Bonda dan Ayahanda Sumber Kekuatan Anakanda

Hampir 100 hari bonda saya meninggalkan kami sekeluarga. Beliau meninggal dunia pada 19 Jun 2011, 5 hari sebelum hari lahir saya yang ke 34. Tarikh yang amat saya ingati, ingat selama-lamanya. Jam 9.00 pagi, di hadapan saya, ayahanda, adinda dan isteri, beliau menghembuskan nafas terakhir. Selepas kurang lebih 45 hari berada di hospital.

Bonda adalah seorang individu yang amat tabah dan menyokong perjuangan anak-anaknya. Saya ingat pada ketika saya membuat keputusan untuk menyertai PTS, beliau menangis. Walaupun pada mulanya keputusan ini  menyedihkan beliau. Namun disebabkan ia adalah keputusan saya maka beliau akan tetap menyokong. Masih teringat bagaimana beliau sanggup menemani saya membuat perolehan daripada Universiti Utara Malaysia, Sintok hingga ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Berada di sebelah saya, mengisi masa dengan membaca buku, Al-Quran dan buku Bardahnya.

Beliau selalu bertanya sama ada wang saku saya cukup ataupun tidak. Beliau tahu pada ketika itu saya amat memerlukannya disebabkan elaun diperoleh amat kecil. Ini yang saya selalu sebut kepada ramai rakan saya, jika ada orang luar yang paling berjasa kepada PTS adalah bonda saya. Tanpa berada di PTS, beliau menjadi tulang belakang saya, turut membantu mempromosikan PTS kepada sesiapa sahaja ditemuinya.

Ini hanya secebis daripada jasa-jasa beliau kepada diri saya. Dalam keadaan beliau sakit, beliau masih lagi bertanya tentang bisnes saya. Baik ataupun tidak, apa projek yang saya peroleh dan menasihati saya agar sentiasa ingat Allah. Dalam kesakitan beliau, masih lagi teringat anak-anak murid yang mengaji Al-Quran di rumah. Mahu memastikan anak-anak muridnya khatam Al-Quran.

Ya Allah aku rindu padanya. Berikanlah tempat terbaik yang dikau ada untuk bondaku. Beliau banyak jasanya kepada diriku dan orang lain. Amiin Ya rabbal aalamiin.

Gambar terakhir kenangan beliau bersama ayahanda sebelum dimasukkan ke hospital

.

Please note: I reserve the right to delete comments that are offensive or off-topic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 thoughts on “Bonda dan Ayahanda Sumber Kekuatan Anakanda

  1. teringat kat mama….. adik mimpi kat dia malam kelmarin… dia pesan sumthing…but adik nak kena recall balik…