Apakah yang Anda akan Lakukan Jika Masa Hidup Hanya Tinggal 1 Minit?

Hidup! Apa makna hidup buat Anda semua?

Jika tanya saya hidup adalah PILIHAN. Ia memberikan kita ruang untuk kita melakukan apa yang kita ingin capai. Ini yang menyebabkan kita tidak boleh mengeluh dengan apa yang berlaku diri kita kerana ia adalah apa yang kita pilih.

 

Saya adalah individu yang mempunyai banyak perkara dilakukan dalam satu masa.

Saya seorang usahawan dengan 5 syarikat yang melapor langsung pada saya, 4 anak syarikat dengan 4 CEO dan satu syarikat induk yang menjadi tulang belakang operasi syarikat kumpulan. Ini memang pembuat keputusan utama adalah saya. Manakala saya juga ada 1 syarikat yang mana saya menjadi pengarahnya.

Saya juga adalah seorang Learning Development Specialist (LDS) di FINE Training Academy yang saya sekarang menjadi salah seorang tenaga pengajar utama program Transformasi 1TNB : Better.Brighter. Walaupun saya sudah mengumumkan persaraan daripada menjadi LDS untuk program lain, tetapi ada program penting yang saya terpaksa juga kendalikannya atas permintaan CEO FINE Academy dan pelanggan yang kenal serta biasa dengan saya.

Kesemua ini menjadikan masa rehat saya amat terhad, perlu membahagikan masa antara mengurus syarikat, mengendalikan latihan dan tidak dilupakan menjalankan tanggungjawab sebagai suami kepada seorang isteri dan 4 orang anak.

Pernah saya mengeluh mengenai perkara ini pada isteri saya. Namun kata-katanya menyedarkan saya

“Sudah abang yang PILIH jadi begitu”

Jadi apabila sedar ini adalah PILIHAN dan KEPUTUSAN yang saya sendiri buat, maka dengan sendirinya letih hilang. Terus berusaha untuk beri yang terbaik.

Apa yang Akan Anda Lakukan Jika Masa Tinggal Hanya 1 Minit?

FB_IMG_1458286921246

Slot mengkaji DiSC kumpulan

 

Hari Rabu tempoh hari, saya mengendalikan sesi sehari Analisa Profil DynamicDiSC bersama warga kerja Pejabat Pengurus Kawasan Bangi, Bahagian Pembahagian gabungan bersama Bahagian Penghantaran Tenaga Nasional Berhad. Ini pertama kali dua kawasan digabungkan dalam satu sesi kerana ada satu slot khas menjadi ‘plugins’ dalam program saya ini.

Plugins ini adalah satu slot khas bersama seorang warga kerja Tenaga Nasional yang hebat dan istimewa. Beliau adalah salah seorang pengurus di salah satu bahagian dalam Tenaga Nasional. Apa yang istimewa mengenai beliau adalah kekuatan beliau menghadapi situasi kritikal kerana baru sahaja mengetahui menghidap kanser paru-paru tahap 4.

Tuan Haji Abdul Rahman Anjang adalah seorang yang kuat mindanya, beliau berjaya memprogramkan minda beliau untuk terus percaya bahawa beliau perlu kuat untuk TERUS HIDUP! Pengalaman saya bersama arwah bonda saya yang meninggal dunia disebabkan kanser payu dara tahap 4 amat mematangkan saya untuk tahu situasi pesakit kanser kritikal. Selalunya mereka ini mempunyai sindrom ‘hilang harapan’ kerana merasakan diri akan mati tidak lama lagi. Terlantar di wad, merenung masa hadapan, mengeluh dan lebih teruk saya menyalahkan Tuhan.

Tuan Rahman memberikan perkongsian buat semua peserta

Tuan Rahman memberikan perkongsian buat semua peserta

Berbeza dengan Tuan Haji Abdul Rahman, bukan sahaja beliau tidak terlantar menunggu mati. Beliau tetap terus hidup sepertimana biasa, masih lagi keluar main golf, masih lagi memenuhi dan mengendalikan kursus 7 Habits of Highy Effective People di Tenaga Nasional, masih lagi keluar bertemu para sahabat  dan terus berusaha untuk mencari jalan menyembuhkan penyakitnya. Sentiasa tersenyum walau Tuhan sahaja tahu apa yang ada dalam hatinya.

Slot 1 jam 30 minit ini beliau bercerita mengenai apa makna hidup dan masa untuknya. Beliau adalah orang yang saya kategorikan hidup ikut minit, bukan sepertimana orang lain yang hidup ikut bulan ataupun tahun. Bila-bila sahaja penyakitnya boleh menyerang dan menyebabkan paru-parunya berhenti.

Buat beliau, setiap minit adalah penting. Beliau sentiasa berfikir apa yang perlu dia lakukan dengan masa yang tinggal. Harta, wang dan pangkat buatnya sudah tidak penting. Apa yang penting adalah memberi dan membuat yang terbaik dengan masa yang tinggal.

Memang ada kesukaran, sukar datang daripada pandangan keluarga, pandangan sahabat handai, juga kesukaran kadangkala minda dalaman sengaja mengganggu diri. Namun apa yang dia lakukan adalah sentiasa berfikiran positif dan memprogramkannya untuk terus berjuang.

Pelbagai nasihat dan tip kesihatan yang beliau amalkan didedahkan dalam program ini. Kebanyakan nasihat ini amat menjentik minda saya untuk berfikir dan terus berfikir. Memang satu slot yang membuka minda dan menyedarkan diri.

Saya doakan beliau terus diberikan kekuatan menghadapi situasi hidupnya ini. Sekurangnya, Allah sudah memberikan tanda buat beliau. Kita yang sangka diri sihat dan segar bugar tidak tahu apa tandanya lagi.

Leave a Comment