Bolehkah Diperincikan Sebut Harga Latihan?

Menarik apabila 3 hari lepas ada seorang pegawai daripada sebuah agensi kerajaan menghubungi saya. Beliau meminta saya memperincikan sebut harga yang saya berikan di dalam surat sebut harga kepada beliau. Beliau menyatakan bahawa agensi beliau membuat pertanyaan mendalam mengenai sebut harga diberikan itu.

Ada beberapa komponen yang selalunya saya kenakan di bawah sebut harga iaitu:

  1. Bayaran perundingan dan penceramah
  2. Bayaran modul
  3. Bayaran perjalanan mengikut jauh tempat program

Kesemua ini dikira sebagai bayaran secara pakej dan Alhamdulillah sekarang sudah banyak agensi kerajaan yang menerima kaedah bayaran mengikut pakej sepertimana yang saya tetapkan di syarikat saya ini.

Selalunya agensi kerajaan menetapkan bayaran mengikut kadar per jam:

  • RM200 per jam untuk penceramah yang mempunyai ijazah sarjana muda
  • RM300 per jam untuk penceramah dengan sijil sarjana
  • RM400 per jam untuk penceramah dengan sijil doktor falsafah
  • Jika tidak mempunyai apa-apa sijil hanya dibayar RM100 per jam

Ini adalah berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Namun ia adalah atas budi bicara agensi berkenaan.

Kos Pengalaman

experience

Saya memaklumkan jika mahu diberikan kadar di atas, selalunya syarikat saya akan menolak. Bukan kerana kami ini berlagak ataupun sombong kerana dikira syarikat ada nama. Apa yang saya faham, kadar di atas adalah kadar yang selalunya diberikan kepada para penceramah yang datangnya daripada agensi kerajaan yang lain. Mereka tidak mempunyai perbelanjaan lain sepertimana syarikat kami.

Apabila mahu diperincikan, antara kos yang diambil kira di dalam pemberian sebut harga kami adalah:

  • Kos gaji pekerja
  • Kos utitili
  • Kos penyelidikan dan pembangunan modul
  • Kos pengalaman dan kepakaran
  • Kos perkhidmatan

Kesemua ini adalah kos yang perlu diambil kira selain daripada hanya mengambil kira ijazah yang dipegang. Benar ijazah adalah penting, namun pada pandangan peribadi saya jika sekadar ada ijazah tetapi tidak ada pengalaman sebenar dalam industri belum tentu teori yang diberikan di dalam kelas itu boleh diaplikasikan. Ini yang saya selalu sebut bahawa saya lebih pentingkan mereka yang sudah menggunakan mazhab ‘BuDuBaHu’. Buat Dulu Baru Tahu, selagimana mereka tidak melakukannya selagi itu pada pandangan saya individu itu hanyalah seorang yang teoris.

Pernah satu agensi memohon sijil kemahiran penulisan daripada saya kerana saya dijemput untuk mengendalikan bengkel penulisan buku di tempat mereka. Pada pandangan mereka, pengalaman saya 12 tahun dalam industri penerbitan dan penulisan buku, berinteraksi dan membangunkan para pengarang daripada biasa-biasa menjadi luar biasa itu masih belum cukup. Sijil kemahiran penulisan itu lebih penting. Saya berkata kepada pegawai berkenaan, tidak mengapalah. Pergilah cari jurulatih penulisan lain yang mungkin ada sijil berkenaan.

Masih Ada yang Menghargai

Alhamdulillah minggu lepas ada sebuah syarikat korporat besar menjemput saya membuat pembentangan program INSAN SUPER untuk Eksekutif Muda. Mereka bertanya mengapakah saya tidak memanjangkan CV saya dalam bidang bisnes. Pada pandangan mereka CV itu amat penting selain daripada kebolehan membentang. Saya berkata dalam hati “Masih ada yang menghargai” 🙂.

Please note: I reserve the right to delete comments that are offensive or off-topic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *