Adakah Nama Penting Dalam Memastikan Sesuatu Karya Laris

Posted on 23. Dec, 2009 by Fauzul Na'im Ishak in Jadi Bestseller

Tempoh hari ada salah seorang bekas peserta bengkel saya mengirimkan satu persoalan di dalam blog ini. Beliau bertanya adakah faktor nama penting dalam memastikan semua karya menjadi bestseller ataupun tidak.

Jawapannya penting dan tidak. Mengapa?

Bagi sesebuah karya yang konsepnya hebat, pendekatan persembahan bukunya mantap, pakej kulit, judul dan susun atur hurufnya mantap. Faktor ini tidak penting. Buku yang sebegini tidak perlukan ‘tongkat’ atau bantuan daripada nama pengarangnya.

Ini dibuktikan dengan jualan buku PTS bertajuk Yajuj dan Makjuj tahun ini. Buku ini dikarang oleh seorang penulis yang tidak dikenali oleh orang Malaysia. Namun disebabkan karyanya itu kuat, buku itu sudah mencecah jualan melebihi 25,000 naskhah pada tahun 2009 ini (statistik hingga hari ini 23 Disember 2009).

Baik, bagi karya yang biasa-biasa ataupun persoalannya biasa-biasa. Faktor nama itu cukup penting. Ia yang akan menarik pelanggan memegang buku dan menyelaknya. Bagi pelanggan yang memang sudah menjadi peminat kepada tokoh ternama ini, pasti akan membelinya bagi tujuan memenuhi koleksi mereka.

Namun jika dapat digabungkan di antara konsep yang hebat dan nama besar ia pasti akan memberikan impak kepada buku. Gabungan keduanya pasti memberikan kesan berganda kerana terkumpul dua kekuatan di situ.

Bagi pengarang baru, tidak perlu susah hati jika kita bukanlah pengarang terkenal ataupun baru mula menulis. Dr. Danial Zainal Abidin pada ketika mula menulis buku dengan Kumpulan PTS pada tahun 2003, beliau bukanlah nama besar. Selepas beberapa tahun, disebabkan kekuatan buku karangan beliau dengan konsep tersendiri menjadikan beliau dikenali sebagai tokoh Islam dan sains.

Teruskan menulis, tentu ada cahaya di hadapan.

Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
md@fauzulnaim.com
Blog Widget by LinkWithin

Tags: ,

Leave a Reply