Apa Ada Pada Personaliti & Karakter Diri?

Permulaan Pada Kajian DynamicDiSC

Saya mula berkenal kenalan dengan personaliti dan karakter diri bermula ketika saya mula mengenali NLP. Pada ketika itu saya mendapat tahu NLP memberikan penterjemahan karakter manusia berdasarkan VAK. Visual, Auditori dan Kinestetik.

Penceramah yang mengendalikan sesi kursus sehari itu memperincikan setiap satu. Visual orang yang bergantung pada apa yang ada di bayangan matanya, dan selalunya gelagatnya lebih cepat dan tangkas. Bercakap, perbuatan dan apa sahaja dilakukannya repat dan pantas. Amat prihatin pada apa yang orang lihat tentang dirinya.

Auditori adalah orang yang bergantung pada bunyi yang dia dengar, gelagatnya lebih perlahan dan berhati-hati. Tidak ‘kalut’ sebagaimana orang Visual. Lebih suka mendengar maklum balas daripada orang lain.

Kinestetik adalah individu yang peka pada sentuhan. Lebih sensitif pada orang lain. Apa-apa yang menyentuh hatinya ia akan mudah respons padanya. Sukakan keselesaan diri, lebih menjaga hati orang lain sebagaimana dia suka orang lain menjaga hatinya.

Saya teruja apabila mengenal karakter diri lebih mudah kita menyesuaikan diri dengan suasana. Tambah pula pada ketika itu diperkenalkan dengan kaedah ‘Match & Mirroring’ yang cukup membuka mata kepentingan VAK ini.

Namun pada pemahaman saya VAK lebih berbentuk gaya pembelajaran dan mampu berubah dengan masa dan suasana. Tentu ada alat yang lebih baik mengkaji karakter manusia.

Saya masih belum berpuas hati….

Kemudian pada ketika itu saya mendapat peluang untuk menyertai satu program kendalian seorang motivator terkenal dengan kaedah profil diri Rahsia Tarikh Lahir. Pada ketika itu diterangkan bagaimana tarikh lahir mempengaruhi diri kita. Kiraannya dan penterjemahannya semua berkisar pada nombor-nombor berasaskan tarikh lahir.

Jika nombor ini, sesuai dengan kerjaya begini, jodoh begini, perlakuan begini dan banyak lagi.

Namun saya agak gusar, kerana pandangan saya agak ragu kerana hingga akhir kursus tidak diterangkan mana asal-usulnya. Lebih pelik takkanlah tarikh lahir seorang budak yang baru lahir menentukan tingkah laku dan nasibnya sedangkan masih belum melihat dunia. Rasa seperti khurafat tajul muluk yang pernah bonda saya cerita satu masa dulu.

Saya masih belum berpuas hati….

Hinggalah saya bertemu dengan satu kaedah menarik yang saya rasa lebih saintifik. Seorang penceramah memperkenalkan saya dengan satu analisa psikometrik DISC dalam satu sesi kursus.

Penceramah ini meminta semua peserta dalam program itu untuk menjawab satu kertas yang mempunyai 24 kumpulan pernyataan dan memilih yang kurang dan lebih dalam tempoh masa 7 minit. Pada mulanya saya agak skeptik, betulkah kaedah ini? Ada kajiankah?

Saya menjawab dengan pandangan yang skeptikal. Kemudian selepas selesai sesi itu, kertas dikutip. Si penceramah dalam tempoh masa satu jam si penceramah bercerita satu persatu karakter dengan kaedah Dominance (D), Influence (I), Steadiness (S) dan Compliance (C).

Penerangannya tuntas dan contohnya logik, tidak ada unsur yang ragu kerana ini kajian saintifik. Saya mampu untuk kaitkan dengan diri saya. Lebih menarik apabila saya mendapat grafnya, saya sebagai orang berlatar belakang kejuruteraan lebih teruja kerana bagaimana sebuah graf mampu menterjemahkan karakter manusia.

Tentu ada perkara menarik di sebaliknya.

Pada ketika itu saya mengambil keputusan mendalami kaedah ini. Saya menyertai satu kursus pentauliahan dianjurkan oleh sebuah badan konsulasi beribu pejabat di The Curve. Mereka ini banyak mengendalikan sesi DISC untuk beberapa syarikat besar.

Pada ketika itu saya berkenalan dengan pengasasnya. Bagaimana beliau menemui beberapa ciptaan yang ada kaitan dengan DISC. Lebih menarik kajian saintifik beliau yang menghasilkan alat sehebat poligraf yang dapat mengesan penipuan.

Lebihlah saya teruja dengan alat ini. Alhamdulillah selepas sesi 3 hari saya ditauliahkan sebagai penganalisa Profil DISC bertauliah. Program pertama saya kendalikan menggunakan alat ini adalah bersama para peserta daripada sebuah kolej swasta terkenal. Di sana saya menjalankan analisa ini buat 1200 lebih kakitangan.

Hasilnya amat memberangsangkan. Saya dapat membuka ‘hijab’ karakter menggunakan alat hebat ini. Membantu memberikan khidmat nasihat dan konsultasi lebih efektif dengan melihat kelebihan dan kekurangan setiap karakter ini. Ramai yang dapat memanfaatkan alat ini dengan membangun dan memantapkan karakter yang positif dan memperbaiki yang negatif.

Saya merasakan ia perlu disebar luaskan dan dimanfaatkan oleh orang ramai. Saya berminat untuk berkongsi mengenainya dalam status FB akan datang. Cuma ada yang berminatkah untuk mengetahuinya? Ada yang minat? Jika minat letakkan MINAT. Jika saya lihat ramai yang berminat dan LIKE insyaAllah saya akan kongsikan dengan lebih mendalam kaedah ini.

Please note: I reserve the right to delete comments that are offensive or off-topic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *