Bapak, Ini Mahal ini Pak!!

Posted on 06. Jul, 2009 by Fauzul Na'im Ishak in Coretan

Penerbangan ke Jakarta bertolak dengan tiada sebarang masalah. Berulang-alik Jakarta ini sudah menjadi rutin saya, hingga tidak terasa seperti melawat ke negara orang. Sudah seperti balik kampung.

Rombongan kali ini disengajakan awal sehari daripada tarikh berlangsungnya Pesta Buku Jakarta 2009. Ini bagi membolehkan pihak kami mengadakan lawatan kerja ke pejabat rakan penerbitan di sana. Pada hari ini (26 hb. Jun 2009) kami sudah berjanji dengan Pak Nung Atasana, Pengurus Besar Pemasaran Antarabangsa Gramedia Publishing House untuk melawat ke pejabat mereka.

Sebelum ini sudah berulang kali beliau mengajak saya untuk ke sana. Namun begitu kekangan masa sepanjang lawatan kerja sebelum ini membataskan waktu untuk ke Gramedia. Saya sudah pernah melawat beberapa pejabat penerbitan penerbit Indonesia di Jakarta. Antara yang pernah dilawati adalah Penerbit Buku Mizan dan Penerbit Agromedia. Kali ini sudah dirancang lawatan kerja ke Gramedia pula.

Bandara Soekarno-Hatta, pemandangan di luar

Bandara Soekarno-Hatta, pemandangan di luar

Kami tiba di Bandara (Bandar Udara) Soekarno-Hatta, Cangkareng dalam jam 10.50 waktu Indonesia Barat (jam 11.50 waktu Malaysia). Saya sudah dipesan oleh Tuan Haji Ishak bahawa saya pasti akan ditahan sekali lagi di kaunter imigresen Indonesia. Memang benar, saya ditahan sekali lagi.

Bapak! Bapak tidak boleh saya benarkan masuk ke Jakarta kerana passporr Bapak kurang 6 bulan

Saya sudah mengagak ayat itu akan keluar.

Apapun, saya bisa bantu Bapak. Tetapi mahal ini Pak

Berapa?

Proses negosiasi bermula dan selepas beberapa ‘aturan’, saya dilepaskan. Sekali lagi wajah lega para editor saya kelihatan. Tuan Haji Ishak hanya berkata

Aku sudah agak dah !!

Selepas selesai ambil bagasi, saya langsung aturkan kereta Suzuki APV untuk membawa kami ke Hotel IBIS Tamarin. Dalam perjalanan, beberapa kali Bapak Budi, editor Gramedia yang diarahkan Pak Nung untuk mengambil kami di hotel menelefon saya. Saya maklumkan kami akan sampai ke hotel sekitar jam 12.30. Pemandangan dari Cangkareng ke Jakarta seperti biasa macetnya berat. Saya sempat bercerita dengan para editor PTS yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Jakarta mengenai senario penerbitan Indonesia.

Sejarah kehadiran PTS di Jakarta bermula tahun 2004, pertama kali saya bersama Tuan Arief Hakim Sani Rahmat, pengarah urusan Kumpulan PTS sekarang. Tanpa sebarang kenalan, tanpa sebarang perancangan, tanpa persediaan turun ke Jakarta. Melawat daripada gerai ke gerai Indonesian Book Fair 2004. Bercakap-cakap dengan penerbit di sana. Takut makan di tepi jalan, makan hanya di hotel. Memang suatu pengalaman yang amat mendalam kesannya kepada perkembangan PTS sekarang.

Hotel kebiasaan penerbit Malaysia di Jakarta, Hotel IBIS Tamarin. Umpama rumah kedua saya di Jakarta

Hotel kebiasaan penerbit Malaysia di Jakarta, Hotel IBIS Tamarin. Umpama rumah kedua saya di Jakarta

Kami tiba di Hotel IBIS Tamarin, Jalan Wahid Hasyim seperti yang dijangka. Kelihatan Pak Budi menunggu di ruang lobi. Saya meminta masa untuk daftar masuk ke kamar dan makan tengah hari. Beliau memberikan ruang masa tersebut. Kami daftar masuk dan langsung ke Restoran Nasi Padang Garuda, destinasi makanan padang paling dekat dengan hotel. Jus Kopyor adalah perkara pertama yang saya pesan di sana.

Hidangan nasi padang yang membangkitkan aroma. Cuma sekarang ini agak kurang sedikit keghairahannya sebab selalu makan apabila ke Jakarta

Aroma hidangan nasi padang yang membangkitkan rasa. Cuma sekarang ini agak kurang sedikit keghairahannya sebab selalu makan apabila ke Jakarta

Jus ini memang sukar ditemui di Malaysia (mungkin tidak ada pun). Ia adalah jus kelapa bantut yang dikisar. Ikut maklumat Bapak Tommy, Direktor Penerbit Republika cukup sukar untuk mendapat kelapa bantut ini suatu masa dahulu. Disebabkan permintaan dan kecanggihan teknologi bio. Sekarang banyak pokok kelapa yang disuntik untuk memastikan buah kelapa bantut ini diperoleh dengan mudah.  Sekali cuba pasti hendak lagi.

bersambung…  GRAMEDIA Oh! Hebatnya

Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
md@fauzulnaim.com
Blog Widget by LinkWithin

Tags: ,

Leave a Reply