelerakan

Kami juga dibawa melawat Dragon Inn yang menempatkan ikan Kerapu spesis Kratang. Ikan ini bersaiz sebesar manusia dan sering ditemui di sekitar Sipadan. Pernah dikhabarkan menjadi punca kehilangan manusia sekitar pulau indah itu. Ikan Kratang dikatakan sebagai spesis yang makan manusia. Melihatkan saiznya, saya dapat membayangkan bagaimana manusia ditelan.

Saya bersama Tuan Jaspy membelakangi lokasi filem Duyung

Kami dibawa melawat kedai yang menjual aksesori mutiara. Semporna adalah sumber utama mutiara Sabah. Pelbagai jenis aksesori ada di sana. Saya juga turut membeli belah untuk diberikan kepada isteri dan sahabat handai.

Memang Semporna adalah daerah yang ‘sempurna’ keindahan alam ciptaan Allah. Saya amat mencadangkan pencinta-pencinta alam dan jurukamera-jurukamera untuk menikmati dan merakam keindahan Semporna nan indah ini.

Bonda dan Ayahanda Sumber Kekuatan Anakanda

Hampir 100 hari bonda saya meninggalkan kami sekeluarga. Beliau meninggal dunia pada 19 Jun 2011, 5 hari sebelum hari lahir saya yang ke 34. Tarikh yang amat saya ingati, ingat selama-lamanya. Jam 9.00 pagi, di hadapan saya, ayahanda, adinda dan isteri, beliau menghembuskan nafas terakhir. Selepas kurang lebih 45 hari berada di hospital.

Bonda adalah seorang individu yang amat tabah dan menyokong perjuangan anak-anaknya. Saya ingat pada ketika saya membuat keputusan untuk menyertai PTS, beliau menangis. Walaupun pada mulanya keputusan ini  menyedihkan beliau. Namun disebabkan ia adalah keputusan saya maka beliau akan tetap menyokong. Masih teringat bagaimana beliau sanggup menemani saya membuat perolehan daripada Universiti Utara Malaysia, Sintok hingga ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Berada di sebelah saya, mengisi masa dengan membaca buku, Al-Quran dan buku Bardahnya.

Beliau selalu bertanya sama ada wang saku saya cukup ataupun tidak. Beliau tahu pada ketika itu saya amat memerlukannya disebabkan elaun diperoleh amat kecil. Ini yang saya selalu sebut kepada ramai rakan saya, jika ada orang luar yang paling berjasa kepada PTS adalah bonda saya. Tanpa berada di PTS, beliau menjadi tulang belakang saya, turut membantu mempromosikan PTS kepada sesiapa sahaja ditemuinya.

Ini hanya secebis daripada jasa-jasa beliau kepada diri saya. Dalam keadaan beliau sakit, beliau masih lagi bertanya tentang bisnes saya. Baik ataupun tidak, apa projek yang saya peroleh dan menasihati saya agar sentiasa ingat Allah. Dalam kesakitan beliau, masih lagi teringat anak-anak murid yang mengaji Al-Quran di rumah. Mahu memastikan anak-anak muridnya khatam Al-Quran.

Ya Allah aku rindu padanya. Berikanlah tempat terbaik yang dikau ada untuk bondaku. Beliau banyak jasanya kepada diriku dan orang lain. Amiin Ya rabbal aalamiin.

Gambar terakhir kenangan beliau bersama ayahanda sebelum dimasukkan ke hospital

Re-Code! Program Membangunkan Ummah Sudah Bermula

Satu masa dahulu pernah seorang sahabat bertanya kepada saya,

“Bila engkau mahu mulakan program motivasi?”

Saya menjawab

“Aku masih belum bersedia”

Pada ketika itu saya memikirkan banyak perkara apabila ingin memulakan program berbentuk motivasi. Saya sudah banyak bengkel-bengkel berkaitan penulisan buku. Sehingga sekarang sudah lebih daripada 200 bengkel seluruh Malaysia, Brunei dan Indonesia pernah saya kendalikan. Namun itu lebih berbentuk bengkel kemahiran.

Bengkel kemahiran lebih mengambil kira pengalaman, ilmu dan amalan harian. Saya sudah berfungsi sebagai sebagai penerbit buku sejak 10 tahun lepas. Dalam masa sepuluh tahun di PTS saya sudah lalui pelbagai pengalaman, liku, susah, resah dan gembira sebagai seorang penerbit buku. Daripada PTS tidak dikenali hingga sekarang diakui sebagai antara penerbit buku yang terbaik di Malaysia.

Namun apabila diminta mengendalikan bengkel berbentuk motivasi saya amat berhati-hati. Pada ketika itu saya merasakan masih belum cukup lagi kisah-kisah kejayaan saya yang melayakkan saya menjadi motivator kepada orang lain.

Namun begitu sesuatu sudah mengubah fikiran saya. Satu saat apabila saya menyertai program anjuran TAMRIN di Universiti Islam Antarabangsa. Program kendalian Tuan Mohd Rizal Hassan mengubah cara berfikir saya. Dahulunya saya merasakan masih belum bersedia, sudah bertukar.

Jika saya mahu menunggu benar-benar berjaya, bila? Definisi kejayaan adalah amat luas. Ada orang merasakan masuk ke universiti itu sudah dikira berjaya. Ada yang mengatakan dapat berkahwin dan mendapat anak itu suatu kejayaan. Jadi jika ingin memberikan definisi kejayaan amat luas. Mungkin kegagalan pada pandangan kita adalah kejayaan pada pandangan orang lain.

Selepas itu saya mula mengorak langkah membangunkan modul pembangunan potensi diri versi saya. Saya mula berguru dengan pelbagai orang. Jika ada sahaja kursus pembangunan modul dan trainer pasti saya akan menjelmakan diri. Saya juga berguru dengan mengikuti para trainer hebat mengendalikan program. Alhamdulillah Tuan Mohd Rizal Hassan adalah antara yang banyak membentuk minda trainer saya. Modul-modul program kendalian saya sedikit sebanyak terpengaruh dengan pendekatan beliau. Program bergerak laju dengan pelbagai aktiviti tetapi membawa makna mendalam.

Program RE-CODE! Jadi Insan Super adalah gabungan beberapa unsur iaitu NLP, DISC dan pelbagai lagi. Kesemua ini digabungkan untuk memberikan impak terbaik kepada para pesertanya. Program pertama RE-CODE diadakan untuk membangunkan diri Pembantu Rakan Siswa (PERSIS) Universiti Teknologi Malaysia yang diadakan di Johor. Alhamdulillah maklum balas amat baik.

Kali ini sekali lagi saya diberikan ruang untuk memperkasa 1180 orang kakitangan Kolej Poly-Tech MARA seluruh Malaysia. Bengkel Siri 1 di Kolej Poly-Tech MARA Kampus Cawangan Semporna, Sabah sudah dijalankan.

Testimonial

Testimonial para peserta Re-Code! KPTM Semporna

Sekarang Bengkel Siri 2 berlangsung di KPTM Kampus Cawangan Kuala Lumpur. Semoga Allah memberkahi usaha ini.