Dari Tingkat 22, Hotel Goldcourse, Klang

Posted on 21. Jan, 2009 by Fauzul Na'im Ishak in Coretan, Utama

Saya sekarang berada di tingkat 22, Hotel Goldcourse, Klang. Berada di sini bagi mengendalikan Bengkel Latihan Penulisan Ilmiah anjuran bersama Bahagian Teknik & Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia dan syarikat saya Fauzul Na’im Sdn. Bhd. Ini adalah salah satu projek yang diperoleh di bawah syarikat baru saya ini.

En. Fauzul bersalaman dengan Dato' Yusof Haron, Pengarah BPTV, KPM

En. Fauzul bersalaman dengan Dato' Yusof Haron, Pengarah BPTV, KPM

Alhamdulillah tahun ini rezeki bertambah dalam kemelut ekonomi yang tidak menentu. Ini satu rahmat daripada Allah. Dalam kesusahan pasti ada kesenangan. Ini janji Allah. Saya teringat nasihat daripada saudara Ramlee Awang Murshid, pengarang novel terkenal Alaf 21 Sdn. Bhd. dalam pertemuan yang lalu. Apabila saya bertanya apakah rahsia beliau mendapat idea penulisan buku. Mudah sahaja kata beliau iaitu doa dan zakat.

Mungkin ada yang agak skeptik apabila kita cuba mengaitkan apa sahaja dengan rahmat Allah. Pada pandangan peribadi saya, apa yang dikatakan oleh saudara Ramlee itu suatu pendekatan terbaik. Saya sendiri mengalaminya sekarang. Apabila kita semakin dekat dengan Allah banyak perkara ajaib kita tidak jangka berlaku.

Membina Sejarah

Kami berkampung di sini adalah di bawah projek penghasilan buku dokumentasi sejarah Bahagian Teknik & Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia hasil cetusan Dato’ Yusoff Haron, Pengarah BPTV yang juga mantan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Ini adalah projek membina sejarah kerana ia yang pertama dalam sejarah BPTV.

Projek yang saya boleh katakan agak kritikal dari sudut masa. Ia projek intensif bagi menyiapkan buku dalam tempoh kurang 3 bulan. Syarikat saya dilantik sebagai perunding untuk latihan dan perkhidmatan penerbitannya.

Seramai 32 orang pegawai dari kalangan guru, guru cemerlang dan pengetua dipilih bagi menyertainya. Ini satu gerak kerja yang mencabar. Walaubagaimanapun ia satu usaha yang amat baik. Sebelum ini para pelajar sekolah menengah teknik/vokasional dipandang sebagai kelas kedua. Tidak setaraf dengan sekolah elit dan berasrama penuh. Ramai yang berpandangan sekolah kemahiran itu tidak prestij. Ini satu kesilapan besar.

En. Fauzul bergambar bersama para peserta Bengkel Latihan Penulisan Ilmiah BPTV. KPM

En. Fauzul bergambar bersama para peserta Bengkel Latihan Penulisan Ilmiah BPTV. KPM

Kita boleh lihat mereka yang keluar dari sekolah menengah teknik/vokasional adalah mereka yang merupakan tenaga mahir. Mereka ini tidak menjadi meminta-minta untuk menagih kerja kerana mereka sendiri boleh mereka kerja mereka sendiri. Mereka ini juga yang boleh menghasilkan lebih banyak kerja.

Apa yang dilakukan di Hotel Goldcourse ini satu usaha bagi membuka minda masyarakat. Melihat daripada perspektif berbeza. Buat pengetahuan semua, pada tahun ini jumlah permintaan untuk masuk ke sekolah menengah teknik/vokasional adalah sebanyak 258,000. Tempat yang ada hanya 30,000. Hebat bukan.

Baiklah, saya hendak turun bagi mengendalikan bengkel di bawah. Hingga bertemu lagi.

Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
md@fauzulnaim.com
Blog Widget by LinkWithin

Leave a Reply