Encik Fauzul, Encik Tidak Boleh Berlepas Ke Jakarta!!

Posted on 05. Jul, 2009 by Fauzul Na'im Ishak in Coretan

Alhamdulillah, selepas 4 bulan tidak mengemaskini apa-apa maklumat dalam blog ini. Bukan tidak ingat, bukan tidak mahu, cuma apabila hendak membukanya pasti ada perkara yang mengekang. Walauapapun saya sudah kembali. InsyaAllah banyak perkara terbaru akan dikongsikan bermula hari ini.

Sebulan dua ini adalah bulan yang amat menyibukkan. Jemputan mengendalikan bengkel penulisan di sana sini, anjuran badan kerajaan, badan swasta, anjuran syarikat sendiri, lawatan kerja ke Jakarta, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan yang akan datang Pesta Buku Negeri Selangor 2009. Saya cuba mengelak tetapi diminta juga untuk menjadi Pengerusi JK Publisiti Pesta Buku Negeri Selangor 2009. Tak mengapalah, inilah sumbang kita kepada masyarakat dan negara.

Laman web Pesta Buku Selangor 2009 yang ditaja syarikat saya Fauzul Na'im Sdn. Bhd. dan dibangun bersama saya & saudara Wan Zuhairi Wan Zainuddin. layari http://www.pestabukuselangor.com

Laman web Pesta Buku Selangor 2009 yang ditaja syarikat saya Fauzul Na'im Sdn. Bhd. dan dibangun bersama saya & saudara Wan Zuhairi Wan Zainuddin

Ada banyak perkara menarik yang ingin dikongsi. Yang paling menarik adalah pengalaman menarik ke Jakarta tempoh hari. Perjalanan kali ini amat berbeza dengan perjalanan yang sebelumnya. Saya ini setiap tahun sekurang-kurangnya 4 kali berulang alik Jakarta-Kuala Lumpur atas urusan bisnes.

Cuma perjalanan kali ini amat memberikan impak kepada diri saya. Mengapa? Panjang ceritanya

Encik Fauzul, Encik Tidak Boleh Berlepas Ke Jakarta

Jadual penerbangan ke Jakarta, seperti biasa rombongan kami bertolak jam 9.50 pagi menaiki penerbangan Air Asia dari Terminal Tambang Rendah Kuala Lumpur (LCCT). Tiket penerbangan kali ini diuruskan oleh sahabat penerbit, Tuan Haji Ishak Hamzah yang juga pengarah urusan E-Media Publications. (E-Media adalah penerbit yang menfokus kepada penerbitan ensiklopedia). Pihak saya melalui saudara Aizat, editor kanan PTS Professional menguruskan penginapan di Jakarta.

Bertolak seawal jam 5.30 pagi dari Bentong, Pahang bagi mengelakkan terlewat sampai ke LCCT. Dalam tempoh satu jam sampai ke kawasan rehat & rawat Nilai, bersolat subuh dan bersarapan pagi di sana. Isteri sebagai pengiring setia bersama dengan anak yang sulong, Iqbal Nu’aim.

Suasana balai berlepas di LCCT

Suasana balai berlepas di LCCT

Alhamdulillah rombongan kami sampai awal ke LCCT walaupun dengan kenderaan berbeza. Ahli rombongan lain adalah saudara Baharuddin Bekri, editor PTS Litera Utama; saudara Aizat, editor kanan PTS Professional; saudari Haryani, editor perolehan PTS One dan saudari Asyuura, editor kanan PTS Islamika sampai ke sana dengan menaiki bas ekspress KL Sentral-LCCT. Sampai dan langsung daftar masuk ke kaunter. Tuan Haji Ishak, sampai lewat sedikit dan daftar masuk berasingan.

Minum pagi bersama Tuan Haji Ishak di kafeteria LCCT sebelum melangkah masuk menuju ke kaunter imigresen. Jam menunjukkan jam 9.10 pagi ketika sampai ke kaunter imigresen. Seperti selalu, saya akan menggunakan laluan automatik untuk pengesahan pasport imigresen. Namun begitu yang peliknya tidak dapat pengesahan. Selepas mencuba berulang kali tetap tidak boleh.

Saya diarahkan untuk ke kaunter manual. Apabila ke sana, saya menunjukkan pasport saya kepada pegawai di sana. Dia maklumkan

Kaunter imigresen LCCT

Kaunter imigresen LCCT

En. Fauzul, Encik tidak boleh berlepas ke Jakarta.

Mengapa?

tanya saya.

Pasport En. tarikh tamatnya kurang daripada 6 bulan. Mengikut syarat perjalanan antarabangsa mana-mana pemegang pasport yang kurang 6 bulan tidak boleh keluar negara. Tambah lagi ke Jakarta, Indonesia.

Wahh!! Ini suatu berita mengejutkan. Saya sendiri tidak sedar mengenai perkara ini. Langsung saya memohon untuk berjumpa dengan pegawai atasannya. Pegawai itu membawa saya ke pejabat imigresen dan bertemu dengan pegawai yang berpangkat lebih tinggi daripadanya. Perkara yang sama dinyatakan. Saya merayu dan menyatakan bahawa saya mengetuai rombongan ke Jakarta. Banyak urusan bisnes sepanjang di sana. Saya amat diperlukan dalam perbincangan di sana.

Pegawai itu memandang saya, dan terlihat pass pelepasan AirAsia saya. Beliau menyatakan bahawa beliau membenarkan saya ke Jakarta, namun begitu tidak ada jaminan imigresen Indonesia akan melepaskan saya masuk ke sana. Apa-apa urusan berbangkit harus saya tanggung sendiri. Saya bersetuju dengan syarat tersebut dan langsung passport saya disahkan beliau. Alhamdulillah, baik hati pegawai imigresen Malaysia ini.

Balai menunggu LCCT

Balai menunggu LCCT

Saya langsung masuk ke balai berlepas. Terlihat wajah senang hati para staff yang menjadi ahli rombongan. Tuan Haji Ishak tersenyum lebar dan sudah mengagak perkara ini berlaku. Para staff yang ada pun terasa lega kerana tentu jadi kelam kabut jika saya tidak ada sepanjang di Jakarta nanti. Kami pun menaiki pesawat dan berlepas mengikut masa dijadualkan.

Bersambung…. Bapak, Ini Mahal ini Pak!!!

Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
md@fauzulnaim.com
Blog Widget by LinkWithin

Tags: , , ,

Leave a Reply