‘Defragment’ Minda Sebelum Tahun Baru

Posted on 31. Dec, 2009 by Fauzul Na'im Ishak in Motivasi

Tinggal dua hari sahaja lagi kita akan menyambut tahun baru 2010. Pelbagai perkara bermain di dalam minda setiap insan yang bernama manusia bagi menempuh tahun baru ini. Ada yang berkira-kira hendak membuka bisnes sendiri, mencari kerjaya baru, mahu kahwin (untuk yang bujang), menghantar anak ke sekolah baru, azam baru dan pelbagai lagi.

Bagi diri saya, tahun baru adalah cabaran baru. Cabaran kepada diri, cabaran organisasi, cabaran keluarga, cabaran kerjaya, cabaran bisnes dan pelbagai jenis cabaran lagi.

Secara umumnya, tahun 2009 ini adalah satu tahun yang cukup produktif bagi saya dan organisasi tadbiran saya.

Analisis tahun 2009 bagi diri saya, daripada dahulu seorang editor, meniti tangga ke pengurus penerbitan, menjadi pengarah eksekutif PTS Millennia dan sekarang mengurus jabatan penerbitan Kumpulan PTS sebagai pengurus besar penerbitan. Boleh berbangga menjadi antara individu yang pernah mengurus penerbitan buku umum melebihi dua ratus lima puluh buah buku satu tahun di Malaysia. Mula dikenali sebagai jurulatih dunia penulisan dan penerbitan dengan tertubuhnya sayap latihan Fauzul Na’im Sdn. Bhd. , Akademi Penulis Sdn. Bhd.

Produktif bagi Kumpulan PTS, daripada dahulu hanya menyewa di pejabat orang sekarang sudah beroperasi sepenuhnya di bangunan sendiri. Dahulunya cuma beberapa pekerja, sekarang sudah menghampiri seratus orang. Dahulu cuma menerbit seratus lebih buku, hingga hujung tahun dikira-kira sudah mencecah 258 judul buku diterbitkan.

Produktif bagi Fauzul Na’im Sdn. Bhd. (FNSB), daripada hanya angan-angan sendiri. Bermula di rumah, bekerja berdua dengan isteri sahaja. Mengambil seorang pekerja yang bergerak secara mobile hingga akhirnya sekarang sudah mampu mempunyai satu unit pejabat sendiri walaupun menyewa. Sekarang bilangan pekerja sudah empat orang yang bekerja secara tetap bergerak dalam tiga anak syarikat.

Produktif bagi Akademi Penulis Sdn. Bhd. (anak syarikat FNSB), dahulunya sekadar sebuah blog bercerita pengalaman. Sekarang sudah berubah menjadi sebuah akademi latihan penulisan yang sudah mula dikenali ramai. Menganjurkan lebih kurang dua puluh empat buah bengkel penulisan secara awam dan latihan dalaman untuk organisasi kerajaan serta swasta. Mempunyai seorang penolong pengurus yang menguruskan segala urusan tadbiran program latihan.

Produktif bagi Book Pro Publishing Services (anak syarikat FNSB), bermula dengan pekerja yang merupakan isteri sendiri sekarang sudah mempunyai dua orang pekerja tetap, seorang penolong pengurus dan seorang editor. Dahulu mampu buat hanya satu projek dalam masa tiga bulan, sekarang sudah boleh mencapai dua projek perkhidmatan penerbitan sebulan.

Penubuhan syarikat baru The Next Store yang mengendalikan sepenuhnya kedai-kedai online milik FNSB. Sekarang baru ada satu iaitu e-Kedai.net : Kedai Buku Online Anda. InsyaAllah akan dikembangkan kepada satu lagi dalam tahun 2010.

Muhasabah Diri & Organisasi

Apabila menghadapi tahun baru, seseorang individu perlu mengkaji dan muhasabah pencapaian satu tahun mereka. Adakah mereka mencapai segala yang disasarkan? KPI berjaya dilunasi? Kesemua ini menjadi kayu ukur kita sebagai seorang individu.

Saya sering berpegang bahawa kita perlu mencabar diri kita setiap hari agar menjadi lebih baik daripada semalam. Cabaran boleh wujud dalam pelbagai cara. Cabaran dalam bentuk perkembangan diri, adakah kita masih orang yang sama setiap tahun ataupun dalam kata lain statik. Cabaran dalam bentuk karier, adakah kita masih memegang jawatan dan portfolio sama setiap tahun? Membuat perkara rutin yang sama seperti tahun-tahun lepas? Cabaran dalam bentuk bisnes, adakah syarikat kita masih lagi jualannya sama seperti tahun-tahun lepas? Tidak ada perkembangan daripada sudut jualan, dapatan dan pekerja.

Kesemua ini menjadi kayu ukur kepada diri kita untuk menjana prestasi akan datang.

Mencabar Diri

Ada beberapa rakan rapat bertanya, apakah yang saya lakukan untuk menjana diri saya agar sentiasa ke hadapan? Di sini saya kongsikan salah satu tip pegangan saya sekian lama.

Bagi yang para pembaca sejarah Tariq Bin Ziyad, tentu mengetahui bagaimana beliau memotivasikan anak-anak buahnya untuk berperang dengan musuh. Caranya cukup agresif, drastik dan tidak terfikir oleh akal. Beliau mengarahkan kapal yang membawa mereka ke tempat hendak berperang dibakar. Ini bagi mewujudkan dalam hati setiap ahli dalam pasukannya bahawa tidak ada berpatah balik dalam perjuangan.

Ini juga saya lakukan kepada diri saya dan organisasi. Selalunya saya ‘bakar kapal’ bagi memacu ke hadapan. Cara bagaimana? Ada banyak cara, sebagai contoh dalam keadaan kestabilan syarikat tidak menentu saya sewa sebuah pejabat. Mengambil para pekerja yang perlu dibayar gajinya. Jadi mahu ataupun tidak, syarikat perlu mendapat jualan dan untung bagi memastikan aliran wang tunai masuk bagi membayar semua ini.

Ada banyak lagi cara dan kaedah ‘bakar kapal’ ini.

Defragment Minda

Hari ini saya mengambil ruang untuk bercuti daripada beberapa perkara untuk melakukan beberapa perkara. Tujuan utamanya adalah untuk defragment minda. Mengkaji semula apa yang sudah dicapai satu tahun dan apa ingin disasar tahun hadapan. Tahun hadapan tidak boleh sama sepertimana daripada tahun ini. Ia perlu lebih berkembang dan mengorak langkah ke hadapan.

Mari kita pasang tekad untuk memastikan hari kita lebih baik daripada hari semalam.

Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
md@fauzulnaim.com
Blog Widget by LinkWithin

Tags: , ,

Leave a Reply