Buku Terlaris VS Buku Anugerah
Posted on 24. Dec, 2009 by Fauzul Na'im Ishak in Coretan
Malam kelmarin saya bersama isteri menghadiri Majlis Anugerah Buku Negara 2008. Jangan terkejut apabila saya menyebut 2008 kerana ia adalah majlis yang ditunda berulang kali disebab beberapa masalah teknikal sejak tahun 2008. Akhirnya majlis ini dibuat dalam tahun 2009.
Buku-buku yang dicalonkan untuk anugerah ini dikirim kepada penganjur bagi tujuan pencalonan pada tahun 2007 lagi. Proses penapisan, penilaian dan keputusan dilakukan pada tahun 2008. Para pemenang mengetahui bahawa mereka menjadi pemenang sudah lama namun hadiahnya baru sekarang diperoleh.
Walaubagaimanapun saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur iaitu Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Majlis Industri Buku Malaysia di atas penganjuran majlis ini. Ia sudah sudah 10 tahun tidak dianjurkan. Industri buku memerlukan suntikan semangat ini bagi membantu menaikkan motivasi para penerbit menghasilkan karya terbaik.
Tahniah kepada sahabat saya Tuan Haji Ishak Hamzah kerana buku terbitan syarikat beliau E-Media Publications dipilih sebagai pemenang Anugerah Buku Kanak-kanak Bukan Fiksyen. Tahniah juga kepada Puan Azah Aziz atas kejayaan menggondol 4 anugerah dan menjadikan buku karangan beliau yang diterbitkan oleh UKM menjadi pemenang anugerah buku kebangsaan.
PTS Pernah menang Anugerah?
Tentu ada yang bertanya buku PTS di mana? Adakah memenangi mana-mana anugerah? Jawapannya tidak . Buku-buku PTS tidak pernah memenangi mana-mana anugerah buku anjuran kerajaan. Sehingga kini kita PTS sudah mengirimkan buku kepada semua jawatankuasa penganjur anugerah sejak PTS ditubuhkan. Sama ada Anugerah Buku Negara, Anugerah Buku Perpustakaan Negara, Anugerah Media Islam Negara dan beberapa lagi. Tidak pernah sekalipun buku PTS terpilih.
Namun buku terbitan PTS pernah memenangi Anugera Buku Pilihan Pembaca Berita Harian-Popular bagi kategori Non Fiksyen. Buku yang memenanginya adalah karya tulisan Dr. Tengku Asmadi, Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif untuk tahun 2009. Kriteria utama pemilihan ini adalah jualan buku di kedai dan undian pembaca. Buku ini beberapa kali menduduki carta buku terlaris di kedai buku Popular.
Buku Terlaris VS Buku Anugerah
Tempoh hari saya mendapat satu emel daripada salah seorang karyawan PTS melaporkan pertemuan beliau dengan seorang penulis yang beberapa kali memenangi anugerah buku. Beliau ini memang terkenal di kalangan peminat buku sastera remaja dan dijangka akan mengambil alih takhta Sasterawan Negara satu hari nanti.
Dalam pertemuan beliau dengan penulis ini, ada beberapa cadangan yang dibangkitkan. Antaranya dicadangkan agar kadar royalti anjal diperkenalkan untuk pengarang bernama besar. Di mana beliau akan menerbitkan karya dengan PTS jika PTS boleh menerima jumlah royalti yang diminta beliau.
Secara peribadi, pandangan saya negara memang memerlukan karyawan berkualiti tinggi seperti mereka ini bagi menaikkan dunia penulisan Malaysia. Kumpulan pengarang sebeginilah yang meletakkan negara setaraf dengan negara lain.
Walaubagaimanapun dalam perkara bisnes, penerbit melabur kepada sesuatu karya berdasarkan beberapa faktor. Antaranya ia memenuhi kehendak pasaran dan pakej yang diberikan kepada karya adalah tepat.
Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya kepada dunia buku, belum pernah ada karya yang diberikan anugerah prestij negara mencecah jualan melebihi 10,000 naskhah setahun. Jika ada pembaca yang membaca artikel mengetahui karya berjaya melepasi tahap ini sila maklumkan di ruangan mesej di bawah.
Jadi faktor nama besar sahaja tidak cukup untuk menyebabkan sesebuah syarikat penerbitan melabur kepada sesuatu karya.
Adilkah?
Adakah adil kita berikan royalti tinggi kepada karya yang belum tentu prestasinya? Dengan hanya berbekalkan nama besar tetapi tidak ada prestasi semasa yang baik kita terus berikan imbalan tinggi. Sedangkan ada banyak lagi karya yang jualannya mencecah puluhan ribu, pengarangnya tidak meminta-minta dibayar lebih.
Atas pertimbangan sebeginilah PTS memperkenalkan sistem royalti progresif. Skim royalti PTS adalah dibahagikan kepada 3 fasa :
- Fasa 1 : Jualan 1 hingga 5,000 naskhah : royalti 7% daripada harga pada buku
- Fasa 2: Jualan 5,001 ke 10,000 naskhah terjual: 10% daripada harga pada buku
- Fasa 3: Jualan 10,001 ke atas kita berikan 11% daripada harga pada buku
Kita merasakan ia adil, buku yang terjual sedikit maka sedikitlah royaltinya. Jualan banyak, banyaklah perolehannya. Bagi jualan 5,001 ke bawah banyak kos terbabit. Kos perolehan, kos suntingan, kos CTP dan banyak lagi menyebabkan kita berikan hanya 7% sahaja. Namun apabila mencecah 10,001 ke bawah kita berikan tambahan pulangan 3% dan apabila jualan meningkat 10,001 ke atas maka kita berikan lebih lagi.
Jadi dalam hal ini barulah ia menunjukkan kejayaan berdasarkan prestasi. Terserah kepada pengarang memilih penerbit mana yang ingin diterbitkan karyanya. Tepuk dada tanya iman.
Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
md@fauzulnaim.com


