Hari ini saya membaca satu tajuk artikel dalam MalaysiaKini “Penerbit pertahan novel ‘haram’ Faisal Tehrani“. Saya tersenyum sendiri. Novel ini adalah karangan sahabat seuniversiti saya Dr. Faisal Tehrani. Sebelum penerbitan buku ini dibuat, saya beberapa kali memohon pihak editor PTS Litera Utama Sdn. Bhd., divisyen penerbitan buku di Kumpulan PTS yang menerbitkan karya-karya sastera dan fiksyen dewasa memeriksa fakta yang ada di dalamnya. Ini bagi memastikan tidak ada unsur-unsur yang tidak bersesuaian dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah wujud di dalamnya sebelum diterbitkan. Ia sudah diserahkan kepada beberapa pakar dalam bidang syariah dan usuluddin untuk dibaca. Selepas beberapa kali dibuat bacaan dan pemurnian dibuat, barulah karya ini disahkan ‘halal’ dan dibenarkan untuk penerbitan.
Sahabat pengarang saya ini memang sudah diketahui umum sebagai antara individu yang ber’simpati’ dengan pihak kumpulan pejuang keluarga Rasulullah. Hinggakan ia ada mengeluarkan beberapa kenyataan agak kontroversi dalam blognya tempoh hari. Ini juga menyebabkan saya beberapa kali meminta pihak editor membuat kaji selidik mendalam sebelum menerbitkannya.

Sahabat Saya Dr. Faisal Tehrani yang sentiasa mengagumkan saya dengan tulisannya
Apa yang berlaku ini menyebabkan saya tersenyum sendiri. Saya terfikir siapakah sebenarnya yang mengeluarkan polemik pengharaman buku ini. Saya terbaca mengenainya di status di facebook mantan editor di syarikat saya Tuan Syafiq Zulakifili yang sekarang berada di TV Al-Hijrah

Status FB Tuan Syafiq Zulakifili
Apa yang saya tahu pihak PTS masih belum pernah menerima sebarang makluman secara rasmi mengenainya daripada mana-mana pihak. Ini yang benar-benar menghairankan saya. Walaupun saya ini dalam percutian panjang daripada PTS, namun setiap pergerakan dan kejadian yang berlaku di pejabat saya itu tidak satupun terlepas daripada pengetahuan saya. (Ini boss yang sentiasa memasang radar di pejabat
).
Peristiwa ini mengingatkan saya kepada apa yang berlaku satu ketika dahulu apabila mendapat tahu buku terbitan kami dirampas oleh pihak agensi terbabit di beberapa kedai buku Popular. Ia berlaku di dua tempat, satu di Sabah dan satu lagi di Cheras. Buku yang dirampas adalah buku Rahsia Arqam tulisan Tuan Ann Wan Seng terbitan PTS Millennia Sdn Bhd. Ketika itu saya masih lagi pengurus penerbitan di PTS Millennia. Berita ini pun kami tahu melalui kedai buku dan tidak pernah mendapat sebarang makluman daripada pihak berkenaan mengenainya.

Buku PTS yang pernah di'haram'kan satu masa dahulu
Saya pada ketika itu agak berang kerana tindakan yang dilakukan menyebabkan kedai-kedai buku yang terbabit menjadi takut dan ingin memulangkan buku itu kepada PTS. Bukan sahaja ia menyebabkan kedai-kedai buku Popular melakukannya, tetapi juga kedai-kedai buku lain. Dunia penerbitan dan jualan buku di Malaysia ini tidaklah sebesar mana. Apabila berlaku satu kejadian, maka kesemua orang dalam industri akan mendapat tahu. Surat rampasan tersebut juga difakskan kepada saya oleh pihak kedai buku yang dirampas naskhahnya.
Ini menyebabkan saya menelefon sendiri kepada pihak agensi terbabit di Sabah untuk mengesahkannya. Saya menelefon nombor yang terpapar pada surat itu. Selepas dialihkan kepada beberapa orang individu di sana (panik juga mereka apabila penerbit buku menghubungi sendiri) barulah saya dapat bercakap dengan ketua unit mereka. Saya bertanya sama ada benarkah operasi rampasan ini menunjukkan buku Rahsia Arqam ini adalah haram. Apakah sebabnya? Apakah hujah dan nas yang digunakan untuk tujuan rampasan itu? Ketua yang mewakili agensi terbabit itu mengatakan ia bukanlah menunjukkan bahawa buku ini haram. Istilah rampas juga tidak patut digunakan kerana pada pandangannya ia bukanlah suatu rampasan, cuma satu aktiviti mengambil naskhah contoh bagi dibuat kajian. Tiada sebarang alasan lain diberikan.
Namun saya tetap tidak berpuas hati kerana saya membaca sendiri surat yang dikeluarkan, memang ia menunjukkan pernyataan bahawa rampasan dibuat. Pihak agensi terbabit memohon maaf dan berjanji untuk membuat pembetulan kepada ayat dalam surat bagi mendinginkan sedikit kemarahan saya pada ketika itu. Saya menasihati pihak agensi terbabit pada ketika itu supaya sebarang pengambilan naskhah jangan dibuat di kedai buku, ia menimbulkan persepsi buruk kedai buku kepada penerbit. Apabila naskhah contoh diambil di kedai buku dengan sendiri ia dianggap sebagai rampasan. Pihak kedai buku akan mula mengira kerugian. Sepatutnya pihak agensi terbabit tidak mengambil naskhah contoh di kedai buku, minta sahaja dengan pihak penerbit. Bukan setakat 5 naskhah, 100 naskhah pun pihak penerbit boleh berikan.
Kes yang sama berlaku di Cheras yang mana saya menyatakan perkara yang sama kepada pegawai agensi terbabit di Selangor yang saya hubungi pada ketika itu. Pada pandangan saya, tindakan sebegini amat tidak menghormati penerbit buku. Penerbit buku seperti kami amat berhati-hati dalam menerbitkan sesuatu karya. Setiap karya yang diterbitkan terutamanya yang kita merasakan ada kontroversi berkali-kali diteliti oleh beberapa pihak editor yang ada latar belakang agama mahupun tidak, penasihat syariah dilantik secara rasmi ataupun tidak rasmi dan beberapa pihak lain sebelum dibenarkan penerbitannya. Ada juga beberapa pihak yang dipilih itu adalah juga panel penasihat yang pernah dilantik oleh agensi kerajaan. Pihak penerbit melakukan kesemua ini bagi memastikan akidah pembaca tidak rosak dan goyah. Kami menerbitkan buku bukan untuk pelaburan di dunia sahaja, tetapi juga untuk pelaburan di akhirat.
Nasihat saya kepada pihak berkenaan, sebelum membuat sebarang rampasan buku pohon melakukan perkara berikut:
- Berbincang secara berhemah dengan penerbit buku berkaitan. Lihat daripada perspektif pihak penerbit buku dan mengapa mereka mahu menerbitkan karya ini. Saya yakin dan percaya kebanyakan penerbit buku di Malaysia amat prihatin mengenai sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia. Kami tidak akan menerbitkan buku selagimana ia tidak disahkan tidak bersalahan daripada sudut akidah.
- Jika mahu melakukan sebarang proses kaji selidik naskhah, terus menghubungi pihak penerbit buku. Saya yakin dan percaya pihak penerbit buku bersedia untuk bekerjasama menyerahkan naskhah contoh yang diperlukan mengikut jumlah yang wajar.
- Buat makluman awal kepada pihak penerbit buku sebelum sebarang pengwartaan pengharaman buku. Ini kerana pihak penerbit pun mahu tahu apakah sebabnya sesuatu pengharaman dilakukan. Benarkah pihak penerbit buku membuat penjelasan dan penghujahan sebelum ia diputuskan untuk diharamkan. Di samping itu pihak penerbit boleh melakukan tindakan sewajarnya seperti menarik semula kesemua buku bagi mengurangkan risiko kerugian ditanggung penerbit.
Ini bukan dalam bidang kuasa kami. Ia berada dalam bidang kuasa FINAS dan lembaga penapisan filem



Apabila mengkaji mengenai hidup, kita akan mula mengenal erti mati. Betapa bahagianya kita berada di dalam dunia kehidupan ini. Namun sebenarnya ia adalah sementara. Yang lebih kekal adalah dunia kematian. Ia abadi hingga selama-lamanya. Apa yang kita buat semasa hidup tidak lama berada bersama kita. Wang kita, kereta kita, harta kita, anak isteri kita dan kerjaya kita hanyalah pinjaman sementara. Satu masa nanti pemiliknya mengambil kesemua ini daripada kita sama ada kita mahu ataupun tidak. Yang lebih abadi adalah segala pelaburan untuk mati. Amal kita, pahala kita, ibadah kita dan segala kebaikan kita itu adalah lebih abadi. Namun yang menariknya sejauh mana kita benar-benar melabur untuk dunia kematian ini? Adakah benar-benar kita bersedia untuk ke sana?




Add to Google

Diskusi Terkini