Bisnes adalah Dunia Tanpa Sempadan, Tetapi…..

Alhamdulillah semalam saya bersama para CEO daripada 2 anak syarikat saya bertemu mesra dengan seorang individu yang sering menjelajah ke luar negara untuk mencari peluang bisnes. Individu yang pernah menjadi orang besar dalam dunia media namun memilih untuk mencari kepuasan hidup dalam dunia bisnes. Pernah ada pengalaman susah dan senang, ditiup rakan kongsi mendapat bisnes jutaan ringgit di luar negara. Alhamdulillah dilorongkan bertemu dengan beliau untuk menyedut ilmunya.

Saya di FINE Prima Holdings Sdn Bhd melalui anak syarikat kami yang menfokuskan kepada latihan dan perundingan mempunyai sistem bersepadu latihan dan perundingan yang dilihat mempunyai potensi besar untuk ke luar negara. Kami juga adalah penyedia perkhidmatan profil diri DiSC antara beberapa syarikat bumiputera yang mampu mempunyai sistem ini tersendiri.

Jadi pertemuan ini adalah untuk melihat peluang untuk menerjah ke luar negara dalam mengembang bisnes memperkasa ummah.

Banyak input yang kami peroleh, antara kesimpulan yang boleh saya buat adalah:

  1. Luar negara bukanlah suatu pasaran yang mudah, untuk ke luar negara perlukan kekuatan setaraf dengan syarikat perundingan antarabangsa daripada sudut kualiti dan dana.
  2. Cara terbaik dan cepat untuk ke luar negara adalah melalui perkongsian bisnes dengan mereka yang sudah biasa ke luar negara. Ini akan mempercepatkan ruang untuk bina jaringan kerana rakan kongsi sudah mempunyai kekuatan jaringan mereka.
  3. Produk yang ingin dibawa ke luar negara perlulah setaraf dengan kualiti penyedia perkhidmatan antarabangsa. Apa yang saya nampak produk sedia ada sudah baik dan setaraf, namun perlukan pengemasan lebih bagi menunjukkan kredibiliti yang lebih.
  4. Permainan luar negara adalah permainan persepsi, jika persepsi baik maka baiklah penerimaan.

Untuk membina persepsi, memerlukan penyediaan dana yang besar. Namun sekali sudah berjaya, ia akan memberikan kesan domino kepada kejayaan lain.

InsyaAllah kami sudah memulakan langkah untuk tujuan itu. Sasaran persiapan 6 bulan untuk tujuan ini. Semoga ia akan menjadi titik mula yang baik buat syarikat kami bagi mengembangkan ‘sayap’ ke seluruh dunia dalam tempoh 10 tahun ini. Amin

Leave a Comment