Adaptasi Novel ke Filem: Coretan Pengalaman

Ombak Rindu adalah filem terbaru hasil adaptasi novel kepada filem. Ia dikatakan mencatatkan jualan jutaan ringgit dalam beberapa hari tayangan. Akibat daripadanya maka mula wujud polemik pembayaran kepada pengarang kerana merasakan berlaku tidak adil kepada pengarang. Ini disebabkan bayaran yang diterima oleh pengarang tidak seberap jika dibandingkan dengan jumlah kutipan filemnya.

Ombak Rindu, filem adaptasi karya novel yang sekarang 'pecah panggung' dengan kutipan jutaan ringgit

Pihak pengarang mengadu melalui media mengatakan bahawa bayaran diperoleh tidak setimpal. Hanya mampu membayar tiket beliau pulang dan balik di antara Johor dan Kuala Lumpur sahaja.

Apabila saya membaca berita ini, saya hanya tersenyum sahaja. Di sini saya ingin berkongsi pengalaman yang saya hadapi pada ketika mengendalikan situasi serupa untuk pelesenan karya Karipap-Karipap Cinta. Karipap-Karipap Cinta adalah karya pertama PTS yang diadaptasikan ke dalam bentuk filem. Filemnya diterbitkan oleh Cinematics di bawah arah Tuan Hafsham. Pada fasa awal sebelum pihak kami bersetuju untuk membenarkan filem ini diterbitkan beberapa perbincangan dibuat di antara saya yang mewakili PTS, Tuan Hafsham mewakili Cinematics dan Tuan Nazri Vovin pengarang asal novel ini. Dalam perbincangan ini disentuh semua aspek penerbitan semula dalam adaptasi karya ini. Aspek penceritaan semula, aspek kewangan, aspek hak cipta dan aspek hak pengarang.

Daripada perbincangan itu saya mendapat pelbagai maklumat yang membuka minda saya. Penerbitan filem adalah lebih kompleks jika dibanding dengan penerbitan buku. Ia perlu mengambil kira pelbagai aspek yang tidak pernah kami tempuhi di dunia penerbitan buku. Daripada penulisan skrip, lakon layar, pemilihan pelakon, pemilihan tempat bersesuaian dengan cerita, pemilihan prop dan yang paling penting dananya. Ini adalah antara perkara yang perlu diketahui oleh semua pengarang yang mahukan karyanya diadaptasi dalam bentuk filem. Pengarang hanya memikirkan aspek cerita, watak dan penataan plot sahaja. Semuanya boleh diceritakan dalam bentuk penulisan. Kadangkala ia mungkin sukar berlaku dalam realiti sebenar. Ini yang menyebabkan plot novel yang kita baca dalam masa satu ke dua hari sukar mahu diterjemahkan sepenuhnya dalam filem berdurasi 2 jam sahaja.

Karipap-Karipap Cinta adaptasi novel bestseller PTS

Saya amat memuji Tuan Hafsham apabila dalam perbincangan yang dibuat beliau tertarik untuk menjadikan pengarang novel Karipap-Karipap Cinta sebagai penulis lakon layarnya. Ini menjadikan karya ini bukan sahaja adaptasi daripada karya novel tetapi diadaptasikan sendiri oleh pengarang asalnya. Ini adalah kelebihan apabila perbincangan yang dibuat matang dan masak. Bukan sahaja pihak pengarang berpuas hati, penerbit buku dan penerbit filem kedua-duanya juga berpuas hati.

Dalam perbincangan yang diadakan dipersetujui beberapa perkara iaitu:

  1. Pihak penerbit filem akan membayar untuk pelesenan karya dalam bentuk adaptasi novel. Pembayarannya secara pukal kerana pihak penerbit filem perlu melakukan beberapa perubahan kepada cerita asal bagi bersesuaian dengan kaedah penerbitan filem. Tidak semua yang diceritakan dalam novel dapat diterjemahkan ke dalam bentuk filem atas sebab-sebab teknikal.
  2. Pihak pengarang dan pihak penerbit buku akan membahagi wang bayaran secara pembahagian yang dipersetujui kedua-dua pihak.
  3. Pihak penerbit filem dan penerbit buku kedua-duanya mempunyai hak untuk mendapat kelebihan promosi untuk filem dan bukunya.
  4. Pengarang dilantik sebagai penulis lakon layar dan bayarannya diuruskan oleh penerbit filem dan bukan penerbit buku.
  5. Filem tidak akan diterbitkan selagi mana perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak ditandatangani.
  6. Hak-hak pengarang dijaga.

Alhamdulillah kesemua ini dipersetujui dan ketiga-tiga pihak, pengarang, penerbit buku dan penerbit filem bersetuju dalam perkara di atas.

Saya melihat kes yang berlaku di antara pengarang asal novel Ombak Rindu dengan pihak Alaf 21 Sdn Bhd adalah sama sahaja aturannya dengan situasi di atas. Mungkin disebabkan filem Karipap-Karipap Cinta kutipannya tidak sehebat Ombak Rindu menjadikannya tidak berapa sensasi untuk dijadikan isu. Namun saya yakin dan percaya segala urusan profesionalisme sudah diuruskan oleh pihak penerbit buku dengan persetujuan pengarang. Namun pada ketika wangnya tidak berapa kelihatan, semuanya dirasakan bagus. Namun apabila wangnya mula muncul dalam bentuk angka lima, barulah isu sebegini dilihat ‘seksi’ untuk dibangkitkan.

Nasihat saya kepada pengarang-pengarang yang ingin menjadikan karya mereka sebagai karya yang akan diadaptasikan ke dalam bentuk filem melakukan beberapa perkara. Ini dilakukan sebelum menandatangani sebarang perjanjian.

  1. Fahami betul situasi dunia filem dan tidak hanya melihat situasi dalam bentuk karya asal. Ambil kira bebanan yang ditanggung oleh pihak penerbit filem, risiko yang mereka tanggung, apa kesannya jika gagal dan jika berjaya.
  2. Jika merasakan tidak berbaloi, maka tidak perlu tandandatangan sebarang kebenaran untuk pengadaptasian.
  3. Jika mahu untung yang lebih, ambil kira untuk menjadi sebahagian daripada produksi filemnya seperti menjadi penerbit filem, pengarang filem, pengarang skrip, penulis lakon layar dan menjadi pelakon. Kesemua ini adalah PILIHAN yang membolehkan kita mendapat untung maksimum daripada karya kita. Tiru apa yang dilakukan oleh Kang Abik AKA Bapak Habiburrahman El-Shirazy yang melakukannya untuk karya tulisan beliau bagi memaksimumkan untung dan memastikan kesucian karyanya dijaga.

Saya bersetuju dengan kaedah yang digunakan oleh Dato Haji Hussamuddin Yaakob, pemilik Kumpulan Karangkraf. Beliau melihat ini bukanlah pada untung masa singkat, ia melihat untung jangka panjang. Apabila filemnya mendapat sambutan hangat, sudah tentu jualan novelnya pun naik. Ini tentu memberikan kesan kepada pendapatan yang akan diperoleh pengarang asalnya..

Please note: I reserve the right to delete comments that are offensive or off-topic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

One thought on “Adaptasi Novel ke Filem: Coretan Pengalaman