Tip Re-Code 21 Oktober 2011: Menjadi ‘Ghuraba’ Gaya Steve Jobs

Alhamdulillah hari ini hari ketiga selepas pulang dari Frankfurt. Selepas berehat mencergaskan badan dan minda, sesudah menempuh 12 jam perjalanan dengan kapal terbang dan transit 4 jam di Dubai. Ditambah dengan jetlag menembusi sempadan masa antara negara, hari ini baru berpeluang untuk duduk mengemaskini laman web ini.

2 hari lepas, kami tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, Sepang jam 10.50 malam, terlambat 1 jam daripada masa sebenar. Ia disebabkan masalah teknikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Abu Dhabi. Tiba di ‘rumah hinggap’ di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur jam 1.00 pagi. Anak-anak yang tertidur di dalam kereta dibangunkan dan dengan lali mata berjalan ke atas serta tidur semula atas tilam yang dihampar. Mata saya pun terasa mengantuk tetapi tidak boleh tidur. Ini kesan daripada perjalanan malam dan siang atas kapal terbang. Namun selepas dipaksa, tidur jua ia.

Bangun sahaja pagi, mendapat satu ilham. Ilham untuk memenuhi impian sekian lama. Impian yang sudah disimpan sejak beberapa tahun lepas iaitu untuk memiliki sebuah Mac Book Pro. Mac Book Pro adalah komputer riba keluaran Apple yang diiktiraf sebagai yang terbaik di dunia. Harganya boleh tahan dan untuk membelinya perlu berpekin menyimpan wang. Alhamdulillah rezeki Allah dan atas rasa LAYAK, petang itu juga saya ke kedai penjual produk Apple yang diiktiraf di Wangsa Walk. Pada mulanya idea asal mahu membeli Mac Book Pro 13″ sahaja, namun selepas mengambil kira faktor jangka panjang terus ‘menangkap’ yang bersaiz 15″ dengan spesifikasi tertinggi.

Menyentuh papan kekuncinya sahaja sudah menyebabkan penggunanya merasakan kehebatan Mac Book Pro. Perasaan yang hanya boleh dirasa oleh mereka yang menghadapinya. (Ayat untuk membakar :) ). Ini adalah antara produk yang amat dibanggakan oleh mendiang Steve Jobs. Seorang individu yang amat menginspirasikan saya hingga ke hari ini.

Wajah Mac Book Pro 15" High End yang di'tangkap' di Wangsa Walk, Wangsa Maju, KL

6 Oktober 2011, seluruh dunia dikejutkan dengan berita kematian pengasas Apple, Steve Jobs. Seorang ikon dunia teknologi maklumat dan grafik dunia. Kehilangan besar untuk dunia.

Umum sudah maklum beliau menderita penyakit kanser pankreas sejak sekian lama dan sudah beberapa kali menjalani pembedahan termasuk pemindahan hati. Beliau pun sudah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Apple pada Ogos lalu atas alasan tidak mampu menjalankan fungsi sepenuhnya sebagai seorang CEO. Namun begitu dimaklumkan oleh Mayasoshi Son, Ketua Pegawai Eksekutif Softbank, salah satu rakan kongsi ‘rahsia’ Apple bahawa Steve Jobs masih berada di dalam pejabat sehari sebelum beliau meninggal dunia. Beliau berbincang dengan Tim Cook, Ketua Pegawai Eksekutif Apple yang dilantik menggantinya mengenai produk Iphone 5.

Si Inovator Dunia

Beliau adalah seorang inovator, idealis dan reformis yang amat memberikan kesan kepada ramai manusia seluruh dunia. Inovasi dalam bidang perkomputeran dan grafik dengan mengubah cara berfikir dunia penerbitan dan percetakan dunia. Hasil pendidikan daripada kelas kaligrafi yang beliau pernah hadiri semasa di universiti menghasilkan inovasi kepada dunia layout grafik. Grafik minimalist yang sekarang mewarnai dunia penerbitan dan percetakan seluruh dunia. Font Serif dan Sans Serif adalah antara hasil daripada itu.

Dalam bidang bisnes beliau memperkenalkan slogan ‘Think Different’ yang menggambarkan gagasan idea beliau. Beliau sentiasa berjaya melangkah selangkah ke hadapan berbanding para kompetitor beliau. Produk-produk ciptaan Apple daripada komputer Macintosh versi pertama hinggalah ke Iphone 4S dengan inovasi perisian Sirinya tidak pernah terjangka oleh minda para pencipta gajet sebelumnya.

Saya masih ingat pada zaman masih bersekolah menengah, saya amat kagum melihat komputer Macintosh yang ada di makmal penerbitan majalah sekolah, Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan. Salah seorang sahabat seusia saya adalah orang penting kepada pasukan redaksi majalah pada ketika itu. Beliau menunjukkan fungsi-fungsi hebat komputer itu dan kesannya sehingga sekarang. Saya sudah menjadi pencinta produk Apple. Sebutlah apa produk Apple yang saya tidak saya miliki, Iphone, Ipad dan terbaru Mac Book Pro 15″ yang saya guna untuk menaip blog ini hari ini.

Dalam kehidupan seharian, falsafah “Connecting the Dot” yang beliau pernah nyatakan dalam satu rapat umum di Kolej Stanford menjadi inspirasi saya sehingga hari ini. Beliau mengatakan bahawa apa yang berlaku pada dirinya sekarang adalah terhasil daripada peristiwa-peristiwa lalu. Ia seumpama titik-titik yang tersambung dan menjadi penyebab kepada kejayaannya sekarang. Kita hanya menyedarinya sekarang apabila kita mengkaji.

Ini yang saya selalu bawa dalam program Re-Code!, hidup adalah satu PILIHAN. Apa sahaja yang kita pilih sekarang adalah penentu kepada apa yang akan jadi pada diri kita di masa hadapan. Kita penentu kejayaan kita. Allah sudah menyebut bahawa Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum kecuali mereka mengubahnya sendiri.

Semoga inovasi Steve Jobs menjadi inspirasi kepada lebih ramai manusia dalam dunia ini. Beliau adalah ‘ghuraba’ yang patut dijadikan contoh untuk kita. Bacalah dengan nama Tuhanmu.

Travelog Frankfurt 11 Oktober 2011: Bersyukur dengan Bersarapan

Isu makanan adalah isu terbesar orang Islam apabila di negara orang. Bagi orang yang pertama kali ke Frankfurt ini agak bimbang untuk mencari kawasan halal di sini. Ramai merasakan tentu sukar dan apa yang berlaku kebanyakannya membawa makanan segera dari Malaysia.

Saya bercerita kerana saya pun begitu tahun lepas semasa pertama kali menjejakkan kaki ke Frankfurt. Ahli rombongan kami pada ketika itu masing-masing membawa penuh beg dengan makanan segera. Ada maggi, rendang segera, coklat dan banyak lagi. :) . Saya membeli maggi dalam cawan dan bawa banyak dalam beg. Anak-anak saya yang memang kaki makan maggi bertanya-tanya bolehkah mahu ambil satu seorang.

Apabila berada di Frankfurt apa yang difikirkan tidak seperti disangka. Di sini mudah untuk memperoleh makanan halal. Di hotel tempat kami menginap menyediakan sarapan pagi halal. Alhamdulillah. Makan tengah hari selalunya kami makan di Pavilion Malaysia. Ada makanan segera ataupun jika waktu sesuai ada yang menyediakan makanan Malaysia.

Pagi ini baru sahaja menikmati makan halal di ruang makan hotel. Makan banyak sedikit kerana takut tidak sempat makan tengah hari kerana jadual padat petang ini. Mungkin malam baru dapat bertemu makanan.

Makanan untuk sarapan pagi disediakan di Hotel Lowen

Sudah bersiap untuk keluar. :)

Bacalah dengan nama Tuhanmu.

Travelog Frankfurt 10 Oktober 2011: Nilai Estetika yang Terjaga

Frankfurt sebuah kota yang indah pada pandangan mata saya. Indah daripada dua segi, pertama mereka menjaga nilai-nilai estetika lampau hingga ke hari ini. Bangunan-bangunan lama di sekitar bandar masih lagi terjaga dan boleh dinikmati generasi sekarang. Kedua, kecintaan mereka kepada bahasa mereka. Kesemua bahan bacaan tidak kira buku, majalah, makalah dan apa saja dalam bahasa.

pemandangan Romer, Fankfurt

Pernah sekali saya perlukan bantuan untuk mendapatkan panduan menaiki keretapi bawah tanah (seperti LRT di Malaysia). Saya bertanya kepada beberapa orang di sekitar stesen, perkara sama berlaku. Saya bertanya mengenainya dalam bahasa Inggeris, mereka menjawabnya dalam bahasa Jerman. Mereka faham dan tahu berbahasa Inggeris, tetapi tetap mahu bercakap dalam bahasa Jerman.

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt pada jam 1.02 minit petang. Lebih awal daripada masa jangkaan. Selepas penerbangan yang meletihkan. Lebih kurang 18 jam selepas dicampur masa transit di Dubai. Alhamdulillah penerbangan Emirates menyediakan alat hiburan terbaik dan makanan yang menyelerakan. Ini mengurangkan kesan emosi :)

Sepertimana tahun lepas, kami menginap di Hotel Antarabangsa Lowen di pinggir bandar Frankfurt. Kawasannya di daerah bernama Offenbach. Kawasan ini tenang dan agak jauh daripada kesibukan bandar. Ada beberapa kedai makan Islam Turki. Makanan yang menyelerakan, terutamanya kebab dan pizza.

Kami diambil oleh pemandu van yang sudah disediakan oleh agen pelancongan CIT Travel untuk ke Hotel Lowen. Kami berlima, saya dan Arief dari PTS, Saudara Raja Shahfaizal (Kumpulan Karangkraf) dan dua orang dari Digital Universal Library (nama mereka saya lupa).

Apa yang menarik mengenai Hotel Lowen adalah pengurusnya seorang Muslim. Keistimewaannya mereka menyediakan makan pagi halal khas untuk orang Islam.

Selepas solat Zohor kami keluar berlima melawat kota Frankfurt. Menemani 2 rakan dari Digital Universal Library yang belum pernah ke sini. Singgah ke Stesen Keretapi Utama Frankfurt untuk menempah kereta. Kami merancang untuk menjelajah beberapa kota di Eropah dengan memandu sendiri selepas habis Pesta Buku Frankfurt. Alhamdulillah kami memperoleh satu van 7 penumpang dengan harga 880 Euro.

Salah satu bangunan di kawasan Romer

Menjelajah beberapa tempat menarik, antaranya Romer. Romer adalah salah satu tarikan utama di Kota Frankfurt. Ia dikelilingi bangunan-bangunan lama yang masih terjaga nilai estetikanya. Kelihatan ramai pelancong di sekitarnya. Ada satu kumpulan pelancong Korea yang kelihatannya seperti baru pertama kali tiba di sini. Di sini juga terdapat beberapa kedai cenderamata untuk para pelawat. Saya sempat membeli sehelai baju T dengan harga 6 Euro. Jualan murah menghabiskan stok.

Kami singgah juga ke kedai telefon untuk membeli kad pra bayar telefon. Lebih murah untuk berkomunikasi dengan talian telefon Jerman berbanding rangkaian perayauan (roaming). Harga kad pra bayar di sini yang paling minima adalah 50 Euro. Saya mencari talian dengan akses Blackberry Internet Service (BIS) namun sudah habis. InsyaAllah stoknya ada beberapa hari lagi.

Kemudian kami ke kedai menjual peralatan elektronik di Konstabelwache untuk membeli adapter khas Eropah. Plag di siji berbeza dengan plag Malaysia. Kita memerlukan adapter bagi menyambung peralatan elektronik ke plag di Hotel.

Kamai tiba di hotel sekitar jam 8 malam selepas menikmati Kufta Kebab di Doneria Pizza, sebuah restoran Muslim Turki yang jaraknya 800 meter dari Hotel Lowen. Restoran ini menyediakan pilihan makanan Turki yang menarik. Ada Pizza, Kebab, nasi Turki dan banyak lagi. Kebabnya besar dan apabila makan kenyang sampai pagi :) . Keletihan seharian menyebabkan saya terlena nyenyak selepas mandi dan solat Isyak yang dijamak dengan solat Maghrib.

Bacalah dengan nama Tuhanmu…

Travelog Frankfurt 10 Oktober 2011: Yang Kecil-Kecil Mampu Jadi Besar

Sekarang saya berada di Dubai International Airport menunggu penerbangan ke Frankfurt jam 8.25 pagi waktu sini. Kami berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang jam 2 pagi dan penerbangan ke sini kurang lebih 6 jam.

Perbezaan waktu di antara Malaysia dan Dubai adalah 4 jam. Jadi pada ketika saya menulis ini jam 5.48 pagi waktu Dubai dan jam 9.48 pagi waktu Malaysia. Ini adalah kali kedua saya menjejakkan kaki ke sini. Tahun lepas untuk acara yang sama kami transit di sini.

Di Dubai International Airport

Tadi saya berada dalam bas transit untuk membawa kami dari kapal terbang ke ruang utama lapangan terbang. Saya baru sedar saya memakai baju panas yang saya beli di Reject Shop satu masa dahulu. Saya beli baju ini semasa saya masih lagi mahasiswa di Universiti Malaya. Tak sangka baju ‘murah’ ini sudah beberapa kali menjelajah bersama saya ke luar negara. Dahulu saya pernah memakai baju sama untuk ke Korea, sekarang di Dubai dan benua Eropah pula. Banyak manafaat baju ini kepada diri saya selama ini.

Dalam kehidupan juga begitu. Ada banyak perkara yang kecil-kecil dan disangka impak pada hidup kita minima akhirnya menjadi maksima. Ia umpama kulit roti yang selalu dibuang oleh anak-anak apabila memakannya. Dianggap tidak sedap dan kurang diminati oleh mereka. Akhirnya diletakkan sebelah dan dibuang ke tong sampah akhirnya. Namun apabila kita berada dalam keadaan darurat dan kelaparan, kulit roti ini dapat dijadikan makanan sampingan untuk mengisi perut. Kesannya besar untuk penerusan hidup.

Ini juga anggapan kita kepada dosa-dosa kecil yang dianggap tidak mengapa dilakukan. Ia pada pandangan kita sebagai perkara yang boleh dimaafkan. Namun jika setiap hari kita kumpulkan dosa-dosa kecil ini, daripada hari ke hari. Akhirnya menjadi amalan dan budaya, terus menjadi besar kepada kita.

Seperti yang dinyatakan oleh buku Pemikiran Sistemik tulisan saudara Fazrul Ismail. Dosa kecil ink diberikan satu analogi seperti seekor katak yang dimasukkan ke dalam sebuah kuali. Apabila kuali itu panas menggelegak dan dimasukkan katak hidup, terus katak itu melompat keluar kerana mahu lari daripada air panas. Namun apabila pada mulanya katak itu dimasukkan ke dalam kuali yang berisi air sejuk, ia merasakan bahawa itu adalah satu kebiasaan. Dipanaskan sedikit demi sedikit, ia merasa itu juga kebiasaan. Namun apabila air menjadi semakin panas dan menggelegak, langsung tidak boleh selamatkan diri serta terus mati. Begitu jugalah kita.

Apabila melihat daripada perspektif peluang pula, banyak peluang kecil-kecil mampu jadi besar. Saya memulakan program latihan penulisan sekitar tahin 2003. Pada ketika itu saya menjalankan bengkel penulisan untuk tujuan perolehan manuskrip di PTS. Ia dijalankan secara percuma di fakulti-fakulti di universiti-universiti seluruh Malaysia. Pada ketika itu tidak pernah terfikir untuk menganjurkannya secara komersil.

Sangkaan pada ketika itu, penulisan hanyalah perkara ‘kecil’ yang tidak dipandang orang. Siapalah mahu hadiri bengkel-bengkel penulisan sebegini.

Saya memperkenalkan program berbayar pertama sekitar tahun 2009. Saya masih ingat pada ketika itu saya terpanggil untuk mengadakannya secara umum apabila melihat beberapa individu yang bukanlah pakar industri menjalankannya dengan yuran tinggi. Saya cuba menyiasat pengisian yang diberikan dan berdasarkan pengamatan, saya boleh berikan lebih daripada itu.

Saya membuat keputusan untuk mengadakan program pertama di Hotel Vistana, program Seminar Jana Wang Dengan Menulis dengan yuran RM540. Arwah bonda saya juga skeptik dengan program ini. Kata beliau,

Ada ka orang nak mai hang punya program penulisan macam ni? Mama takut hang kecewa.

Saya tersenyum dan tetap teruskan. Promosi diadakan melalui ruang non tradisional. Perkara mengejutkan berlaku. Seramai 54 orang mendaftar diri dan 90 peratus mengesahkan kehadiran serta membuat pembayaran. Saya adakan pula kali kedua dan sambutannya tetap begitu. Sekarang sudah menjadi sejarah, Akademi Penulis, syarikat yang diwujudkan untuk mengendalikan bengkel-bengkel penulisan membesar menjadi syarikat perunding latihan dan pembangunan penulisan pilihan utama organisasi kerajaan sekarang.

Perkara kecil-kecil dan kemudian menjadi besar boleh dilihat daripada dua sudut, positif dan negatif. Terserah kepada kita, bagaimana kita mem’baca’nya. Bacalah dengan nama Tuhanmu.

Travelog Frankfurt 9 Oktober 2011: Penerbangan Malam Ini

Frankfurt Book Fair adalah pesta buku terbesar di dunia. Setiap tahun ratusan ribu penerbit seluruh dunia berkumpul di sana untuk membuat dagangan hak cipta ke seluruh dunia. Satu masa dahulu, pada zaman awal-awal PTS bertapak di Malaysia. Tidak pernah terfikir bahawa satu masa nanti saya akan menjejakkan ke acara terhebat dunia buku ini. Cita-cita tetap tersemat pada ketika itu bahawa satu hari nanti akan menyertainya. Alhamdulillah, Allah memberikan peluang itu tahun lepas.

Tahun ini adalah kali kedua saya ke sana. Tahun ini bersama dengan ahli rombongan baru. Saya bersama Tuan Arief Hakim Sani Rahmat, tetap mengetuai rombongan. Ahli rombongan baru tahun ini adalah Tuan Ikram Wazir (Timbalan Pengurus Besar Penerbitan PTS), Tuan Nazrul Samsuddin (Pengurus Jualan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd), Puan Nor Hazizam Abdul Rahman (Pengurus Pemasaran Antarabangsa PTS) dan Cik Puan Fatin Farhana Hassan (Pengurus PTS Professional Publishing Sdn Bhd).  Pergi dengan misi baru, melesen karya dan menjual hak cipta buku PTS di peringkat antarabangsa.

'Teman' yang mengiringi saya malam ini

Malam ini saya bersama Tuan Arief Hakim Sani Rahmat terbang ke sana terlebih dahulu. Penerbangan malam ini jam 2 pagi dengan penerbangan Emirates Airlines. Ahli rombongan lain akan ke sana lewat satu hari. Penerbangan selama kurang lebih 6 jam ke Abu Dhabi. Kami akan transit di Abu Dhabi International Airport selama 3 jam 50 minit sebelum berlepas pula ke Frankfurt International Airport. Tambahan 6 jam lagi.

Lusa, saya bersama Arief akan menghadiri Rights Director Meeting yang menemukan semua pengarah hak cipta seluruh dunia. InsyaAllah saya akan mengemaskini laman ini daripada semasa ke semasa. Doakan saya selamat pergi dan kembali.

Tip Re-Code 6 Oktober 2011: Ubah Cara Pandang Untuk Berjaya

Dua orang pemahat batu marmar melangkah ke tempat kerja. Kedua-duanya membawa alat yang sama iaitu pahat dan tukul. Sampai sahaja ke tempat kerja mereka memilih batu marmar yang akan digunakan untuk menjalanlkan gerak kerja harian mereka.

Apabila ditanya kepada salah seorang pemahat berkenaan apa yang dia lakukan, beliau menjawab,

Saya sedang memahat batu.

Ditanya pula kepada pemahat yang satu lagi, beliau tersenyum dan berkata,

Saya sedang membina sebuah mimbar yang cantik. Mimbar ini akan menghiasi masjid dan digunakan untuk menyampaikan mesej kepada seluruh umat yang datang mendengar khutbah dan ceramah di atasnya.

Apakah perbezaan di antara pemahat-pemahat ini?

Perbezaannya adalah CARA PANDANG. Pemahat pertama hanya melihat apa yang dilakukan setiap harikerja rutin. Masuk kerja pagi, memahat batu, menyiapkan reka bentuk dan berhenti pada ketika tertentu untuk makan, solat dan penyegaran diri. Apabila selesai waktu kerja pulang. Begitulah hari-hari seterusnya. Hujung bulan memperoleh gaji. Dalam istilah lain di berfikir apa yang dilakukan adalah MAKAN GAJI.

Berbeza dengan pemahat kedua, apa yang dilakukan harian adalah suatu perjuangan. Perjuangan membina kehidupan. Apa yang dilakukan adalah lebih daripada sekadar sebuah pekerjaan. Beliau melihat kepada apa yang bakal dihasilkan dan manafaat kepada orang lain. Beliau bukan hanya merasakan kerja itu sekadar rutin harian. Gerak kerjanya setiap hari sebagai pemahat adalah untuk tujuan yang lebih besar daripada itu. Beliau memandang apa yang dilakukan itu sebagai CARI MAKAN.

Apakah yang berlaku jika kita sekadar memandang kerja kita sebagai sekadar MAKAN GAJI? Individu sebegini tentu berfikiran keluar masuk kerja setiap hari hanyalah rutin. Buat kerja sekadar cukup makan, kurang efektif dan efisien.Hubungan dengan rakan sekerja, majikan dan sesiapa sahaja hanya sekadar pertemuan biasa. Perancangan untuk kerja dibuat ala kadar dan pelaksanaannya tambahlah lagi tidak sebagaimana sepatutnya. Semuanya hanya untuk mendapatkan gaji hujung bulan.

Berbeza dengan mereka yang CARI MAKAN. Jika tidak bekerja bersungguh-sungguh mereka tidak mendapat hasil yang diingini. Setiap gerak kerja dilakukan ada tujuan dan perjuangannya. Semuanya untuk membina masa depan yang lebih cemerlang dan gemilang. Mereka menimba sebanyak mungkin pengalaman dan kemahiran sepanjang tempoh bekerjanya. Membina jaringan hubungan yang baik dengan para sahabat, para pelanggan dan sesiapa sahaja yang ditemui mereka. Kesemua ini adalah aset utama dalam membina impian dan cita-cita untuk merealisasikan perjuangan.

Hasil kerja dengan cara pandang positif adalah lebih baik berbanding dengan cara pandang negatif

Setiap orang berjaya mempunyai cara pandang yang menjadikannya LAYAK untuk berjaya. Re-Code cara pandang kita hari ini. InsyaAllah kita memulakan langkah baik ke arah kejayaan yang kita impikan. Bacalah dengan nama Tuhanmu.

Tip Re-Code 4 Oktober 2011: LAYAK Berjaya dengan Menukar Cara Berkomunikasi

Apakah yang Tuan Puan fikirkan apabila saya mengatakan:

Jangan fikirkan seekor gajah yang putih, mempunyai belalai panjang, telinga besar melambai-lambai dan kakinya memakai kasut berwarna merah.

Tentu pandangan mengenai gajah memakai kasut berwarna merah ini jelas terpapar dalam minda Tuan Puan. Begitu jugalah apabila kita menggunakan perkataan tidak, jangan dan tidak usah. Semua ini menjadikan perkataan yang kita nyatakan menjadi lebih jelas.

Sebagai contoh, seorang jurujual yang ingin menjual suatu produk kepada sasaran pelanggannya. Selepas beberapa lama menerangkan mengenai kelebihan produk yang dijual, spesifikasinya, kelebihannya dan apa produk itu boleh memberikan nilai tambah kepada prospeknya itu. Kelihatan pelanggan yang didekati ini sudah yakin dengan pembentanga itu. Si jurujual membuat ayat kesimpulan,

Saya tidak mahu pihak Tuan memikirkan bahawa produk kami ini mahal. Melihat kepada segala kelebihan yang diberi oleh produk ini pasti Tuan bersetuju jika saya katakan ia suatu produk yang berbaloi dibeli.

Selepas itu pelanggan mengatakan beliau hendak berfikir dahulu dan terus tidak beli produk itu. Apakah yang menyebabkan jurujual itu tidak berjaya menutup jualan dengan jayanya sedangkan pembentangannya sudah meyakinkan pelanggannya?

Ayat kesimpulan dibuat oleh jurujual iaitu Saya tidak mahu pihak Tuan memikirkan bahawa produk kami ini mahal. yang menyebabkan jadi begitu. Apabila beliau mengatakan saya TIDAK MAHU MEMIKIRKAN ditambah dengan PRODUK MAHAL. Langsung si pelanggan mengatakan bahawa produk ini mahal. Perkataan TIDAK dan MAHAL menjadikan pelanggan itu terus jelas dalam fikirannya bahawa memang produk ini mahal.

Ini yang perlu diubah oleh kita orang yang ingin berjaya. Kita perlu ubah perkataan-perkataan kita daripada selalu menggunakan konotasi negatif kepada positif. Orang-orang berjaya selalunya menggunakan ayat dan perkataan positif dalam urusan hariannya.

Senyum adalah kaedah komunikasi yang amat positif. Senyumlah untuk menyinari kebahagiaan kepada insan lain

Bacalah dengan nama Tuhanmu!

Tip Re-Code 3 Oktober 2011: LAYAK Berjaya dengan Menukar Cara Berfikir

Satu masa dahulu saya ini pernah mengalami inferiority complex. Di kelilingi oleh rakan-rakan yang sudah berjaya dalam bidang  pembangunan diri. Ada yang rakan yang sudah berpuluh tahun seperti Dr. Tengku Asmadi, Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah. Ada yang baru namun sudah terkenal dan menjadi muka televisyen seperti Samsudin Kadir, Ahmad Fadzli Yusof dan Osman Affan. Ada yang sudah menjadi pilihan korporat seperti Mohd Rizal Hassan. Kesemua mereka ini menjadikan saya terlampau kecil dalam dunia motivasi.

Namun ia berubah apabila saya juga mengubah cara saya berfikir. Saya mengatakan pada diri saya, saya ada apa yang mereka tidak ada. Keunikan pada diri saya, gaya saya, kejayaan saya dan kelebihan saya tidak ada pada orang lain. Maka saya perlu BERUBAH! Memilih untuk BERUBAH.

Saya langsung bertekad untuk membangunkan modul latihan pembangunan potensi diri saya sendiri. Sebelum ini saya dikenali sebagai jurulatih bidang penulisan. Ini atas kredibiliti saya sebagai seorang penerbit dan penulis buku. Saya sudah mengendalikan lebih daripada 200 bengkel penulisan seluruh Malaysia, Brunei dan Indonesia. Dunia motivasi dan pembangunan diri adalah dunia yang amat baru.

Alhamdulillah selepas beberapa lama, saya berjaya membangunkan modul Re-Code! Transformasi Insan Super. Tak cukup dengan itu saya juga belajar mendalami DiSC, satu kaedah memprofil manusia mengikut tingkah laku. Alhamdulillah saya ditauliahkan menjadi penganalisa Profil DiSC oleh Hann Consulting Asia. Ia ‘disuntik’ ke dalam program Re-Code saya.

Pada ketika itu saya berfikir pula siapalah yang berminat untuk mengambil saya menjadi jurulatih pembangunan diri mereka. LAYAKkah aku?

Saya ubah cara berfikir itu dan terus membuat promosi. Turun bertemu dengan pelanggan yang menjadi prospek saya. Berinteraksi, mengirimkan dan membentang proposal. Alhamdulillah, saya dipilih untuk mengendalikan 51 program Re-Code DiSC di seluruh Kolej Poly-Tech MARA seluruh Malaysia. Itu tidak termasuk dengan program-program penulisan di tempat yang tidak pernah saya kendalikan seperti di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Kota Kinabalu, Sabah. Program penuh hingga ke Disember 2011. Ini menyebabkan saya perlu memohon cuti tanpa gaji daripada PTS untuk memenuhi undangan program ini.

Semua itu dengan menukar cara berfikir. Apabila kita menukar cara berfikir maka kita akan menaikkan KELAYAKAN kita dalam apa yang kita fikir. LAYAK hanya akan datang apabila kita berfikir kita layak. LAYAK untuk kaya, LAYAK untuk memperoleh jodoh, LAYAK untuk bahagia, LAYAK untuk hebat

Tukar cara berfikir sekarang, InsyaAllah kita akan mengubah hidup kita dan yakin percayalah kita LAYAK untuk berjaya. Bacalah dengan nama Tuhanmu.

Hasil daripada saya menukar cara berfikir untuk LAYAK berjaya dalam bidang motivasi. Jadual program penuh hingga Disember 2011

Tip Re-Code 29 September 2011: Tingkatkan Rasa LAYAK dalam Diri Untuk Berjaya

Satu ketika dahulu saya ada rasa ragu untuk mengendalikan program-program motivasi kejayaan. Ini kerana saya tertanya-tanya adakah aku ini benar-benar berjaya untuk menasihati orang lain untuk berjaya? Adakah aku sudah mencapai tahap kejayaan sebenar untuk memotivasikan orang lain untuk berjaya?

Pada ketika itu saya ada rasa ragu, tidak yakin dan curiga. Itu yang menyebabkan walaupun ramai yang meminta saya mengendalikan bengkel-bengkel motivasi untuk pelajar sekolah dan agensi korporat saya menolaknya. Pada ketika itu saya merasakan saya tidak LAYAK.

Namun begitu selepas saya muhasabah diri, meneliti titik-titik dalam kehidupan saya yang saya rasa penuh liku dan cabaran. Daripada seorang mahasiswa yang di’keluar’kan daripada universiti terjun ke dunia penerbitan yang amat ‘misteri’ buat saya pada ketika itu. Menongkah arus penerbitan bersama-sama rakan di PTS. Mengubah sebuah syarikat yang dikatakan hanya penerbit picisan dan kecil hingga sekarang menjadi sebuah syarikat penerbitan buku yang dikatakan antara yang terbaik di pasaran. Syarikat yang terpaksa keluar daripada bangunan miliknya kepada sekarang sudah memiliki 5 unit kilang di Batu Caves.

Semua orang LAYAK untuk berjaya

Kemudian membangunkan sebuah syarikat kecil yang berpusat di rumah sahaja. Bermula dengan dua orang manusia iaitu saya dan isteri, beralih menyewa ruangan kecil dalam sebuah pejabat di Wangsa Melawati hinggalah sekarang sudah mampu menyewa dua tingkat unit bangunan di Wangsa Melawati. Syarikat yang kecil dahulu sudah menjadi pesaing hebat syarikat konsultan lain. Alhamdulillah sekarang saya sudah LAYAK.

Layak ini datang dengan 4 cara:

  1. Berfikir bahawa kita LAYAK
  2. Bercakap gaya orang yang LAYAK
  3. Berpakaian gaya orang yang LAYAK
  4. Perbuatan gaya orang yang LAYAK

InsyaAllah saya akan kemaskinikan setiap satunya dalam artikel-artikel seterusnya di sini nanti.

Bacalah dengan nama Tuhanmu.

Tip Re-Code 28 September 2011: Tomakninah! Pecahkan Pola Untuk Mengubah Negatif Kepada Positif

Sebuah pasukan bola sepak terkenal dunia memastikan semua pemainnya berada dalam keadaan fizikal yang optimum untuk menghadapi perlawanan-perlawanan penting dengan pasukan lawan. Latihan demi latihan dilakukan setiap hari bagi memastikan stamina tidak menurun dan minda pemainnya sentiasa fokus.

Namun begitu pada setiap kali sebelum perlawanan penting para pemainnya diberikan ruang bercuti 4 hari ke 5 hari sebelum pertandingan penting untuk berehat dan melapangkan minda. Kadangkala mereka di bawa melancong terlebih dahulu dengan suasana meriah dan ceria. Terlepas daripada stress di padang bola. Mengapakah pengurus mereka melakukan begitu? Tidakkah nanti para pemainnya akan kehilangan rentak dan fokus untuk perlawanan nanti?

Inilah yang dikatakan memecahkan pola. Jika si pengurus berterusan menyuruh para pemainnya untuk berlatih-berlatih dan terus berlatih. Ini akan menimbulkan stress yang tinggi. Stress minda dan fizikal. Ia akan turun ke hati dan menjejaskan perasaan setiap pemain. Apabila berlaku begitu akan wujud getaran-getaran negatif yang berterusan.

Berdasarkan Hukum Tarikan:

Hukum Tarikan akan bertindak balas dengan apa saja jenis getaran sama ada negatif dan positif. Tindak balas yang diberikan akan digandakan.

Jadi apa yang dilakukan oleh pengurus itu adalah memecahkan pola getaran negatif itu. Dalam Islam ini yang dikatakan sebagai Tomakninah.

Konsep Tomakninah ini kita boleh temui dalam solat. Bagi setiap pergerakan yang kita lakukan dalam solat diselang selikan dengan Tomakninah. Tujuan Tomakninah adalah untuk kita sedar akan setiap perlakuan. Apa yang kita baca, apa yang kita akan lakukan seterusnya, ingat kepada Allah. Semua ini penting untuk menjaga kekhusyukan dalam solat. Menambahkan keakraban kita dengan Allah.

Setiap individu ada perkara yang mereka kejar dalam gerak kerja harian. Kadangkala disebabkan kita terlampau fokus dalam kerja itu, kita tersekat dalam satu pola yang berterusan. Tidak kira ia sebuah pola yang mengeluarkan getaran positif ataupun negatif. Untuk memecahkan pola-pola negatif seseorang itu perlu Tomakninah, berhenti sejenak untuk berfikir.

Kesatuan lebih terlihat apabila semua individu mengubah pola negatif mereka

Ini dimantapkan lagi dengan nasihat Nabi Muhammad yang mana mengatakan bahawa apabila kita marah dalam keadaan duduk, kita disuruh berdiri. Apabila marah dalam keadaan berhenti, berjalan. Kesemua ini adalah untuk mengganggu pola itu.

Tomakninah, berhenti sebentar. InsyaAllah kita mampu meRe-Code minda kita bagi mengalihkan apa yang negatif kepada positif. Bacalah dengan nama Tuhanmu.